Soalan
Saya ada terdengar satu hadis qudsi yang mana Allah berfirman maksudnya “Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan ganjarannya”, apa yang dimaksudkan dengan puasa ini untuk Allah, dan apa beza dengan amalan-amalan lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertama, hadis yang dimaksudkan ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كل عمل ابن آدم له إلا الصيام، فإنه لي وأنا أجزي به
Maksudnya: Setiap amalan anak-anak Adam itu adalah untuknya sendiri kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan ganjarannya.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini menukilkan sepuluh pendapat ulama tentang makna penisbahan khusus ibadah puasa kepada Allah SWT, kerana hakikatnya semua ibadah itu dilakukan kerana Allah SWT. Pendapat-pendapat tersebut adalah seperti berikut:
- Ibadah puasa ialah ibadah yang tidak berlaku riak seperti terjadi pada ibadah-ibadah lain. Hal ini kerana puasa itu bukanlah amalan yang zahir, perbuatan puasa itu tidak boleh ditunjuk-tunjukkan kepada orang lain kecuali dengan memberitahu orang lain bahawa dia berpuasa. Sebaliknya, puasa merupakan amalan yang tersembunyi di dalam hati dan hanya Allah yang dapat mengetahui apabila seseorang itu memulakan ibadah puasanya. Pendapat ini disokong oleh sabda Rasulullah SAW: ليس في الصيام رياء Maksudnya: “Tidak berlaku riak pada ibadah puasa.” (Riwayat al-Baihaqi)
- Gandaan pahala puasa hanya diketahui oleh Allah SWT berbeza dengan amalan-amalan lain yang telah diberitahu gandaan pahala iaitu antara sepuluh hingga 700 gandaan kebaikan.
- Ibadah puasa merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah SWT.
- Penisbahan puasa kepada Allah SWT di dalam hadis tersebut adalah tujuan pengagungan ibadah puasa daripada ibadah-ibadah lain. Hal ini sama seperti perkataan Rumah Allah, iaitu masjid, yang dinisbahkan kepada Allah SWT untuk mengagungkan masjid, sedangkan semua rumah dan seluruh alam ini adalah milik Allah SWT.
- Perbuatan tidak makan dan minum adalah sifat keagungan Allah SWT. Oleh itu, puasa menjadikan seseorang hamba mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan menahan diri daripada makan dan minum.
- Menahan diri daripada makan dan minum seakan-akan menyerupai sifat para malaikat.
- Ibadah puasa tidak akan memberi apa-apa manfaat duniawi kepada manusia, berbeza dengan ibadah-ibadah lain yang boleh mendatangkan pujian orang-orang yang melihat.
- Amalan berpuasa tidak pernah dilakukan oleh manusia untuk beribadah kepada selain Allah.
- Perbuatan zalim seorang manusia terhadap orang lain akan menghapuskan amalan-amalannya sehingga menjadi muflis pada hari kiamat kelak kecuali puasa yang tidak akan dihapuskan.
- Ibadah puasa ialah amalan yang tersembunyi sehingga malaikat pencatat amalan pun tidak dapat mencatatnya.
Selepas menyenaraikan sepuluh pendapat ini, Imam Ibn Hajar menyokong pendapat yang pertama dan kedua.
Selain itu, Imam al-Nawawi juga menyatakan pendapat-pendapat yang sama secara ringkas, kemudian membuat kesimpulan bahawa maksud penisbahan khusus tersebut adalah untuk menerangkan betapa agungnya ibadah puasa dan besarnya ganjarannya. Namun, ganjaran yang besar ini hanya akan diperolehi oleh orang yang memelihara puasanya daripada segala maksiat dan dosa sama ada perbuatan atau perkataan. Kata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani selepas mensyarahkan hadis di atas:
واتفقوا على أن المراد بالصيام هنا صيام من سلم صيامه من المعاصي قولا وفعلا
Maksudnya: “Dan mereka (para ulama) bersepakat bahawa puasa yang (dimaksudkan dalam hadis ini) adalah puasa yang terpelihara daripada maksiat sama ada perkataan atau perbuatan.”
Kesimpulan
Secara umumnya semua amalan ibadah dilakukan kerana Allah, namun ibadah puasa dinisbahkan secara khusus kepada Allah dalam hadis ini untuk menyatakan keistimewaan ibadah puasa berbanding ibadah lain daripada segi keagungan di sisi Allah dan ganjaran pahalanya yang besar. Namun, untuk mendapatkan ganjaran tersebut, seseorang itu hendaklah menjauhi segala maksiat dan kata-kata buruk agar tidak luput pahala puasanya, sepertimana sabda Nabi SAW:
من لم يدع قول الزور والعمل به والجهل، فليس لله حاجة أن يدع طعامه وشرابه
Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.”
(Riwayat al-Bukhari)
WaAllahu a’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment