Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Ramadhan dan Al-Quran

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ…(١٨٥)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbualbual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini. 

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk: “RAMADHAN DAN AL-QURAN”. 

Muslimin yang berbahagia

Apabila disebut bulan Ramadhan, sudah pasti kita akan melalui sejarah peristiwa penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) yang berlaku pada malam al-Qadr. Ini menunjukkan bahawa Ramadhan dan al-Quran adalah dua elemen yang berpadu dan tidak terpisah. Penurunan al-Quran berlaku dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia), seterusnya diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun mengikut keperluan atau keadaan tertentu. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 seperti mana yang telah dibacakan pada muqaddimah khutbah ini bermaksud: 

“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”.

(al-Baqarah 2:185)

Peristiwa penurunan al-Quran telah berlaku pada malam al-Qadr. Satu malam yang mulia dalam bulan Ramadhan yang mempunyai kelebihan berbanding malam-malam yang lain. Beramal ibadah dan berbuat kebajikan pada malam tersebut adalah lebih baik daripada beramal selama seribu bulan. Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 3:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ(١) وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ(٢) لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌۭ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ(٣)

 “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam “lailatul Qadr”, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam “lailatul qadr” itu? Malam “lailatul Qadr” lebih baik daripada seribu bulan”.

(al-Qadr 97: 1-3)

Dalam bulan Ramadhan juga, Rasulullah SAW telah bertadarus alQuran dengan malaikat Jibril Alaihissalam. Ibnu ‘Abbas Radhiallahuanhuma meriwayatkan bahawa “Jibril Alaihissalam menemui Rasulullah SAW pada setiap malam di bulan Ramadhan, lalu mengajar Baginda al-Quran”. (Riwayat al-Bukhari). 

Hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Harus diingat, di antara tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca. Membacanya merupakan zikir yang paling utama dan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Faatir ayat 29:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ سِرًّۭا وَعَلَانِيَةًۭ يَرْجُونَ تِجَـٰرَةًۭ لَّن تَبُورَ(٢٩)

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara sembunyi-sembunyi atau secara berterang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan satu perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”.

(Fatir 35:26)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda mengingatkan tentang ganjaran bagi orang yang membaca al-Quran dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahuanhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah baginya satu kebaikan, dan kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kebaikan sepertinya, aku tidak berkata ‘Alif Lam Mim’ satu huruf, tetapi ‘Alif’ satu huruf, ‘Lam’ satu huruf dan ‘Mim’ satu huruf”. (Riwayat al-Tirmizi). 

Begitulah mukjizat al-Quran, hanya dengan membaca satu huruf sahaja daripada al-Quran sudah menyebabkan sepuluh kebaikan kepada pembacanya, apatah lagi jika kita menjadi orang yang sentiasa mencari dan mengisi masa untuk membaca kalam Allah SWT. Pasti lebih beroleh ganjaran yang lebih besar ketika berada di dalam bulan Ramadhan ini. 

AlQuran dan Ramadhan menjadi sangat dekat dengan kita semua. 

Hadirin Jumaat yang berbahagia

Marilah kita berusaha menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk berinteraksi dengan al-Quran. Kita juga hendaklah berazam untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran kita di bulan yang mulia ini. Di samping membaca al-Quran, kita juga disarankan untuk mendengar bacaan alQuran daripada orang lain sama ada semasa solat berjemaah, bacaan alQuran di televisyen, radio dan sebagainya. Mudah-mudahan bacaan kalam Allah SWT yang didengari ini mendapat keberkatan, yang akan masuk ke dalam jiwa, seterusnya berakhlak dengan akhlak al-Quran. 

Imam al-Nawawi pernah berkata, adalah menjadi satu sunnah dengan menumpukan kepada pembacaan al-Quran di bulan Ramadhan. Lebih-lebih lagi pada sepuluh hari terakhir khususnya pada malam-malam yang ganjil. Janganlah kita jadikan alasan untuk tidak membaca al-Quran sekiranya kita tidak lancar membacanya kerana ianya adalah lebih baik daripada kita meninggalkan terus daripada membaca al-Quran. Saidatina ‘Aisyah Radhiallahuanha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang yang mahir membaca al-Quran akan bersama para Malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah, dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka baginya itu dua ganjaran”.

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa dua ganjaran yang diperoleh itu adalah pahala membaca dan pahala disebabkan kesusahan dan kesulitan yang dihadapinya dalam membaca al-Quran. 

Bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini, masjid-masjid turut menganjurkan pelbagai program kerohanian. Antara yang selalu diambil perhatian adalah program tadarus al-Quran yang dijalankan pada setiap malam selepas solat sunat tarawih. Program khatam al-Quran kebiasaannya turut diadakan pada minggu-minggu terakhir Ramadhan termasuk di masjid, surau, pejabat, institusi keagamaan dan sebagainya. 

Marilah kita merebut peluang keemasan ini untuk bersama-sama berada dalam kumpulan yang sentiasa dinaungi para malaikat. Apa yang lebih mendukacitakan, sekiranya ada dalam kalangan kita yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya dengan telefon pintar untuk mencari sesuatu yang tidak berfaedah daripada membaca alQuran dan memahami ayat-ayatnya.

 Ramai juga di antara kita yang sudah berpuluh-puluh tahun membaca al-Quran tetapi tidak berusaha untuk memahami ayat yang dibaca. Khususnya surah al-Fatihah dan ayat-ayat lazim yang dibaca setiap hari di dalam solat mahupun di luar solat. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 24: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَآ(٢٤)

“Setelah diterangkan yang demikian maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Ataukah telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran?”

(Muhammad 47:24)

Oleh itu, khatib ingin menasihati diri sendiri dan para jemaah sekalian agar menjadikan bulan ini sebagai bulan membaca al-Quran dan memahami ayat-ayatnya. Salah satu cara adalah dengan bertadarus alQuran bersama ahli keluarga atau bertadarus bersama dengan para jemaah di masjid atau di surau dan saling memperbetulkan bacaan antara satu sama lain.

 Ambillah peluang di bulan yang mulia ini untuk kita menambah pahala amal ibadah kita yang akan kita bawa selepas meninggalkan dunia nanti. Ingatlah, tidak ada kepastian yang kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang. 

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian

Bagi mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita semua mengambil pengajaran terhadap perkara-perkara berikut:

 1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran merupakan kalam Allah SWT dan satu-satunya mukjizat Nabi Muhammad SAW yang boleh dilihat, dipegang dan diberi pahala kepada yang membacanya. 

2. Bulan Ramadhan dan al-Quran bersatu, isilah Ramadhan dengan aktiviti berkaitan al-Quran. 

3. Umat Islam hendaklah sentiasa belajar membaca al-Quran dan berusahalah untuk memahami, mengambil pengajaran dan menjadikannya sebagai asas dalam semua aspek kehidupan kita.

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ إِلَيْكَ مُبَـٰرَكٌۭ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَـٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ(٢٩)

 “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan dia kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar”.

(Sad 38:29)

Tarikh Dibaca: 29 Mac 2024M l 18 Ramadhan 1445H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑