Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 29 – Amalan Ke Syurga

Daripada Mu’az bin Jabal R.A, bahawa beliau bertanya Rasulullah SAW maksudnya:

“Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku tentang suatu amal yang dapat memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka.”” Nabi SAW menjawab: “Engkau bertanya tentang perkara yang besar. Namun sesungguhnya ia adalah mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah. Sembahlah Allah dan jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, kerjakanlah solat, keluarkanlah zakat, berpuasalah pada bulan Ramadan, dan kerjakanlah ibadah haji ke Baitullah.” Kemudian Baginda bersabda: “Inginkah engkau ku beri petunjuk akan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu adalah sebagai perisai, sedekah adalah amal yang menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api, dan solatnya seseorang di tengah malam.”” Kemudian Baginda membaca ayat dalam surah al-Sajdah, ayat 16-17: ‘Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka. Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu per satu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.”” Kemudian Baginda SAW bersabda: “Mahukah engkau ku beritahu tentang pokok amal, tiang dan puncaknya?’ Saya menjawab: “Mahu, wahai Rasulullah?”” Rasulullah bersabda: Pokok amal adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan puncaknya adalah jihad.’ Kemudian Baginda SAW bersabda: “Mahukah engkau ku beritahu tentang kunci daripada semua perkara itu?”” Saya menjawab: “Mahu, wahai Rasulullah.” Baginda lalu memegang lidahnya dan bersabda: “Jagalah ini.” Saya berkata: “”Wahai Nabi Allah, adakah kita dihisab atas apa yang kita katakan?” Baginda bersabda: ‘Semoga ibumu kehilanganmu! (ungkapan hairan). Dan Bukankah manusia itu dihumban muka dan hidungnya ke dalam Api Neraka melainkan kerana ucapan mereka (yang berbentuk maksiat)?””

(Riwayat al-Tirmizi no. 2616)

Huraian 

Hadis ini merumuskan amalan-amalan soleh yang membawa seseorang itu ke syurga dan menjauhkan daripada api neraka selain amalan fardu yang memang diwajibkan. 

Antaranya:

  1. Puasa yang menjadi benteng: Yang dimaksudkan ialah puasa sunat, bukan puasa wajib.
  2. Sedekah selain daripada zakat.
  3. Solat malam.

Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat malam.”

(Riwayat Muslim no. 1163)

Rasulullah SAW juga bersabda:

عَلَيْكُمْ بِقِيَام اللَّيْلِ، فَإِنَّهُ دَأْبُ الصَّالِحِيْنَ قَبَّلَكُمْ، وَإِنَّ قِيَامَ اللَّيْلِ قُرْبَةٌ إِلَى اللهِ، وَمَنْهَاةٌ عَنِ الْإِثْم، وَتَكْفِيْرٌ لِلسَّيِّئَاتِ، وَمَطْرَدَةٌ لِلدَّاءِ عَن الْجَسَد.

Maksudnya: “Kamu mesti melakukan solat malam (tahajud). Sesungguhnya ia adalah kebiasaan para solihin sebelum kamu, dan sesungguhnya solat malam (qiamullail) itu adalah qurbah (yang menghampirkan) kepada Allah dan menegah daripada dosa, penghapus keburukan dan pembuang penyakit daripada tubuh.”

(Riwayat al-Tirmizi no. 3549)

Pokok, Tiang Dan Puncak Amal

  1. Pokok segala urusan ialah Islam, maksudnya ialah mengucap dua kalimah syahadah.
  2. Tiangnya ialah solat
  3. Puncaknya ialah jihad. Jihad dapat memelihara Islam dan meninggikan kalimah Allah.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar R.A iaitu:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ: أَيُّ الْعَمَل أَفْضَلُ؟ قَالَ: إِيْمَانٌ بِاللهِ وَجِهَادٌ فِي سَبِيْلِهِ

Maksudnya: “Aku bertanya, Wahai Rasulullah! Apakah amalan yang paling afdal?”” Jawab Baginda, “Beriman dengan Allah kemudian berjihad di jalan-Nya.”

(Riwayat al-Bukhari no. 2518)

Menjaga Lidah

Menjaga lidah ialah anak kunci segala urusan. Sabda Nabi SAW  yang bermaksud:

“Semoga engkau selamat. Adakah yang menjadikan orang tersungkur di atas mukanya (ada yang meriwayatkan batang hidungnya) di dalam neraka, selain ucapan lidah mereka?”

Penjelasannya telah ada pada hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.”

Demikianlah juga pada hadis lain yang disebutkan:

“Sesiapa memberi jaminan kepadaku untuk menjaga apa yang ada di antara kedua-dua bibirnya dengan apa yang ada di antara kedua-dua pahanya, maka aku jamin dia masuk syurga.”

(Sahih al-Bukhari no. 6474)

Amalan Selepas Amalan Fardu

  1. Menuntut ilmu menurut Imam Malik dan Abu Hanifah.
  2. Berjihad di jalan Allah menurut Imam Ahmad.
  3. Solat fardu ataupun sunat terutama pada awal waktu mengikut Imam Syafi’i.
  4. Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.

Pendapat yang berbeza ini disebabkan Rasulullah SAW menjawab pertanyaan sahabat pada situasi, keadaan dan penanya yang berbeza.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑