Teks Khutbah Jumaat (WP): Al-Quran Pedoman Insan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

…قَدْ جَآءَكُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌۭ وَكِتَـٰبٌۭ مُّبِينٌۭ(١٥)

يَهْدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضْوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِهِۦ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ (١٦)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita dibangkitkan dalam kalangan orang yang bertakwa di akhirat kelak. 

Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita. Mimbar mengingatkan para jemaah sekalian, marilah kita istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dan bersama-samalah menyemarakkan kempen “Subuh Macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan. Semoga segala amal ibadah dan kesungguhan kita mengimarahkan rumah Allah mendapat limpahan rahmat dan ganjaran pahala yang banyak daripada Allah SWT.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Al-Quran Pedoman Insan”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ramadan adalah bulan al-Quran. Pada bulan ini al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan rujukan utama dalam memenuhi serta melengkapi kehidupan manusia. Kedudukan al-Quran sebagai mukjizat teragung bukan hanya untuk memandu manusia ke jalan yang benar semata-mata, bahkan menjauhkan mereka daripada terjerumus ke lembah kesesatan. 

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah, ayat 15-16 yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”

(al-Maidah 5:15-16)

Kandungan al-Qur’an sarat dengan peringatan dan pengajaran yang mesti diikuti oleh umat Islam dalam memandu kehidupan ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT di dunia dan akhirat. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi rahimahullah dalam bukunya yang bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi bersama dengan al-Quran al-Azim” antara lain menyebut bahawa Al-Qur’an adalah kitab Ilahi yang mahfuz (terpelihara) dan merupakan mukjizat teragung kepada Nabi Muhammad SAW. Al-Qur’an juga adalah kitab semua zaman yang merupakan kitab insani sejagat.

Dengan kesempatan yang Allah izinkan kepada kita di bulan Ramadan yang berkat ini, marilah kita memperuntukkan sejumlah masa untuk membaca, menghayati serta mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran. Alangkah beruntungnya kita selaku umat Muhammad SAW yang telah dianugerahkan dengan al-Quran yang mulia, kita bukan sahaja tahu membacanya semata-mata tetapi sentiasa berusaha mengambil ibrah dan mengamalkan isi kandungannya.

Namun apa yang menyedihkan ada segelintir dari umat Islam yang mengabaikan untuk mempelajari al-Quran. Kini kita sedang berada pada era digital yang penuh dengan kepantasan dan kecanggihan. Kitab al-Quran yang dahulunya dibaca dalam bentuk mushaf, kini boleh diakses dengan begitu mudah melalui aplikasi-aplikasi di telefon pintar, gajet dan seumpamanya. Justeru, apakah ada lagi alasan untuk kita terus culas, leka dan alpa tanpa berusaha melazimi dan bersahabat dengan al-Quran? Maka, sempena dengan sambutan memperingati hari turunnya al-Qur’an tidak berapa lama lagi, marilah sama-sama kita menanam azam untuk berdamping dengan al-Quran sehingga akhir hayat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam kerancakan kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, kita dikejutkan dengan isu yang amat mengguris hati dan perasaan umat Islam isu yang menghina kalimah Allah. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dalam sebuah negara majmuk pelbagai kaum, agama dan budaya yang berpaksikan kepada perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan hidup bersama.

Kalimah Allah adalah nama Tuhan yang mulia (ismul Jalalah) dengan sifat-sifat yang sempurna, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab suci Al-Quran. Adalah menjadi kewajipan umat Islam mempertahankan kesucian kalimah Allah daripada sebarang unsur yang mencemar atau mempersendakannya dalam apa jua situasi dan keadaan. Dalam menjaga perpaduan, semua pihak mesti memelihara serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara membangkitkan keresahan, sensitiviti dan provokasi yang boleh mencetuskan konflik di antara kita.

Menjunjung kasih di atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, Baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja. Dalam isu Kalimah Allah ini Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa: “Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patut timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.” Baginda juga bertitah supaya tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Mimbar menyeru kepada seluruh jemaah sekalian agar bertenang dalam menghadapi isu ini serta tidak sesekali mengambil tindakan diluar kawalan dan batas undang-undang.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ramadan mestilah menjadi bulan tarbiah untuk kita menjadi insan yang lebih baik dan mendidik kita menjadi hamba yang bersyukur. Amalkanlah kesederhanaan dalam segala hal terutamanya pengambilan makanan dan minuman sewaktu berbuka puasa. Makanan yang diambil haruslah mengikut keperluan individu dan bukannya dalam kuantiti yang banyak. Makanan yang diambil secara berlebihan sewaktu berbuka puasa akan menyebabkan tubuh badan menjadi malas dan tidak berdaya untuk menumpukan kepada amal ibadah.

Selain daripada berpada-pada dalam menikmati juadah berbuka puasa, pemilihan makanan yang berkualiti, dijamin selamat dan halal juga adalah penting dalam memastikan ia menjadi ibadah dalam kehidupan seharian. Ini disebabkan dari makanan dan minuman juga akan menatijahkan kesihatan yang lebih baik seterusnya membina akhlak terpuji dan membangunkan akal dan minda insan.

Mimbar mengingatkan kepada para jemaah sekalian langkah-langkah yang boleh diambil untuk pengguna bagi memilih makanan yang bersih, berkualiti, selamat dan halal semasa di bulan Ramadan:

Pertama: Sentiasa peka apabila membeli makanan di Bazar Ramadan atau mana-mana premis makanan, gunakan konsep Perhati dan Pilih. Sekiranya didapati terdapat mana-mana Bazar Ramadan atau premis makanan menjalankan perniagaan mengabaikan kebersihan, segeralah melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Pihak Berkuasa Tempatan.

Kedua: Kepada pengendali makanan, pilihlah bahan mentah yang baik, berkualiti, segar dan bersih dalam penyediaan makanan. Amalkan amalan kesihatan yang baik seperti mendapatkan suntikan anti-tifoid dari mana-mana pengamal perubatan berdaftar dan menghadiri Latihan Pengendali Makanan dari mana-mana Sekolah latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketiga: Pilihlah premis makanan yang mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi terutamanya premis-premis yang mempunyai Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) dari Kementerian Kesihatan Malaysia serta memiliki Sijil Pengesahan Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan serta Majlis Agama Islam Negeri.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, khatib ingin menekankan beberapa kesimpulan sebagai pedoman buat kita semua:

Pertama: Al-Quran adalah anugerah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Lazimilah budaya membaca dan mentadabbur isi al-Qur’an secara harian dengan tujuan mendapat keredaan Allah SWT.

Kedua: Sebagai umat Islam kita mesti mempertahankan kalimah Allah dan sebarang tindakan mencemarkannya hendaklah diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

Ketiga: Sebagai pengguna kita mestilah mementingkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan bagi mengelakkan penyakit bawaan makanan seperti keracunan makanan yang boleh menjejaskan ibadah Ramadan.

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 9:

إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا(٩)

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

(al-Isra’ 17:9)

Tarikh Dibaca: 11 Ramadan 1445H/22 Mac 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid,

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑