أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ (٧)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbualbual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk: “Bagaimana Kita Menyambut Syawal? “
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah,
Secara fitrahnya, jiwa manusia suka kepada perayaan dan berasa gembira dengannya. Meskipun Hari Raya Eidulfitri hanya diperuntukkan satu hari sahaja, iaitu pada 1 Syawal, namun di Malaysia khususnya telah menjadi tradisi masyarakat Islam menyambutnya lebih daripada satu hari. Ini disebabkan antaranya, aktiviti ziarah menziarahi antara kaum kerabat, sanak saudara dan sahabat handai yang mungkin hanya dapat dilakukan sekali dalam satu tahun.
Maka, sudah tentu aktiviti ziarah menziarahi ini tidak dapat diselesaikan semuanya dalam tempoh sehari sahaja, apatah lagi jika jarak antara satu sama lain itu agak jauh. Namun, perlu diketahui bahawa sambutan yang dibuat lebih daripada 1 Syawal ini bukanlah Hari Raya, sebaliknya ia hanyalah sambutan sempena perayaan sahaja. Apa-apa pun, tradisi ziarah menziarahi, bermaaf-maafan dan rumah terbuka di bulan Syawal ini merupakan satu amalan yang baik selagimana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Bulan Syawal ini sewajarnya dijadikan masa untuk kita terus bersyukur dan beristiqamah menjadi hamba Allah yang soleh setelah sebulan bertungkus lumus melawan godaan hawa nafsu di bulan Ramadhan, dan ia bukannya Eidulfitri waktu untuk kita kembali kepada sikap dan perangai lama yang kurang baik.
Jadikanlah bulan Ramadhan yang dilalui sebagai pendidik untuk kita terus menjadi hamba Allah yang Rabbani dan bukan semata-mata hamba Ramadhani. Sesuai dengan matlamat berpuasa itu sendiri agar kita menjadi hamba Allah SWT yang bertakwa. Aspek kehambaan ini sudah tentu melibatkan secara menyeluruh segenap lapisan masyarakat Islam tanpa ada siapa pun yang terkecuali. Kata Imam Ibnu Rajab Rahimahullah dalam kitabnya Lata’if al-Ma‘arif:
“Hari Raya adalah musim kegembiraan dan keceriaan, namun kegembiraan dan keceriaan orang mukminin di dunia ini hanyalah sematamata demi Tuhan mereka, iaitu hanya apabila mereka berjaya menyempurnakan ketaatan terhadap-Nya dan memperolehi ganjaran amalan mereka, melalui kepercayaan penuh mereka terhadap janji-Nya ke atas amalan tersebut, yang semata-mata dengan limpahan kurnia dan keampunan-Nya jua”.
Kata beliau lagi dalam sebuah ungkapan yang penuh hikmah: “Hari Raya (yang sebenar) itu bukanlah bagi orang yang berpakaian baru, tetapi Hari Raya itu adalah bagi orang yang ketaatannya bertambah maju. Hari Raya (yang sebenar) itu bukanlah bagi orang yang bergaya dengan berbagai pakaian dan kenderaan, tetapi Hari Raya itu adalah bagi orang yang dosa-dosanya mendapat keampunan”.
Imam Ibnu Rajab turut memetik kata Imam Hasan al-Basri Rahimahullah iaitu katanya: “Setiap hari yang tidak ada penderhakaan terhadap Allah padanya, maka itulah Hari Raya. Setiap hari yang dilalui seorang mukmin dalam keadaan mentaati Tuhannya, mengingati dan mensyukuri-Nya, maka itulah Hari Raya baginya”.
Kehambaan kita kepada Allah SWT ini tentunya menuntut kita agar sentiasa mengingati dan membesarkan-Nya bukan semata-mata hanya pada Hari Raya sahaja, tetapi ianya perlulah dilakukan secara berterusan pada setiap masa dan ketika. Janganlah kita menjadi orang yang sering lalai daripada mengingati dan membesarkan Allah SWT sehingga akhirnya nanti menjadi orang yang jauh pula daripada redha dan rahmat-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 124:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ (١٢٤)
Maksudnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.
(Taha 20:124)
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Dalam kita bergembira menyambut Syawal ini janganlah ia dicemari dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak. Jika kita berjaya menjaga lidah semasa bulan Ramadhan daripada perbuatan mengumpat, mencaci dan menghina orang lain, maka janganlah jadikan bulan Syawal masa untuk kembali menggunakan lidah kepada perkaraperkara yang dibenci Allah SWT itu.
Jika kita berjaya menjaga hati kita semasa bulan Ramadan daripada perbuatan sombong, riak dan bangga diri, maka janganlah jadikan bulan Syawal masa untuk menunjuk-nunjuk dan mempamerkan harta benda mewah atau barang baru yang dimiliki. Ingatlah, semua nikmat yang diperolehi itu sudah tentu datang daripada Allah SWT dan wajib disyukuri, namun Dia juga boleh menariknya semula pada bila-bila masa sahaja.
Jika kita berjaya berjimat cermat semasa bulan Ramadhan, maka janganlah jadikan bulan Syawal masa untuk kita melakukan pembaziran dan berlebih-lebihan tanpa had batasan. Ingatlah, pembaziran itu adalah tabiat perbuatan syaitan dan sentiasa dicela oleh agama Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 27:
إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا (٢٧)
“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(al-Isra’ 17:27)
Jika kita gemar bersedekah di bulan Ramadhan, maka janganlah pula kita menjadi kedekut ataupun bakhil di bulan Syawal. Walhal ganjaran pahala bersedekah itu sentiasa tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Terdapat banyak hadis yang menggalakkan kita supaya bersedekah tanpa ditentukan had masa yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW ingin mengajar umatnya agar jangan pernah melupakan saudara Islam lain yang sedang mengalami kesusahan dan kesempitan hidup. Tentunya sedekah buat mereka yang sangat memerlukan amat besar ertinya bagi mereka, apatah lagi di musim sempena perayaan sebegini. Sudah tentu golongan yang susah atau serba kekurangan ini amat memerlukan bantuan bagi memenuhi berbagai hajat dan keperluan hidup mereka.
Maka, menjadi tanggungjawab setiap kita umat Islam untuk memastikan tiada saudara mara dan jiran tetangga yang menghadapi kesusahan di bulan yang mulia ini. Tanpa melupakan juga pada saudara Islam kita di negara lain yang sedang menghadapi kesusahan, kebuluran dan peperangan, khususnya saudara Islam kita di Gaza, Palestin yang sedang dizalimi dan ditindas oleh rejim Zionis Yahudi pada saat dan ketika ini. Sudah tentu menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk menghulurkan bantuan kepada mereka menurut kadar kemampuan yang ada.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Tentunya musim sempena perayaan ini merupakan waktu yang sesuai untuk kita mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan antara sesama umat Islam. Waktu untuk kita saling bermaaf-maafan, mengeratkan silaturrahim dan mengenepikan segala permusuhan. Tidak dinafikan, budaya rumah terbuka yang diadakan merupakan satu budaya yang baik.
Namun begitu, tuan rumah perlulah mempunyai rasa cakna dan prihatin dengan kawasan kejiranan yang didiami. Sekiranya keadaan tidak sesuai seperti jalan yang terlalu sempit dan kawasan parkir kereta yang sangat terhad, maka buatlah di tempat lain yang lebih sesuai. Janganlah mementingkan diri sehingga menyebabkan jiran tetangga berasa susah, terganggu dan tidak selesa.
Jika mengadakan rumah terbuka, tuan rumah tetap perlu bertimbang rasa dan memahami hal keadaan jiran sekeliling. Janganlah melakukan perkara yang boleh mengganggu ketenangan dan ketenteraman jiran tetangga seperti memasang alat pengeluar bunyi yang terlalu kuat, membiarkan sampah bersepah tanpa terurus dan sebagainya. Ingatlah, Islam amat menitik beratkan supaya hak jiran tetangga ini dipelihara dengan baik. Daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu katanya: Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jiran tetangganya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Para pengunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai juga perlulah memahami kedudukan dan keadaan rumah yang dikunjungi. Amalan yang sangat baik ini janganlah dicemari dengan perkara-perkara yang boleh merosakkannya seperti meletakkan kenderaan sesuka hati, menghalang laluan, bercampur antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa batasan serta duduk terlalu lama sehingga membuatkan tuan rumah berasa kurang selesa.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Mengakhiri khutbah pada hari yang berbahagia ini, antara kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah ini adalah:
- Umat Islam hendaklah menjadikan bulan Syawal sebagai tanda kemenangan melawan godaan hawa nafsu untuk terus menjadi hamba Allah SWT yang soleh, bukannya masa untuk kembali kepada sikap lama yang kurang baik.
- Umat Islam perlulah sentiasa prihatin dengan saudara Islam mereka yang menghadapi dugaan, kesusahan dan kesulitan di mana sahaja mereka berada serta segera menghulurkan bantuan menurut kemampuan yang ada.
- Umat Islam perlulah menjaga adab-adab Islam ketika meraikan sambutan Syawal dalam mengadakan rumah terbuka, atau berziarah dan berkunjung ke rumah sanak saudara serta sahabat handai sesuai menurut petunjuk baginda Rasulullah SAW.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
قَالَ ٱللَّهُ هَـٰذَا يَوْمُ يَنفَعُ ٱلصَّـٰدِقِينَ صِدْقُهُمْ ۚ لَهُمْ جَنَّـٰتٌۭ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًۭا ۚ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ(١١٩)
“Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar”.
(al-Ma’idah 5:119)
Tarikh Dibaca: 3 Syawal 1445H/12 April 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment