Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
Ertinya: “Nabi SAW bersabda, ‘Sesungguhnya saya mengetahui ahli neraka terakhir yang keluar darinya dan ahli syurga terakhir yang masuk ke dalamnya iaitu: Seorang lelaki yang keluar dari neraka sambil merangkak. Allah SWT berfirman kepadanya, ‘Pergilah, lalu masuklah ke dalam syurga. Lalu dia datang ke syurga dan digambarkan kepadanya bahawa ia telah penuh. Dia pun kembali dan berkata, Wahai Tuhanku, aku mendapatinya telah penuh.’ Dia berfirman, ‘Pergilah, lalu masuklah ke dalam syurga. Dia datang lagi ke syurga dan digambarkan kepadanya bahawa ia telah penuh. Dia pun kembali dan berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku mendapatinya telah penuh.’ Dia berfirman, ‘Pergilah lalu masuklah ke dalam syurga. Sesungguhnya bagimu adalah sama seperti dunia dan sepuluh kali ganda – atau sesungguhnya bagimu seperti sepuluh kali ganda dunia – Dia berkata, ‘Engkau mengolok-olokkanku – atau Engkau mempermainkanku dalam keadaan Engkau adalah Maharaja?” Sesungguhnya saya telah melihat Rasulullah ketawa (tersenyum) sehingga ternampak gigi-gigi gerahamnya dan Baginda bersabda, ‘Itulah ahli syurga yang paling rendah kedudukannya.”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban-lafaz al-Bukhari. Tahkik Sunan Ibni Majah: Sanadnya sahih. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih melalui para perawi al-Bukhari dan Muslim.)
__________________________________
Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud RA,
Ertinya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Orang terakhir yang akan masuk ke dalam syurga ialah seorang lelaki yang kadang-kadang berjalan, kadang-kadang terjatuh di atas mukanya dan kadang-kadang api neraka membakar mukanya lalu meninggalkan kesan. Apabila dia telah melepasi neraka, dia melihat kepadanya, lalu berkata, ‘Maha Suci Tuhan yang telah menyelamatkanku daripadamu. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan kepadaku sesuatu yang tidak Dia berikan kepada seorang pun orang-orang terdahulu dan terkemudian.’
Setelah itu, sebatang pokok ditunjukkan kepadanya lalu dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, dekatkanlah aku ke pokok ini agar aku dapat berteduh di bawah teduhannya dan minum daripada airnya.’ Allah SWT berfirman, ‘Wahai anak Adam, boleh jadi jika Aku berikannya kepadamu, maka engkau akan memohon pula selain daripada ini.’ Dia berkata, “Tidak wahai Tuhan.’ Dia berjanji kepada Allah untuk tidak memohon selain daripadanya (pokok tersebut). Maka Tuhannya memberikan kebenaran kepadanya kerana dia melihat sesuatu yang dia tidak boleh bersabar, lalu Dia mendekatkannya kepada pokok itu, dan dia dapat berteduh di bawah teduhannya serta meminum airnya.
Kemudian sebatang pokok lain yang lebih baik daripada yang pertama pula ditunjukkan kepadanya. Dia pun berkata, ‘Wahai Tuhanku, dekatkanlah aku kepada pokok ini supaya aku dapat meminum airnya dan berteduh di bawah teduhannya. Aku tidak akan memohon kepada-Mu lagi selainnya. Dia berfirman, Wahai anak Adam, bukankah engkau telah berjanji kepada-Ku bahawa engkau tidak akan memohon kepada-Ku selainnya?’ Dia berfirman, ‘Boleh jadi jika Aku dekatkannya kepadamu, maka engkau akan memohon selainnya kepada-Ku.’ Lalu dia berjanji kepada-Nya untuk tidak memohon kepada-Nya selain daripada pokok itu. Maka Tuhannya memberikan kebenaran kepadanya kerana dia melihat sesuatu yang dia tidak dapat bersabar dengannya lalu Dia mendekatkan pokok tersebut kepadanya dan dia berteduh di bawah teduhannya serta meminum airnya.
Kemudian ditunjukkan kepadanya pula sebatang pokok lagi yang berdekatan dengan pintu syurga dalam keadaan ia lebih baik daripada dua pokok sebelumnya. Dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, dekatkanlah aku kepada pokok ini agar aku dapat berteduh di bawah teduhannya dan meminum airnya. Aku tidak memohon kepada-Mu selain ini.’ Dia berfirman, ‘Wahai anak Adam, adakah engkau berjanji kepada-Ku untuk tidak memohon kepada- Ku selainnya?’ Dia menjawab, ‘Benar wahai Tuhanku, ini sahaja. Aku tidak akan memohon kepada-Mu selainnya.’ Maka Tuhannya memberi kebenaran kepadanya kerana dia melihat sesuatu yang dia tidak dapat bersabar, lalu Dia mendekatkannya kepada pokok tersebut.
Apabila dia telah didekatkan oleh Allah kepadanya, dia mendengar suara para penghuni syurga dan dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalamnya.’ Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, apakah yang memutuskan-Ku daripadamu? Adakah apabila Aku memberikanmu dunia dan seumpamanya akan membuatkanmu reda?’ Dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, adakah Engkau memperlekehkanku dalam keadaan Engkau adalah Tuhan sekalian alam?”” Lalu Ibnu Mas’ud ketawa dan berkata, “Adakah kalian tidak mahu bertanya kepada saya tentang perkara yang membuatkan saya ketawa?”
Mereka berkata, “Apa yang membuatkanmu ketawa?” Dia berkata, “Seperti inilah Rasulullah SAW ketawa. Mereka (para sahabat) berkata, Atas sebab apa tuan ketawa wahai Rasulullah SAW?’ Baginda SAW bersabda, ‘Disebabkan ketawanya (keredaan)Tuhan sekalian alam ketika lelaki itu berkata, Adakah Engkau memperlekehkanku dalam keadaan Engkau ialah Tuhan sekalian alam?’ Lalu Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku tidak mempermainkanmu tetapi Aku berkuasa ke atas apa yang Aku kehendaki.””
(Riwayat Muslim dan Ibnu Hibban-lafaz Muslim. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih melalui para perawi Muslim.)
__________________________________
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA,
Ertinya: Daripada Nabi SAW, “Manusia akan berjalan di atas jambatan neraka Jahanam yang di atasnya terdapat duri, cangkuk-cangkuk besi, perentap-perentap yang merentap manusia di kanan dan kiri sedangkan di kedua-dua tepinya (neraka Jahanam) terdapat para malaikat yang berkata, “Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah. Antara manusia ada yang berlalu seperti angin, ada yang berlalu seperti seekor kuda yang dipacu, ada yang berlari, ada yang berjalan, ada yang merangkak dan ada yang mengesot. Adapun penghuni neraka yang mereka ialah para penghuninya, mereka tidak mati dan tidak hidup.
Adapun dalam kalangan manusia terdapat manusia yang dihukum menurut dosa dan kesalahan, lalu mereka dibakar dan mereka menjadi arang. Kemudian mereka diberi izin untuk mendapat syafaat. Didatangkan secara berkumpulan demi kumpulan lalu dicampakkan ke dalam sebuah sungai daripada sungai-sungai syurga. Maka mereka tumbuh seperti tumbuhnya benih yang dibawa oleh aliran air.”
Rasulullah SAW bersabda lagi, “Tidakkah kalian pernah melihat tumbuhan yang layu tumbuh di kawasan tanah lapang? Orang terakhir yang dikeluarkan dari neraka ialah seorang lelaki yang berada di tebingnya, dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, palingkanlah aku daripadanya.’ Allah SWT berfirman, ‘(Berpeganglah dengan) janji dan jaminanmu bahawa engkau tidak akan memohon kepada-Ku selain daripadanya.””
Baginda bersabda, “Di titian sirat (di bahagian tepinya) terdapat tiga pokok, lalu dia berkata, Wahai Tuhanku, palingkanlah aku ke pokok tersebut lalu aku dapat memakan buahnya dan berada di bawah teduhannya. Allah berfirman, ‘(Berpeganglah dengan) janji dan jaminanmu bahawa engkau tidak akan meminta kepada-Ku lagi selainnya.”” Baginda bersabda, “Kemudian dia melihat sesuatu lain yang lebih baik daripadanya, lalu dia berkata, Wahai Tuhanku, palingkanlah aku kepada pokok ini agar aku dapat memakan buahnya, dan berada di bawah teduhannya.” Baginda SAW bersabda, “Allah SWT berfirman, ‘(Berpeganglah dengan) janji dan jaminanmu bahawa engkau tidak memohon kepada-Ku selainnya. Kemudian dia melihat sesuatu yang lebih baik daripadanya, dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, palingkanlah aku kepada pokok ini lalu aku dapat memakan buahnya dan berada di bawah teduhannya.””
Baginda SAW bersabda, “Kemudian dia melihat sekelompok manusia dan mendengar percakapan mereka. Lantas dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam syurga.”” Abu Nadhrah berkata, “Abu Sa’id dan seorang lelaki dalam kalangan sahabat Nabi berbeza riwayat, salah seorangnya meriwayatkan, ‘Lalu Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia diberikan dunia dan seumpamanya.’ Manakala seorang lagi meriwayatkan, ‘Lalu dia masuk ke dalam syurga dan diberikan dunia dan sepuluh lagi yang seumpama dengannya.””
(Riwayat Ibnu Hibban. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih melalui para perawi Muslim)
Pengajaran
- Orang yang terakhir dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ialah orang yang paling rendah martabatnya di syurga.
- Keadaan manusia melintasi titian sirat bergantung pada amalan masing-masing di dunia. Orang yang melakukan banyak amal soleh dapat melintasinya dengan pantas.
- Orang beriman hendaklah menanamkan sifat takutkan Allah pada azab-Nya walaupun tetap akan memasuki syurga selepas itu.
Sumber: Hadis Qudsi: Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT oleh Muhammad Yusuf A Kadir