Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT.
Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Nasihat Akhir Ramadan”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Hari ini kita sudah berada pada hari ke-25 dalam Bulan Ramadan. Bererti hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi Ramadan akan berlalu pergi meninggalkan kita bersama hasil tarbiyah dan latihan selama sebulan. Sejauh mana konsistensi kita setakat hari ini? Adakah kita masih bersungguh-sungguh merebut tawaran dan peluang yang terbuka luas di bulan ini atau kita telah pun mula beransur-ansur meninggalkan masjid dan amal-amal soleh kerana sibuk membuat persiapan Aidilfitri?
Sepuluh malam terakhir ini juga disebutkan terdapatnya malam al-qadr (malam yang memiliki kelebihan dan kebaikan yang melebihi 1000 bulan). Berusahalah mendapatkannya dengan beriktikaf di masjid, qiamullail, membaca al-Quran, bersedekah dan amalan-amalan lainnya kerana belum tentu lagi kita dapat bertemu dengan Ramadan akan datang kerana kebelakangan ini juga semakin banyak berita kematian saudara terdekat dan kenalan yang singgah di telinga kita. Mungkinkah selepas ini giliran kita pula? Berdoalah untuk kebaikan diri, keluarga umat Islam seluruhnya untuk menghadapi fitnah dan cabaran dunia mendatang yang semakin keras. Semoga dengan berkatnya malam al-qadr itu, akan diperkenan doa kita semua. Insya-Allah.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qadr yang maksudnya:
لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌۭ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ(٣) تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍۢ(٤)
“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)”.
(al-Qadr 97: 3-4)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Ketika kita sibuk menumpukan perhatian kepada baki Ramadan ini, dan sibuk juga melakukan persiapan Aidilfitri, jangan lupakan saudara-saudara seiman kita di Palestin ketika ini masih lagi dihujani peluru dan bedilan bom yang dilepaskan secara rambang oleh puak-puak rejim zionis Israel laknatullah ‘alaihim yang bacul. Enam bulan tempoh peperangan yang masih belum menunjukkan titik noktah kerana kedegilan dan kerakusan Israel. Seluruh Gaza khususnya telah pun hancur, bahkan jumlah kematian juga sangat mendukacitakan lebih-lebih lagi lebih separuh angka kematian tersebut terdiri dari kalangan kanak-kanak dan kaum wanita.
Kita di sini sibuk menghias rumah dengan lampu dan pelita, manakala mereka di sana masih lagi tercari-cari tempat perlindungan buat mereka berteduh. Kita sibuk menyediakan juadah untuk hari raya manakala mereka ada yang sudah beberapa bulan tidak menjamah makanan. Kita sibuk memilih tema warna baju raya manakala pakaian mereka itulah yang dipakai sejak enam bulan lalu dan kini semakin tebal dengan debu-debu. Betapa kuatnya mereka yang bersendirian menghadapi musuh, namun mereka tetap teguh dan yakin dengan janji Allah SWT.
Justeru, di penghujung Ramadan ini marilah kita terus bermunajat berdoa kepada Allah SWT dengan sesungguh-sungguh permohonan supaya saudara-saudara seiman kita di Palestin itu terus kuat dan sabar serta diberi pertolongan menghadapi rejim zionis Israel laknatullah ‘alaihim. Semoga Bumi Palestin, terutamanya Masjid al-Aqsa kembali kepada tangan umat Islam dan mereka dapat membina negara dengan aman dan sejahtera sebagaimana selayaknya.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Dalam pada kita sibuk mengejar pahala di penghujung Ramadan ini, jangan pula kita mengenepikan hubungan sesama manusia. Ia juga sebahagian dari tuntutan agama yang mesti dipenuhi. Peliharalah keamanan yang ada dan hentikanlah segala bentuk provokasi atau perbuatan khianat yang boleh menggugat kesejahteraan negara. Hendaklah kita selidik terlebih dahulu setiap maklumat yang sampai kepada kita dan janganlah kita mudah menghukum orang lain tanpa usul periksa.
Kesejahteraan negara yang ada ketika ini sangatlah berharga dan melalui jalan yang panjang untuk membinanya, namun ia boleh hancur musnah sekelip mata dengan sedikit kata-kata atau tindakan yang tidak bijak. Menjaga hubungan silaturahim juga merupakan sebahagian daripada pelengkap keimanan seseorang. Sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, ‘Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat maka hendaklah dia menyambung hubungan silaturahim”.
(Muttafaqun ‘alaih)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba, ada di kalangan kita yang sudah merancang untuk pulang ke kampung bagi merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Saya turut mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan pesanan bagi mereka yang sedang dan akan menempuh perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing. Tetaplah berakhlak mulia dalam apa-apa jua keadaan, masa, dan tempat lebih-lebih lagi yang bersangkutan dengan nyawa, agama, akal, keturunan dan harta sebagaimana terkandung dalam Maqasid al-Syariah.
Antara akhlak mulia yang perlu diamalkan oleh semua pengguna jalan raya ialah mematuhi peraturan lampu isyarat, saling menghormati, bersikap sopan, bertimbang rasa, bertolak ansur, mematuhi lampu isyarat, tidak memotong di lorong kecemasan, sentiasa berhemah dan sabar. Mulakan perjalanan dengan berdoa kepada Allah dan memohon perlindungan kepada-Nya. Jangan tergopoh-gapah, jangan memandu secara berbahaya atau dalam keadaan mengantuk.
Akhirnya, setelah segala persiapan dan pemeriksaan dilakukan, bertawakallah sebenar-benarnya kepada Allah SWT dan berserah kepada janji-Nya kerana hanya Allah SWT jualah sebenar-benar tempat kita bersandar dan bergantung harap.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin meninggalkan beberapa pesanan;
Pertama: Tetapkan konsentrasi pada akhir-akhir Ramadan yang terkandung padanya malam al-qadr dan kelebihan besar yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Kedua: Berdoalah memohon kebaikan kepada Allah SWT buat diri, keluarga dan umat Islam seluruhnya dalam menghadapi fitnah dan cabaran dunia yang semakin keras.
Ketiga: Berdoa kepada Allah, lakukan persiapan secukupnya, sentiasa berakhlak mulia dan bersabar serta bertawakal kepada Allah SWT menyerah diri kepada-Nya memohon perlindungan dalam apa-apa jua keadaan kita kerana Allah SWT jualah tempat kita bertawakal. Firman Allah SWT:
قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ (٥١)
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”
(Surah al-Taubah 9:51)
Tarikh Dibaca: 5 April 2024M l 25 Ramadhan 1445H
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment