Daripada Nawas bin Sim’an R.A. yang meriwayatkan daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
اَلْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ. وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي نَفْسِكَ، وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلعَ عَلَيْهِ النَّاسُ
Maksudnya: “Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang mengusik jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.”
(Riwayat Ahmad no. 17 633, al-Bukhari dalam al-Adab no. 295 dan Muslim no. 2553)
Daripada Wabishah bin Ma’bad R.A. berkata, bahawa beliau datang kepada Rasulullah SAW dan Baginda bersabda:
جئْتَ تَسْأَلُ عَن الْبرّ
Maksudnya: “Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebaikan?
Saya menjawab: ‘Benar!’ Baginda bersabda:
اسْتَفْتِ قَلْبَكَ. اَلْبِرُّ، مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ. وَالْإِثْمُ، مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ، وَإنْ أَفْتَاكَ النَّاسُ وَأَفْتَوْكَ
Maksudnya: ‘Mintalah fatwa kepada kamu sendiri. Kebaikan adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan hati, sedangkan dosa adalah apa-apa yang mengusik jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberi fatwa yang membenarkanmu.””
(Riwayat Ahmad no. 18006 dan al-Darimi 2575)
Ini ialah hadis yang kami riwayatkan daripada dua imam, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam al-Darimi dengan sanad hasan.
Huraian
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kebajikan itu keluhuran akhlak.”
Maksudnya ialah bahawa keluhuran akhlak adalah sebaik-baik kebajikan, sebagaimana sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Haji adalah Arafah.” (Riwayat al-Tirmizi no. 889)
Kebajikan adalah perbuatan yang menjadikan pelakunya bertambah baik, selalu berupaya mengikuti orang yang berbuat baik dan taat kepada Allah yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi.
Kebajikan digunakan dalam dua pengertian:
I. Untuk Sekalian Makhluk
- Sesama manusia.
- Kedua-dua ibu bapa.
- Orang yang hampir dengan kita.
II. Melaksanakan Segala Amal Taat
• Zahir
Membelanjakan harta menurut yang diredai Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyempurnakan janji, sabar menghadapi segala kesusahan seperti kesakitan dan kemiskinan.
• Batin
Keimanan terhadap Allah SWT, malaikat-Nya, segala kitab, rasul-Nya, hari kiamat serta qada’ dan qadar.
Maksud Berakhlak Baik
- Jujur dalam bermuamalah (berjual beli).
- Bersantun dalam berusaha.
- Adil dalam menghukum.
- Bersungguh-sungguh dalam berbuat kebajikan.
Antara sifat orang Mukmin yang Allah telah sebutkan dalam surah al-Anfal ayat 2-4 ialah:
“Orang Mukmin ialah orang yang ketika nama Allah disebut, hati mereka gementar; dan ketika ayat-ayat-Nya dibacakan kepada mereka, iman mereka bertambah dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal. (laitu) mereka yang melaksanakan solat dan mengeluarkan infak daripada sebaha- gian harta yang Kami berikan kepada mereka. Mereka itulah orang yang benar-benar Mukmin.”
(al-Anfal 8:2-4)
Bagaimana Mengesan Dosa?
Ibn Mas’ud berkata: “Dosa itu menggoncangkan hati.”
Apabila kita melakukan dosa, hati kita sentiasa berada dalam keadaan berdebar, bergetar, gelisah, cemas, takut, bimbang dilihat atau diceritakan oleh orang lain.
Cuba anda gambarkan situasi berikut:
- Memakan atau menggunakan harta yang diamanahkan kepada anda untuk menyimpannya sahaja.
- Berkhalwat iaitu bersendirian antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram di tempat yang sunyi.
- Melengah-lengahkan solat hingga habis waktu.
Tanyalah Hati
Hati ialah pedoman atau pengukur bagi menentukan sesuatu perkara yang dihadapi seseorang.
Abu Tha’labah al-Khasyani meminta kepada Rasulullah SAW supaya diterangkan apakah yang halal baginya dan yang haram atasnya? Rasulullah SAW menyatakan, “Kebaikan yang halal itu ialah sesuatu yang tetap oleh diri dan tenang oleh jiwa dalam menghadapinya. Dosa itu ialah sesuatu yang tidak tetap oleh diri dan tiada tenang oleh hati.”
(Riwayat Ahmad no. 17 742)
Wathilah bin al-Asqa’ meminta kepada Rasulullah SAW: “Berilah kepadaku satu fatwa tentang suatu perkara sehingga aku tiada lagi akan bertanya kepada seseorang sesudah engkau.” Maka Rasulullah SAW pun berkata kepadanya: “Mintalah fatwa daripada diri engkau sendiri.” Kataku: “Bagaimanakah yang demikian?” Rasulullah menjawab: “Engkau tinggal apa yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau, sekalipun telah berfatwa kepada engkau oleh sekalian orang yang berfatwa.” Kataku lagi: “Bagaimanakah yang demikian?” Jawab Baginda: “Letakkan tangan engkau di atas hati engkau (bagaimanakah perasaan engkau?)” Hati akan tenang kepada perkara yang halal dan tidak resah gelisah kepada perkara yang haram.
(Riwayat oleh Ibn Rajab dalam Jami’ al-Ulum wa al-Hikam. Jil. 2, hlm. 95 – Menurut al-Arnaut, sanadnya adalah lemah.)
Wasiat Nabi Adam A.S
Menurut riwayat dalam Syarah al-Arbain al-Nawawiyah, Nabi Adam A.S. berwasiat kepada anak-anaknya:
- Jika kamu hendak berbuat sesuatu, tetapi hati kamu gelisah kerananya, maka janganlah kamu teruskan. Sewaktu akan memakan buah khuldi, hatiku telah bergoncang dan gelisah.
- Jika kamu hendak mengerjakan sesuatu perkara, lihatlah kesu dahannya. Kalau aku lihat atau fikirkan tentang kesudahan akibat makan buah tersebut, tentu aku tidak memakannya.
- Jika kamu hendak melakukan sesuatu perkara, maka berundinglah dengan orang yang arif. Kalau aku dahulunya berunding dengan malaikat, tentu diberitahu kepada aku supaya aku tidak memakan buah yang terlarang itu.
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria
Leave a comment