Soalan
Betulkah kalau kita tengah minum masa sahur tiba-tiba azan berkumandang kita boleh menghabiskan minuman yang sedang berada dalam mulut pada ketika itu?
Penjelasan
Baru-baru ini tular kembali berkenaan isu memakan atau meminum ketika azan subuh telah berkumandang. Sebahagian masyarakat berhujahkan dengan hadis Nabi SAW yang memerintahkan sahabat untuk terus menyelesaikan makanan atau minuman yang berada di tangan mereka, kemudian barulah berpuasa.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendengar seruan (azan) dan bekas berada di tangan kamu, maka janganlah kamu meletaknya (bekas) sehingga sempurna hajatnya daripada itu”.
(Riwayat Abu Daud)
Menurut Imam al-Khattabi, hadis ini terdapat dua cara memahaminya iaitu:
Pertama, menandakan bahawa boleh untuk makan dan minum ketika azan Bilal bin Rabah RA iaitu masih lagi dalam waktu malam sehingga sebelum berkumandangnya azan ‘Abdullah bin Ummi Maktum iaitu di waktu fajar.
Kedua, berkemungkinan boleh difahami dengan seseorang mendengar azan tetapi dia syak sama ada telah masuk waktu subuh atau belum disebabkan pada hari tersebut cuaca sedikit mendung atau berawan, maka keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat mengesan terbit fajar sadiq dengan jelas.
Penjelasan Imam al-Khattabi yang menyebutkan bahawa Bilal azan ketika waktu malam dan ‘Abdullah bin Ummi Maktum azan ketika fajar itu tadi adalah berdasarkan kepada riwayat ‘Abdullah bin ʻUmar RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ بِلاَلًا يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam (sebelum terbit fajar sadiq) maka makan dan minumlah sehingga berkumandangnya azan ‘Abdullah bin Ummi Maktum.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Syeikh Mahmud Muhammad Khattab al-Subki menyebutkan bahawa al-nida’ yang dimaksudkan dalam hadis Abu Hurairah RA itu ialah azan pertama subuh iaitu azan Bilal bin Rabah. Azan Bilal tersebut dilaungkan sebelum terbitnya fajar bertujuan memberi petanda kepada orang yang sedang berqiamullail untuk pulang ke rumah bersahur dan untuk mengejutkan orang yang tidur.
Dari aspek fiqh, maka dalam mazhab al-Syafiʻi Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa:
أن من طلع الفجر وفي فيه طعام فليلفظه ويتم صومه فإن ابتلعه بعد علمه بالفجر بطل صومه وهذا لا خلاف فيه
Maksudnya: Apabila telah masuknya waktu subuh sedangkan di mulutnya masih terdapat makanan, maka hendaklah dia memuntahkannya dan berpuasa. Jika dia telah mengetahui telah masuk waktu subuh namun dia tetap menelan makanan yang ada di mulutnya maka batal puasanya. Dalam masalah ini tidak ada khilaf dalam kalangan ulama.
Imam al-Nawawi kemudian menyebutkan bahawa perkara ini adalah berpandukan kepada hadis riwayat ‘Abdullah bin ʻUmar RA dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim seperti yang telah disebutkan di atas. Oleh itu, jika seseorang itu mendengar azan subuh berkumandang dan di dalam mulutnya masih terdapat makanan atau minuman maka wajib diluahkan dan berpuasa. Jika ditelan juga makanan atau minuman tersebut maka puasanya pada hari itu terbatal dan wajib qada.
Perkara ini sepertimana yang telah disepakati oleh fuqaha empat mazhab bahawa apabila telah masuk waktu subuh (terbit fajar sadiq) dan di mulut masih terdapat makanan atau minuman hendaklah dimuntahkan dan teruskan berpuasa. Jika tetap ditelan makanan atau minuman tersebut maka batal puasa seseorang itu.
Kesimpulan
- Menurut ulama hadis maksud al-nida’ dalam hadis di atas ialah azan pertama subuh iaitu azan Bilal bin Rabah. Azan Bilal tersebut dilaungkan sebelum terbitnya fajar bertujuan memberi petanda kepada orang yang sedang berqiamullail untuk pulang ke rumah bersahur dan untuk mengejutkan orang yang tidur.
- Azan kedua iaitu azan ‘Abdullah bin Ummi Maktum barulah tanda masuknya waktu subuh. Dalam masalah ini, jika seseorang itu mendengar azan subuh berkumandang dan di dalam mulutnya masih terdapat makanan atau minuman maka wajib diluahkan dan berpuasa. Jika ditelan juga makanan atau minuman tersebut maka puasanya pada hari itu terbatal dan wajib qada.
- Masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terikut pandangan yang janggal apatah lagi jika ia terkeluar daripada mazhab yang empat.
Wallahuaʻlam.
Sumber: PMWP
Leave a comment