Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 26 – Mendamaikan Pertikaian Dengan Adil

“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu.”

(Surah Al-Hujurat 49:10)

Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:

Maksudnya: “Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah, menolong seseorang pada kenderaannya lalu engkau membantunya untuk naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan dari jalan adalah sedekah.”

(Riwayat al-Bukhari no. 2989 dan Muslim no. 1009. Lafaz daripada Muslim)

Huraian 

Antara tujuan terpenting yang ingin dicapai oleh Islam adalah menyatukan hati kaum Muslimin, tertegaknya kebenaran antara mereka, kukuhnya barisan mereka dan kemenangan terhadap musuh.

Tujuan ini tidak akan tercapai kecuali dengan kerjasama dan tolong-menolong. Dorongan untuk tercapainya kerjasama tersebut ialah melalui ucapan dan perbuatan.

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا نَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ.

Maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaji kan dan takwa serta jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.

(Surah al-Ma’idah 5: 2)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih sayang ibarat satu tubuh, jika ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuh akan berasa tidak boleh tidur dan demam.”

(Riwayat al-Bukhari no. 6011)

Pengajaran

  1. Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian.
  2. Kita perlu bersyukur atas kesempurnaan ciptaan anggota badan, pancaindera, tulang-belulang hingga kepada ira-ira jari.
  3. Kesyukuran kepada Allah SWT akan menambahkan kenikmatan.
  4. Disebabkan nikmat Allah itu, bersedekahlah kepada orang lain, bukan sahaja dalam bentuk harta benda, malah senyuman, mendamaikan dua orang yang berkelahi, membawa beban orang lain atau sekadar berjalan ke masjid untuk bersolat yang merupakan sedekah untuk diri sendiri.
  5. Sedekah yang berupa perkataan yang baik ialah seperti: 
    • Menjawab salam. 
    • Mengucapkan “yarhamukallah” jika ada orang yang bersin.
    • Mengucap alhamdulillah.
    • Pelbagai bentuk zikir.
    • Ucapan yang baik ketika bercakap.
    • Ucapan yang baik apabila diminta.
    • Memberi maaf kepada orang yang meminta maaf.
    • Doa kepada orang Mukmin lain.
    • Pujian yang ikhlas.
    • Nasihat.
    • Menunjukkan jalan.
    • Segala perkataan yang menyenangkan hati orang yang mendengar yang akan mengeratkan silaturkin 
  6. Membuang sesuatu yang berbahaya di jalan juga sedekah. 
  7. Tunaikan solat sunat dhuha sekurang-kurangnya dua rakaat setiap hari tanda kesyukuran atas kesempurnaan anggota tubuh badan dan mohon dimurahkan rezeki.
  8. Banyakkan memuji Allah SWT atas nikmat yang telah diberikan sebagai tanda syukur.
  9. Ikhlas hanya kepada Allah SWT dalam melakukan amalan-amalan kebaikan.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑