أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ…(١٨٥)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Cahaya al-Quran”.
Tetaplah istiqamah memenuhkan masjid-masjid untuk melaksanakan solat secara berjemaah, membaca al-Quran dan merenungi maksudnya, membayar zakat fitrah, bersedekah dan apa-apa jua amal kebaikan yang lain. Teruskan juga berdoa untuk penduduk Palestin yang diuji dengan sangat hebat. Semoga Allah SWT memberi kekuatan, kesabaran dan kemenangan buat mereka dalam menghadapi tipu muslihat rejim zionis Israel laknatullahi ‘alaihim.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Syukur kepada Allah SWT kerana sehingga ke hari ini kita masih lagi diberikan peluang untuk menikmati keindahan Ramadan dengan pelbagai nikmat dan kemudahan yang telah disediakan oleh Allah. Betapa beruntungnya kita kini berada dalam bulan yang penuh berkat. Padanya orang berlumba-lumba melakukan amal soleh. Masjid-masjid penuh dengan umat Islam yang mendirikan solat secara berjemaah. Masing-masing turut berlumba bersedekah dan memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa. Umat Islam juga banyak membaca al-Quran sementelah Ramadan merupakan bulan turunnya al-Quran yang menjadi petunjuk buat seluruh manusia.
Maksud firman Allah SWT dari Surah al-Baqarah ayat 185 yang dibacakan pada awal khutbah tadi ialah:
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”.
(Al-Baqarah 2:185)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Allah SWT telah memuliakan umat Islam dengan kemuliaan yang luar biasa. Salah satunya dengan diturunkan al-Quran al-Karim yang menjadi petunjuk sekaligus cahaya penerang. Cahaya penerang ini bermanfaat kepada manusia dalam tiga keadaan sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Maaidah ayat 16:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَهْدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضْوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِهِۦ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ (١٦)
“Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terangbenderang, dengan izin-Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”.
(al-Maaidah 5:16)
Para generasi terdahulu telah membawa amanah dan tanggungjawab mereka menyebarkan cahaya al-Quran ke seluruh belahan bumi yang dijejaki oleh telapak kaki mereka sehingga kita semua hari ini dapat menikmati cahaya hidayah tersebut bahkan negara kita ini juga dipenuhi oleh cahaya hidayah Allah SWT.
Maka sudah sepatutnya kita sebagai kaum muslimin hari ini mengambil tanggungjawab pula sebagai penjaga dan pemelihara al-Quran walaupun pada hakikatnya Allah SWT jualah sebenar-benar Penjaga dan Pemelihara bagi Kalamullah yang suci itu. Kita turut bertanggungjawab membaca, merenungi maksudnya, serta mengamalkan segala ajaran yang terkandung padanya kerana tidak ada satu pun isi al-Quran tersebut yang samar-samar dan tidak ada keraguan langsung padanya bagi orang yang beriman.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ (٢)
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa”.
(al-Baqarah 2:2)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Cahaya al-Quran merupakan nikmat yang sangat besar kepada kita semua. Dengan nikmat ini kita akan mencapai pengetahuan yang sahih terhadap pelbagai kebenaran serta dapat membezakan antara yang buruk dari yang baik, dan yang jujur dari yang munafik. Dengan nikmat ini juga wujud kesatuan yang sejati lagi sempurna bagi seluruh umat Islam. Sesiapa yang berpegang teguh dengannya juga akan mendapat jaminan keselamatan dan kesejahteraan dunia akhirat. Sesiapa yang berhukum dengannya pasti akan dapat berhukum dengan adil. Itulah tali Allah SWT yang kuat menjadi petunjuk lurus bagi manusia seluruhnya.
Dalam membacanya pula, al-Quran memiliki beberapa adab yang harus dipelihara antaranya:
- Pertama: Membaca al-Quran dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.
- Kedua: Membaca al-Quran dalam keadaan suci (berwudhu’ terlebih dahulu), kerana yang demikian itu termasuk pengagungan terhadap firman Allah SWT.
- Ketiga: Membaca dengan menghadirkan hati sambil mencermati dan memahami, khusyuk, takut dan berasa seakan-akan Allah berbicara langsung kepadanya dalam alQuran ini.
- Keempat: Tidak membaca al-Quran di tempat-tempat yang kotor atau di tempat-tempat yang orang-orang berkumpul di sana tidak mahu mendengar bacaan al-Quran, kerana bacaan al-Quran di tempat-tempat ini sebagai bentuk penghinaan.
- Kelima: Mengindahkan bacaan tetapi tidak boleh mengganggu orang lain dengan bacaan kita. Tidak sepatutnya al-Quran dibaca dalam keadaan tergopoh-gapah hingga menyebabkan rosak tajwidnya dan menjejaskan maksud sebenar al-Quran tersebut. Bagi yang merangkak-rangkak dalam membaca al-Quran, teruslah membacanya dan jangan pernah malu atau segan untuk belajar dan membaca al-Quran walau dalam keadaan merangkak kerana baginya turut disediakan pahala oleh Allah SWT.
Akhirnya, sebelum mengakhiri khutbah pada hari ini, saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk menguatkan kesungguhan mencari malam al-qadr (malam yang lebih baik dari seribu bulan) lebih-lebih lagi kita yang kini sudah hampir ke sepuluh malam terakhir Ramadan dengan beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya.
Teruslah melazimi membaca al-Quran walaupun setelah berlalunya Ramadan nanti. Tetaplah merenungi maksudnya dan menunaikan segala perintah dan ajaran yang terkandung padanya. Tidak akan rugi jika kita berpegang teguh kepada al-Quran yang menjadi cahaya penerang jalan sebaliknya rugilah orang-orang yang tidak menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk membaca dan merenungi maksud yang terkandung dalam al-Quran apatah lagi orang-orang yang mempersenda dan memperlekeh nasihat yang terkandung dalam alQuran.
Saya tutup dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Zumar ayat 41:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ لِلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ ۖ فَمَنِ ٱهْتَدَىٰ فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ(٤١)
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal menurutnya), maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (tidak berpandu kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri; dan engkau (wahai Muhammad – hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai (keadaan dan bawaan) mereka”.
(Az-Zumar 39:41)
Tarikh Dibaca: 29 Mac 2024M l 18 Ramadhan 1445H
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment