Soalan
Saya dan kakak saya masing-masing ada beli minuman jenama dan perisa sama. Kami simpan di peti ais yang sama. Pada asalnya, saya letak air saya dengan posisi yang berbeza supaya mudah dibezakan. Tetapi, minuman kami telah dialihkan sehingga tidak tahu mana satu saya punya. Bila berlaku situasi seperti ini, boleh tak saya ambil mana-mana daripada minuman itu?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Mengambil Harta Orang Lain
Mengambil harta orang lain tanpa izin merupakan satu pencerobohan hak sesama manusia. Islam yang datang dengan membawa agenda kesejahteraan manusia melarang perbuatan zalim terhadap hak manusia lain. Menjaga harta adalah salah satu daripada maqasid yang menjadi tujuan penting dalam Islam. Pada asasnya hukum mengambil harta orang lain secara batil seperti mencuri dan merampasnya adalah haram.
Allah SWT berfirman;
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Baqarah 2: 188)
Dan berpandukan kaedah;
لَا يجوز لأحد أَن يتَصَرَّف فِي ملك الْغَيْر بِلَا إِذْنه
Maksudnya: “Tidak harus seseorang memanfaatkan barang milik orang lain tanpa izinnya”.
(Rujuk Syarah al-Qawaid al-Fiqhiah hlm. 461)
Namun dalam situasi tertentu hukum mengambil dan memakan hak orang lain adalah harus. Hukum itu berubah berdasarkan adat atau uruf amalan sebuah masyarakat di sesuatu tempat dan masa yang tertentu.
Contohnya, harus memakan makanan yang belum dibayar di premis yang tidak mensyaratkan pembayaran terlebih dahulu, tetapi tidak harus pula pada premis yang mensyaratkannya. Makanan yang dihidangkan di dalam majlis perkahwinan boleh dimakan tanpa pembaziran namun tidak harus pula hendak di “tapau” dan dibawa pulang ke rumah. Begitu juga makanan atau minuman yang disimpan di dalam peti sejuk di dapur rumah boleh diambil oleh sesiapa sahaja yang berada di rumah itu.
Sebaliknya seseorang tidak harus mengambil makanan yang disimpan di dalam peti sejuk milik peribadi melainkan setelah mendapat keizinan terlebih dahulu daripada pemiliknya. Manakala makanan yang terhidang di rumah pula boleh dimakan oleh sesiapa sahaja daripada isi rumah tersebut tanpa perlu mendapatkan izin daripada sesiapa.
Hukum ini berdasarkan firman Allah;
لَيْسَ عَلَى الْأَعْمَى حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْمَرِيضِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى أَنْفُسِكُمْ أَنْ تَأْكُلُوا مِنْ بُيُوتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ آبَائِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أُمَّهَاتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ إِخْوَانِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَخَوَاتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَعْمَامِكُمْ أَوْ بُيُوتِ عَمَّاتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَخْوَالِكُمْ أَوْ بُيُوتِ خَالَاتِكُمْ أَوْ مَا مَلَكْتُمْ مَفَاتِحَهُ أَوْ صَدِيقِكُمْ لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَأْكُلُوا جَمِيعًا أَوْ أَشْتَاتًا
Maksudnya: “Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki, atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya, atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing”.
(Surah al-Nur 24:61)
Pada menghuraikan ayat di atas Imam Qurtubi dalam tafsirnya ada menyebut;
قَالَ بَعْضُ الْعُلَمَاءِ: هَذَا إِذَا أَذِنُوا لَهُ فِي ذَلِكَ. وَقَالَ آخَرُونَ: أَذِنُوا لَهُ أَوْ لَمْ يَأْذَنُوا فَلَهُ أَنْ يَأْكُلَ، لِأَنَّ الْقَرَابَةَ الَّتِي بَيْنَهُمْ هِيَ إِذَنٌ مِنْهُمْ….. قال ابن العربي: أباح لنا الأكل من جهة النسب، من غير استئذان، إذا كان الطعام مبذولا.فإذا كان محرزا دونهم ، لم يكن لهم أخذه.
Maksudnya: “Setengah Ulama berpandangan, hukum harus mengambil makanan di rumah berkenaan jika telah diizinkan dan pendapat yang lain pula diharuskan memakan makanan tersebut sama ada telah diizinkan atau pun tidak. Ini kerana pertalian keluarga di antara mereka sudah memadai sebagai keizinan berbuat demikian”….Ibnu al-Arabi berkata “Harus memakan makanan adik beradik tanpa izin sekiranya makanan itu boleh diambil, namun jika makanan itu berada tempat yang berkunci maka tidak harus mengambilnya (memakan)”.
(Rujuk: Tafsir al-Qurtubi jld. 12, hlm. 315)
Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menjelaskan dalam Tafsir al-Munir dengan menyatakan keharusan mengambil makanan di rumah bapa, ibu, adik-beradik dan lain-lainnya seperti berikut;
أن الله تعالى أباح لنا الأكل من أحد عشر موضعا بلا إذن صريح، حيث علمنا رضاه وسروره، وأنه لا يبخل ولا يتألم، فإن كان يتضجر أو يتألف أو يتألم فلا نأكل من طعامه في غيبته، ويطلب التعفف حينئذ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharuskan memakan makanan orang lain di sebelas tempat (seperti yang dinyatakan dalam ayat 61 Surah al-Nur) tanpa perlu mendapat keizinan yang jelas, cukup sekadar kita tahu tuan rumah/ makanan itu redha dan senang hati dengannya. Ini kerana kita telah mengenali bahawa beliau bukan seorang yang bakhil. Namun sekiranya orang itu sempit hatinya (berkira-kira) dan merasa tidak selesa dengan tindakan tersebut, maka tidak boleh kita memakan makanannya ketika ketiadaannya dan mestilah terlebih dahulu meminta kebenaran sebelum boleh memakannya”.
Dan sabda Nabi SAW;
لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسٍ مِنْهُ
Maksudnya: “Tidaklah halal mengambil harta orang lain kecuali ketika redha pemiliknya”.
(Musnad Ahmad No. 20172)
juga berdasarkan kaedah feqah;
العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ
Maksudnya: “Amalan biasa dijadikan sebagai rujukan hukum”.
(Rujuk Syarah al-Qawaid al-Fiqhiah, hlm. 219)
Kesimpulan
Daripada keterangan di atas dapat kami simpulkan bahawa;
- Harus mengambil mana-mana air kotak yang tersimpan dalam peti sejuk sekiranya sudah dikenali watak kakak saudara ialah seorang yang tidak memandang serius dan sentiasa bertolak ansur sekiranya perkara tersebut berlaku.
- Namun sekiranya watak kakak saudara adalah sebaliknya, maka hendaklah bertanya dan memohon kebenaran terlebih dahulu sebelum mengambil dan meminumnya.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment