أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ۚ وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍۢ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ (١١٠)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbualbual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Zakat Fitrah: Kewajipan Penuh Makna “.
Muslimin yang berbahagia,
Kewajipan zakat fitrah adalah berpandukan kepada banyak dalil, di antaranya daripada Ibn Umar Radhiallahuanhuma, beliau meriwayatkan bahawa:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan untuk membayar zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk mengerjakan solat (hari raya)”
(Riwayat al-Bukhari)
Hukum menunaikan zakat fitrah adalah wajib dan mengingkarinya adalah satu dosa. Namun kewajipan zakat fitrah bukan sekadar melepaskan diri kita daripada dosa kerana zakat fitrah juga mempunyai makna yang sangat mendalam kepada golongan fakir miskin demi memberikan kegembiraan kepada mereka di hari raya.
Berdasarkan ketetapan syarak, kefardhuan zakat fitrah mempunyai maksud yang sangat besar, antaranya ialah menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah, membersihkan diri dari perbuatan yang sia-sia dan berkongsi kebahagiaan sesama umat Islam. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadis, iaitu daripada Ibnu Abbas Radhiallahuanhuma bahawa beliau berkata:
“Rasulullah SAW telah menfardhukan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang yang berpuasa dari sebarang lagha dan keji serta memberi makan kepada orang-orang miskin.”
(Riwayat Abu Daud)
Muslimin yang berbahagia,
Zakat fitrah wajib ditunaikan pada waktu yang telah ditetapkan, iaitu selepas terbenam matahari akhir bulan Ramadhan sehingga sebelum solat sunat ‘Idulfitri dilaksanakan. Ini kerana objektif zakat fitrah adalah untuk mencukupkan keperluan fakir dan miskin daripada meminta-minta pada hari raya ‘Idulfitri.
Di negeri Selangor, fatwa menetapkan bahawa zakat fitrah wajib ditunaikan berasaskan makanan asasi yang dimakan oleh umat Islam di negeri ini, iaitu beras ataupun ditukarkan kepada harganya. Kadar beras fitrah yang wajib dikeluarkan adalah sebanyak satu gantang Baghdad yang bersamaan kira-kira 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A. Ia kemudiannya ditukarkan kepada harga atau nilaian wang yang sama dengan berat beras tersebut.
Namun begitu, kita juga amat dianjurkan agar menunaikan zakat fitrah mengikut jenis atau gred makanan yang lebih baik yang kita makan sehari-hari, iaitu berpandukan kepada kemampuan kita sendiri. Dalam hal ini, Ibnu ‘Umar Radhiallahuanhuma menyatakan seperti berikut:
“Rasulullah SAW memerintahkan (kami para sahabat) supaya membayar zakat fitrah segantang tamar atau segantang barli. Maka orang ramai menyamakan (segantang itu) dengan dua cupak hintah (gandum, iaitu makanan terbaik yang dimakan oleh mereka).”
(Riwayat al-Bukhari)
Maka, seseorang yang berkemampuan boleh menunaikan zakat fitrah sesuai dengan harga beras yang dimakan olehnya, sama ada berharga RM14 atau RM 21, malah mungkin lebih lagi. Inilah yang lebih baik baginya, sesuai dengan kemampuan dirinya sendiri.
Hadirin yang dikasihi Allah sekalian,
Marilah kita bersama-sama menunaikan zakat fitrah lebih awal. Tidak perlu kita menunggu waktu-waktu terakhir untuk menunaikan zakat fitrah, khususnya pada pagi satu Syawal dengan alasan, itulah waktu yang paling afdhal. Hakikatnya syarak telah membenarkan kita untuk membayar zakat fitrah bermula malam satu Ramadhan lagi. Jumhur fuqaha berpendapat, sekiranya zakat fitrah tersebut ditunaikan selepas solat ‘Idulfitri dan sebelum terbenam matahari 1 Syawal, maka hukumnya adalah makruh.
Sekiranya dilengah-lengahkan pembayaran zakat fitrah sehingga selepas terbenam matahari 1 Syawal, perbuatan melengahkan itu adalah haram dan berdosa, namun zakatnya adalah sah dan dikira sebagai zakat qada’. Walaupun demikian dia tetap wajib segera bertaubat dan menyesali perbuatan melengahkan itu.
Namun begitu jika masih ada yang terlepas menunaikan zakat fitrah, sama ada kerana terlupa ataupun sengaja, maka wajib baginya untuk mengqada’ dengan segera dan tidak menangguhkannya lagi sehingga masuk Ramadhan yang akan datang. Wajib baginya menunaikan qada’ zakat fitrah.
Walaupun teringat kewajipan tersebut, setelah habis bulan Syawal boleh qada’ zakat fitrah itu sama ada di kaunter-kaunter zakat ataupun di saluran atas talian (online) atas nama ‘qada’ zakat.’
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Ketahuilah bahawa Allah SWT telah menjanjikan kepada orang-orang yang menunaikan zakat fitrah dengan ganjaran yang sangat besar di syurga nanti. Hadis daripada Ali bin Abi Talib Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah bilik yang (tembus penglihatan), luarnya dapat dilihat dari dalamnya, dan (jika dari) dalam dapat melihat ke luarnya. (Kemudian) berdirilah seorang Arab Badwi lantas bertanya: Kepada siapakah (bilik itu disediakan) wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Bagi mereka yang berkata baik, memberi makan (termasuklah menunaikan zakat fitrah), rajin berpuasa dan mengerjakan solat kerana Allah pada malam hari di saat manusia lain sedang terlena.”
(Riwayat al-Tirmidzi)
Sementara itu, bagi orang-orang yang bakhil dan enggan menunaikan zakat fitrah maka mereka dianggap sebagai pendusta agama, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ma’un ayat 1 – 3:
أَرَءَيْتَ ٱلَّذِى يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ(١) فَذَٰلِكَ ٱلَّذِى يَدُعُّ ٱلْيَتِيمَ (٢) وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ (٣)
“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.”
(al-Ma’un 107: 1-3)
Muslimin yang berbahagia,
Di kesempatan ini, mimbar ingin mengingatkan bagi mereka yang bekerja atau tinggal di negeri Selangor, agar menunaikan zakat di negeri Selangor melalui amil-amil zakat yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor, supaya manfaat tersebut dapat diagihkan kepada lebih 70,000 keluarga asnaf fakir dan miskin di negeri ini.
Hal ini bersesuaian dengan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad SAW bahawa zakat itu dikutip dan diagih kembali di tempat asal di mana harta kekayaan itu berada. Daripada Ibnu Abbas Radhiallahuanhu, ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az bin Jabal Radhiallahuanhu ke Yaman untuk berdakwah, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Dan ajarkanlah penduduk Yaman, bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka zakat pada harta mereka, diambil daripada golongan kaya dalam kalangan mereka dan diagihkan kepada golongan fakir dalam kalangan mereka”
(Riwayat al-Bukhari)
Disamping itu juga bagi orang-orang yang mengendalikan zakat fitrah juga hendaklah jujur dan amanah dalam pekerjaannya. Ini kerana, Allah SWT amat murka kepada mereka yang salah guna kedudukan dan memakan harta zakat tanpa jalan yang benar.
Daripada Abu Humaid al-Sa’idi Radhiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW telah melantik seorang lelaki dari Bani Asad bernama Ibnu Luthbiyah untuk mengumpulkan zakat. Ketika dia membawakan zakat yang dipungutnya, dia berkata kepada Rasulullah SAW: “Ini zakat kuserahkan kepadamu, dan ini hadiah orang kepadaku.” Abu Humaid berkata: “Rasulullah SAW lalu berdiri di atas mimbar, kemudian memuji dan menyanjung Allah, serta bersabda, ‘Bagaimana boleh ada seorang petugas zakat yang sudah aku tugaskan memungut zakat, lalu dia berkata, “Zakat ini kuberikan kepadamu, dan ini hadiah daripada orang untukku.” Mengapa dia tidak duduk sahaja di rumah ibunya atau bapanya menunggu orang menghantarkan hadiah kepadanya? Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, tidak ada seorang pun di antara kamu yang mengambil harta secara khianat, melainkan kelak dia akan memikul harta itu di atas lehernya pada hari kiamat.”
(Riwayat Muslim)
Hadirin yang dikasihi Allah sekalian,
Mengakhiri khutbah ini, berikut adalah beberapa perkara yang boleh dijadikan pedoman:
1. Umat Islam hendaklah memahami bahawa zakat fitrah adalah ibadah yang sangat besar rahsianya di sisi ibadah puasa dalam menyuburkan sifat suka bersedekah dalam diri seorang muslim.
2. Setiap individu dalam kalangan umat Islam yang berkewajipan membayar zakat fitrah hendaklah menunaikannya mengikut kemampuan diri dan menunaikannya lebih awal untuk mengelakkan risiko terlupa.
3. Umat Islam yang bekerja atau tinggal di negeri Selangor, hendaklah menunaikan zakat di negeri Selangor melalui Lembaga Zakat Selangor atau wakilnya.
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمْ رَٰكِعُونَ(٥٥)
“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)”. (Surah al-Maidah 5:55)
Tarikh Dibaca: 11 Ramadan 1445H/22 Mac 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment