Doa-Doa Dari Al-Quran Untuk Ibu Bapa Tercinta

Telah banyak ibu bapa kita berkorban untuk membesarkan kita. Tidak mungkin kita dapat membalas budi mereka. Namun, sebagai anak, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan yang terbaik dalam menghormati mereka dan melayani  mereka.

Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

(Surah Al-Isra, 17:23)

Salah satu cara terbaik yang boleh dilakukan anak-anak ialah sentiasa menitipkan doa yang ikhlas kepada ibu bapa walaupun mereka tidak lagi bersama kita. Rasulullah SAW menyarankan kita untuk terus mendoakan ibu bapa kita kerana sesungguhnya doa akan terus memberi manfaat kepada mereka.

Dari Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.

(HR Sahih Muslim)

Pelbagai jenis doa tersedia untuk kita doakan ibu bapa kita, termasuk apa-apa sahaja doa yang datangnya ikhlas dari hati kita semua. Sesungguhnya Allah mendengar semua doa kita.

Berikut adalah beberapa doa dari Al-Quran untuk dititipkan kepada ibu bapa kita yang sangat kita sayangi:

Doa Keampunan Untuk Ibu Bapa

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Rabbana-ghfirlī wa liwālidayya wa lilmu’minīna yauma yaqūmul-hisāb

“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

(Surah Ibrahim, 14:41)

Doa Memohon Belas Kasihan Kepada Kedua Ibu Bapa 

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Rabbi irhamhuma kama rabbayanii saghiira

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah Al-Isra’ 17:24)

Doa Memohon Keampunan Untuk Ibu Bapa dan Tetamu

رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتِ

Rabbi-ghfirlī wa liwālidayya wa liman dakhola baytī mu’minan wa-lilmu’minīna wal-mu’mināt

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”

(Surah Nuh, 71:28)

Doa untuk Menambah Rahmat kepada Ibu Bapa & Menanam Rasa Syukur

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Rabbi awzi’nī an asykura ni’matakal-latī an’amta ‘alayya wa ‘ala wālidayya wa an a’mala salihan tardhāhu wa adkhilnī birahmatika fī ‘ibādikas-soliheen

” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.

(Surah An-Naml, 27:19)

English Version: Muslim.SG

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑