Uthman Bin Affan R.A:  Sahabat Yang Tinggi Budi Pekerti, Penyantun, Lemah Lembut Lagi Pemalu

Nama lengkapnya adalah Uthman bin ‘Affan bin Abul ‘Ash bin Umaiyah (47SH-35H/577-656M), berasal dari suku Quraisy keturunan Umaiyah. Khalifah ketiga ini lahir di Mekah dan masuk Islam tidak lama setelah kenabian Mahammad SAW. Beliau termasuk orang kaya yang terpandang pada masa Jahiliah. Beliau termasuk dalam kumpulan pencatat wahyu. 

Selepas memeluk Islam beliau banyak mendermakan hartanya ke arah kepentingan agama Islam, sebagai contohnya dalam peperangan Tabuk, beliau telah mendermakan hartanya iaitu 950 ekor unta, 50 ekor kuda dan 1000 dinar. Begitu juga ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam menghadapi masalah untuk mendapatkan air minuman. Oleh itu Saidina Uthman R.A. telah membeli telaga Ruma dari seorang Yahudi dengan harga 20,000 dirham untuk digunakan oleh umat Islam dengan percuma. 

Saidina Uthman bin Affan R.A. adalah seorang yang bertakwa dan bersikap warak. Tengah malamnya tidak pernah disia-siakan. Beliau memanfaatkan waktu itu untuk mengaji Al-Quran dan setiap tahun beliau menunaikan ibadah haji. Bila sedang berzikir dari matanya mengalir air mata sedih. Beliau selalu bersegera dalam segala amal kebajikan dan kepentingan umat, dermawan dan penuh belas kasihan. Khalifah Uthman telah melaksanakan hijrah sebanyak dua kali, pertama ke Habsyah, dan yang kedua ke Madinah.

Di zaman kebangkitan Islam dahulu terdapat beberapa sahabat yang terkenal kerana banyak mengorbankan harta-benda dan kekayaannya untuk membela agama Allah. Salah seorang di antara mereka yang paling terkemuka sekali ialah Saidina Uthman Bin Affan R.A.. Selain daripada beliau ialah Saidina Abu Bakar as-Siddiq R.A., Abdul Rahman Bin Auf R.A. dan lain-lain lagi. Apatah lagi memang Saidina Uthman baik sebelum memeluk Islam mahupun setelah Islam, merupakan satu-satunya tokoh saudagar dan peniaga yang paling berjaya sekali. Dialah sahabat Rasulullah SAW yang banyak mengorbankan harta-bendanya bagi menegakkan perjuangan Islam.

“Zun Nurain”

Saidina Uthman Bin Affan R.A. adalah Khalifah Islam yang ketiga selepas Saidina Umar al-Khattab  R.A. Beliau telah memerintah Kerajaan Islam hampir sebelas tahun lamanya dari tahun Masihi 644 hingga 655 Masihi. Beliau memperolehi gelaran “Zun Nurain” yang ertinya yang memiliki dua cahaya. Sebabnya ialah kerana Rasulullah SAW telah mengahwinkannya dengan dua orang puterinya  iaitu yang pertama kali dengan Ruqayah dan selepas wafatnya semasa Perang Badar maka Rasulullah SAW mengahwinkannya pula dengan Kalthum. Demikian besarnya kecintaan dan penghormatan Rasulullah, terhadap Saidina Uthman R.A. Tatkala isterinya yang kedua itu meninggal dunia, Rasulullah SAW telah berkata kepadanya, “Jika ada anak perempuanku lagi hai Uthman, tentu engkau ku ambil sebagai menantu.”

Sahabat besar ini termasuk orang-orang pertama yang masuk Islam. Beliau datangnya dan suku atau puak Quraisy yang paling kuat sekali tentangannya terhadap agama Islam dan Rasulullah,  iaitu puak Umaiyah. Menurut catatan sejarah, Saidina Uthman Bin Affan R.A. termasuk orang kelima diajak oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq R.A. untuk memeluk Islam. Setelah memeluk Islam, Uthman R.A. termasuk orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW kerana kemuliaan dan kehalusan budi pekertinya. Memang sesungguhnya Saidina Uthman Bin Affan R.A. terkenal sebagai seorang sahabat yang sangat tinggi budi perkertinya, sangat penyantun, lemah lembut lagi pemalu.

Sebagai memperlihatkan kecintaan dan penghargaan Rasulullah SAW kepadanya, maka beliau telah menjadi pilihan baginda untuk dikahwinkan dengan puteri-puterinya seorang demi seorang selepas meninggal seorang. Sebagai memuji keluhuran budi akhlaknya itulah Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya, “Malaikat sangat malu kepadamu hai Uthman.” Memang Rasulullah SAW biasanya tidak keberatan menerima kedatangan para sahabatnya dalam berpakaian yang biasa sahaja, tetapi apakala diketahui bahawa Saidina Uthman r.a akan datang mengunjunginya, maka baginda pun mengenakan pakaiannya yang sewajarnya sebagai menghormati sahabatnya yang disegani sendiri oleh para malaikat. 

Dalam suatu riwayat lain adalah dikisahkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Saya bermohon kepada Tuhanku supaya tidak ada seorangpun yang pernah menjadi menantuku  dimasukkan ke dalam neraka. Hal yang demikian itu tercapai oleh Saidina Uthman R.A. kerana Rasulullah SAW atau menjadi mertuaku pernah bersabda, “Tiap-tiap Nabi mempunyai teman, dan Uthman adalah temanku di dalam syurga.”

Hijrah ke Habsyah

Ketika suasana pergolakan di Mekah menjadi tegang dan meruncing disebabkan kaum musyrikin Quraisy melakukan tekanan yang hebat terhadap kaum Muslimin, Saidina Uthman R.A. termasuk orang-orang yang turut melakukan hijrah ke Habsyah. Saidina Uthman R.A. berserta isterinya adalah termasuk rombongan yang menjalankan hijrah yang bersejarah itu. Beliau tidak pernah memikirkan kerugian perniagaannya yang ditinggalkannya itu kerana beliau sedar bahawa hijrah tersebut adalah termasuk dalam usaha untuk menegakkan agama Allah. Sekembalinya beliau dari Habsyah, beliau pun tinggal di kota Mekah buat sementara waktu. Kemudian beliau telah melakukan hijrah pula ke Madinah untuk menyusul Rasulullah yang telah pun lebih dahulu berhijrah di kota tersebut.

Setelah berada di Madinah, Saidina Uthman R.A. pun mulalah menjalankan usaha perniagaannya hingga beliau berjaya menjadi saudagar yang kaya. Namun demikian beliau tidak teragak-agak sedikitpun untuk menggunakan seluruh kekayaan dan harta bendanya bagi menyahut seruan jihad bagi menegakkan kesucian Islam. Sebagai seorang sahabat besar, banyak sekali pengorbanan Saidina Uthman Bin Affan terhadap Islam. Di zaman permulaan perjuangan Islam di Madinah, pernah kaum Muslimin menghadapi kekurangan air, lalu Saidina Uthman Bin Affan telah membeli sebuah telaga yang bernama Bir Ruma dari seorang Yahudi. Pada ketika itulah Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang antara kamu yang membeli telaga Ruma lalu dijadikannya wakaf bagi keperluan kaum Muslimin serta ia menimba air telaga tersebut maka orang yang berbuat demikian itu Allah akan menyediakan tempat minuman baginya dalam syurga”. Begitu juga ketika Masjid Madinah menjadi terasa sempit sebab semakin banyaknya orang yang bersolat di dalamnya, maka dengan spontan Saidina Uthman membeli lima rumah yang sederet di sebelah masjid untuk dirobohkan, kemudian dibina tambahan masjid agar menjadi lebih luas dan besar.

Selain daripada pengorbanan harta benda, Saidina Uthman Bin Affan r.a. juga adalah sahabat yang paling banyak membantu Rasulullah dalam berbagai masalah. Beliau adalah salah seorang penulis wahyu dan juga pernah menjadi utusan Rasul untuk menemui kaum Quraisy pada tahun keenam hijrah. Disebabkan besarnya pengorbanannya terhadap Islam maka tidaklah menghairankan kiranya beliau tergolong salah seorang yang paling diredhai oleh Rasulullah SAW pada waktu wafat baginda.

Selain memiliki sifat pemalu, Saidina Uthman R.A. ialah seorang sahabat akrab Rasulullah yang masyhur dengan sifat waraknya, kuat beribadat dan amat takwa kepada Allah, dia mengerjakan segala perintah Allah dan sekali-kali tidak melanggar larangan Allah. Pada tiap tiap tahun beliau menunaikan ibadah Haji dan dalam sepanjang tahun pula beliau berpuasa setiap hari kecuali pada hari-hari yang dilarang berpuasa. Beliau sangat mengambil berat terhadap kaum keluarganya dan sangat bertimbangrasa dan kasih mesra kepada mereka. Beliaulah juga seorang sahabat yang sangat pemurah dan sangat takut akan kemurkaan Allah, bila beliau mendengar bacaan Qur’an darihal azab api neraka maka air matanya bercucuran keluar oleh rasa takutnya. 

Terpilih Sebagai Khalifah

Khalifah Uthman Bin Affan R.A. telah dipilih sebagai Khalifah apabila wafatnya Saidina Umar al-Khattab R.A. Apakah beliau menyatakan kesanggupannya secara tegas kepada Abdul Rahman Bin Auf R.A. yang bertindak sebagai pengantara? Beliau ialah seorang sahabat yang tua ketika dilantik menjadi Khalifah iaitu ketika berumur 70 tahun. Beliau seorang yang bersifat lemah lembut, tidak gemar menggunakan kekerasan dalam menjalankan pemerintahannya, hal ini berbeza sekali dengan Saidina Abu Bakar R.A. dan Saidina Umar R.A.yang menjadi Khalifah sebelum daripadanya, mereka kedua-duanya mempunyai sifat tegas dalam menghadapi sesuatu dalam zaman pemerintahannya. Pada masa zaman masalah pemerintahannya, keadaan pemerintahan Islam dari semasa ke semasa mula menjadi bertambah luas dan mula menempuh satu zaman peralihan dari kehidupan asal orang-orang Arab menuju suatu kehidupan baharu dan pada zamannyalah bermulanya zaman kemewahan hidup yang timbul daripada hasil penaklukan negeri-negeri yang baharu.

Dalam zaman pemerintahannyalah orang-orang Islam mula merasa hidup mewah dan menerima kemakmuran. Mereka yang menghadiri majlis-majlis jamuan Khalifah Uthman pada zaman itu melihat perbezaan besar jika dibandingkan dengan jamuan yang diadakan pada zaman Khalifah Umar. Sebagai seorang Khalifah beliau merasa bahawa rakyatnya berhak menikmati hidup yang makmur itu, tetapi beliau tidak membenarkan kepada orang-orang Islam bersenang-senang dengan nikmat kemakmuran itu hingga melanggar hukum Allah. 

Pada zaman beliau ramai daripada para sahabat Rasulullah keluar meninggalkan bandar Madinah bermastautin di wilayah-wilayah yang baharu diperintah oleh pemerintah Islam. Pemergian mereka itu tidak dilarang oleh Saidina Uthman. Jikalau pada zaman pemerintahan Khalifah Umar para sahabat tidak dibenarkan keluar dan bermastautin di negeri- negeri yang baharu diperintah oleh orang-orang Islam, tetapi pada zaman Khalifah Uthman tegahan itu dihapuskan. Saidina Uthman tidak begitu mengambil berat terhadap gabenor-gabenor Islam yang memerintah di wilayah-wilayah Islam khususnya mengenai perjalanan mereka, untuk menjaga nama baik mereka dan untuk mengelakkan daripada perkara-perkara yang mungkin menimbulkan fitnah. Berlainan dengan Saidina Umar yang sangat mengambil berat tentang kedudukan wakil-wakilnya yang memerintah.

Masalah di Zaman Uthman

Pada zaman pemerintahan Saidina Uthman Bin Affan inilah mulai timbulnya beberapa masalah yang belum pernah berlaku sebelumnya. Timbulnya peristiwa-peristiwa yang baharu itu bukanlah disebabkan oleh kecuaian Saidina Uthman ataupun kerana beliau sengaja meringan-ringankan hukum, bahkan hukuman-hukuman yang sewajarnya tetap dikenakan ke atas siapa juga yang bersalah yang melanggar larangan Agama Islam. Tetapi bagaimanapun percubaan-percubaannya itu tidak menghasilkan hasil yang baik berbeza dengan apa yang dijalankan oleh Saidina Umar al-Khattab dalam masa pemerintahannya dan ini menyebabkan fitnah-fitnah makin banyak berlaku antara pihak pemerintah dengan orang ramai.

Satu perkara yang mungkin menjadi punca kelemahan pemerintahan Saidina Uthman R.A. ialah sifatnya yang mudah dipengaruhi oleh cakap-cakap orang lain terutama oleh kaum keluarganya sendiri. Mereka itu pernah mencampuri urusan pemerintahan terutama salah seorang keluarganya yang bernama Marwan Bin Hakkam. Perbuatannya yang membiarkan keluarganya campur tangan dalam pemerintahan serta perlantikan ke atas ramai anggota keluarganya dalam pemerintahan itulah yang selalunya menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan penduduk Madinah khasnya dan rakyat Islam umumnya.

Selain daripada itu ada lagi beberapa perkara yang dilakukan oleh Saidina Uthman yang telah menimbulkan rasa tidak puashati orang-orang Islam pada masa itu. Salah satu daripada perkara-perkara itu ialah keputusan membenarkan bapa saudaranya al-Hakam Bin Abi al-As dan beberapa orang keluarganya kembali semula ke Madinah, padahal al-Hakam telah diperintah keluar dari Madinah kerana sikap permusuhannya terhadap Rasulullah dan Saidina Uthman telah merayu kepada Rasulullah SAW pada masa hayatnya lagi meminta baginda membenarkan bapa saudaranya itu kembali tetapi Rasulullah tidak membenarkan permintaannya itu hingga pada zaman Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dia tidak dibenarkan juga kembali. Apabila Saidina Uthman R.A. dilantik menjadi Khalifah, bapa saudaranya itu dibenarkan kembali ke Madinah. 

Bukan setakat itu sahaja tetapi apabila ia mati kuburnya dibina dengan indahnya dan anaknya yang bernama al-Harith dilantik pula menjadi pegawai menjaga tempat-tempat perniagaan di Madinah. Sementara perlantikan Saidina Uthman ke atas anak al-Hakam yang bernama Marwan menjadi sebagai menteri kepadanya itu dikecam hebat juga oleh orang-orang Islam. Beberapa orang sahabat yang terkemuka telah membantah perlantikan itu tetapi tidak dipedulikan oleh Saidina Uthman. Mengenai pengembalian bapa saudaranya ke Madinah, Saidina Uthman memberitahu sahabat-sahabatnya bahawa beliau telah memohon persetujuan Rasulullah dan itulah sebabnya beliau berani melakukan demikian.

Selain daripada itu orang-orang Islam merasa tidak puas hati juga terhadap pemecatan yang dilakukan oleh Saidina Uthman ke atas pegawai-pegawai yang dilantik pada zaman Saidina Umar al-Khattab dan digantikan dengan orang-orang baru dari kaum keluarganya. Perkara-perkara seperti yang tersebut itu berlakunya di Madinah pusat pemerintahan Islam pada masa itu. Sementara di lain-lain wilayah Islam tidak sunyi juga daripada adanya golongan-golongan yang menaruh rasa curiga dan tidak puas hati terhadap Saidina Uthman. Pemerintahan Saidina Uthman itu mula menempuh satu percubaan yang besar iaitu dengan tumbuhnya punca fitnah di Madinah yang akhirnya menjalar ke seluruh wilayah-wilayah Islam lain. Ketika itulah seorang musuh Islam bernama Abdullah Bin Saba, seorang Yahudi yang mengaku dirinya memeluk Islam telah membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Khalifah Uthman dengan tujuan untuk memecah belahkan kaum Muslimin sesama sendiri.

Seorang sahabat yang terkenal bernama Abu Zar juga telah menentang hebat pemerintahan Saidina Uthman dengan membuat cabaran ke atas Khalifah itu dan juga ke atas Muawiyah yang pada masa itu sebagai wakil Khalifah memerintah kota Damsyik. Di negeri Syam Abu Zar telah termakan hasutan Abdullah Bin Saba lalu menentang Muawiyah kerana menurut pendapatnya pernah Mauwiyah mendakwa bahawa harta Baitulmal semuanya adalah kepunyaan Allah bukan kepunyaan orang-orang Islam seolah-olah dia bercadang tidak akan membahagikan harta Baitulmal kepada orang ramai. 

Inilah hasutan yang dibuat oleh Abdullah Bin Saba kepada sahabat terkenal itu Abu Zar memang berjiwa militan dan keras. Memandangkan bahaya dan pengaruh Abu Zar itulah maka akhirnya Saidina Uthman Bin Affan mengambil tindakan untuk mengasingkan Abu Zar al-Ghifari dari orang ramai lalu dibuangnya ke satu tempat bernama Raudah. Di tempat pembuangannya itu beliau terus-menerus membuat kecaman ke atas Saidina Uthman hingga akhir hayatnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 31 Hijrah.

Sementara itu kegiatan-kegiatan yang dilakukan secara gigih oleh Abdullah Bin Saba untuk memecah-belahkan umat Islam telah mendapat kejayaannya di Mesir, Kufah dan Basrah. Beliau telah berjaya mempengaruhi jiwa orang ramai dengan menyebarkan satu fahaman yang belum pernah dibawa oleh sesiapa sebelum itu bahawa kononnya Nabi Muhammad ada menetapkan seorang penggantinya iaitu Saidina Ali Bin Abu Talib.

Di Mesir Muhammad Bin Abu Bakar, iaitu anak Khalifah Abu Bakar as-Siddiq telah menyokong gerakan Abdullah Bin Saba itu kerana didorong oleh pertalian kerabat antaranya dengan Saidina Ali iaitu sebagai anak tiri kepada Saidina Ali Bin Abu Talib yang beristerikan balu Saidina Abu Bakar iaitu Asma Binti Umais ibu Muhammad Bin Abu Bakar. Muhammad Bin Abu Bakar menentang keras pemerintahan Saidina Uthman kerana sepucuk surat yang dihantar oleh Marwan Bin Hakkam dari Madinah kepada Abdullah Bin Saba, gabenor Mesir menyuruhnya membunuh Muhammad Bin Abu Bakar dan juga membunuh sekalian orang yang menyokong Muhammad sama ada dan golongan Muhajirin ataupun dan Ansar.

Khalifah Uthman Dibunuh

Kesudahannya golongan-golongan yang menentang Khalifah Uthman Bin Affan yang datangnya dan wilayah Mesir, Kufah dan Basrah itu membuat satu pakatan menuju tuntutan-tuntutan untuk mengemukakan Madinah meneka kepada Khalifah. Apabila mereka dapati tuntuntan-tuntutan mereka itu tidak dapat ditunaikan sepenuhnya oleh Khalifah, maka mereka pun melakukan kepungan terhadap istana Khalifah Uthman Bin Affan. Setelah beberapa hari melakukan kepungan, mereka akhirnya merempuh masuk lalu membunuh Khalifah Uthman Bin Affan yang terkenal kerana sifat sabar dan santunnya itu. Ketua pemberontakan itu bernama al-Ghiffari telah memukul Saidina Uthman dan kemudiannya diiringi pula  oleh tetakan dengan pedang dari seorang pemberontak lain, pukulan mana disanggah oleh isteri Saidina Uthman bernama Naelah dan kena pada jari tangannya lalu putus, Akhirnya Saidina Uthman mati terbunuh pada 35 Zulhij tahun 35 Hijrah dan akibat dari kewafatannya itu maka bermulalah babak-babak yang mendukacitakan dalam lembaran sejarah Islam.

Antara Jasa Uthman Terhadap Dunia Islam

1. Bidang Ketenteraan

Khalifah Uthman banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada keluasan empayar Islam yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka. Antara wilayah baru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi.

Beliau juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa. Banyak negara-negara yang telah dibuka melalui angkatan tentera ini.

2. Melakukan Pembukuan Al-Quran

Perluasan kuasa telah menyebabkan penyebaran Islam terjadi secara meluas. Apabila ramainya orang-orang yang memeluk Islam sudah tentu banyaknya perbezaan antara sesuatu wilayah dengan wilayah yang lain dari segi mereka mempelajari Islam. Apa yang paling ketara sekali ialah dalam masalah mereka mempelajari al-Quran.

Banyak terdapatnya perbezaan bacaan yang membawa kepada salah bacaan antara satu tempat dengan tempat yang lain. Dengan keadaan ini banyak terjadinya salah faham dan saling tuduh menuduh sesama orang Islam dalam menyatakan siapakah yang betul pembacaannya.

Oleh itu Khalifah Uthman telah mengadakan satu naskhah al-Quran yang baru yang mana ianya digunakan secara rasmi untuk seluruh umat Islam. Khalifah Uthman telah menggunakan lahjah Bahasa Quraisy dan yang mana al-Quran yang berbeza telah dibakar. Al-Quran inilah yang digunakan hingga kehari ini, yang mana ianya dikenali dengan nama Mushaf Uthmani. Langkah-langkah ini bertujuan untuk menjamin kesucian al-Quran sebagai sumber perundangan Islam.

3. Beliau Telah Membesarkan Masjid Nabawi

Masjid Nabawi telah menjadi padat kerana dipenuhi dengan jemaah yang semakin ramai, Oleh itu Khalifah Uthman telah membesarkan masjid tersebut dengan membeli tanah bagi meluaskan kawasan tersebut. Masjid tersebut telah diluaskan pada tahun 29 Hijrah.

4. Usaha Khalifah Uthman Dalam Menyebarkan Dakwah Islam

Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan beliau berjaya mengIslamkan ramai banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum-hukum Islam kepada rakyatnya. Ramai pendakwah telah dihantar keserata negeri bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau juga telah melantik ramai pengajar hukum Islam dan juga melantik petugas khas yang membetulkan saf-saf solat. Beliau juga banyak menggunakan al-Quran dan as-Sunnah dalam menjalankan hukum-hukum.

Sumber: 10 Sahabat Nabi Yang Dijamin Syurga oleh Asratul Kiraam

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑