أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ(١٠)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita semua dibangkitkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak.
Mimbar mengingatkan para jemaah sekalian, marilah kita meneruskan amalan-amalan selepas Ramadan terutama istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau serta bersama- samalah menyemarakkan kempen “Subuh Macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan. Semoga segala amal ibadah dan kesungguhan kita mengimarahkan rumah Allah mendapat limpahan rahmat dan ganjaran pahala yang banyak daripada Allah SWT.
Bulan Syawal merupakan bulan yang sinonim dengan amalan mengeratkan ukhuwah, berkasih sayang dan ziarah menziarahi dalam kalangan sanak saudara mahu pun rakan taulan. Justeru itu, tajuk khutbah pada hari ini ialah, “Ziarah Tautkan Ukhuwah”.
Sidang Jemaah yang berbahagia,
Amalan berziarah merupakan satu amalan yang dituntut dalam Islam dalam memenuhi hak-hak sesama manusia sama ada bagi merapatkan hubungan persaudaraan atau sebagai tanda mengambil berat terhadap keadaan insan lain. Ukhuwah Islamiah merupakan satu konsep dalam Islam yang menyatakan bahawa setiap muslim dengan muslim lain adalah bersaudara.
Sesungguhnya, Islam sangat menggalakkan penganutnya agar sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan persaudaraan. Firman Allah SWT, surah al-Hujurat, ayat 10 bermaksud:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(al-Hujurat 49:10)
Islam adalah agama rahmah yang menuntut kasih sayang, kedamaian dan kemuliaan dalam kalangan manusia. Islam melarang mengumpat, mengeji, menghina dan merendahkan sesama manusia walau apa bangsa dan agama sekali pun. Malah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam menunjukkan akhlak dan keperibadian mulia kepada masyarakat bukan Islam.
Hadirin Jumaat yang dikasihi sekelian,
Jadikanlah bulan Syawal sebagai masa yang paling sesuai untuk kita menghubungkan kembali sillaturahim. Mungkin sebelum ini di antara kita ada berlaku salah faham atau perselisihan yang membawa kepada bermasam muka dan tidak bertegur sapa.
Maka ambillah peluang bulan yang penuh berkat ini untuk mengeratkan kembali hubungan yang kian pudar. Tautan ukhuwah merupakan kunci kekuatan ummah. Dalam usaha menghubungkan tali persaudaraan, Nabi SAW telah memberikan pesanan yang sangat berharga buat umatnya. Imam al-Bukhari Rahimahullah telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung tali persaudaraannya (silaturrahim), dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia mengatakan (perkara) yang baik atau dia berdiam diri.”
Muslimin yang dirahmati Allah,
Antara maksud silaturrahim adalah menyambung hubungan antara kaum kerabat sama ada melalui jalur keturunan atau melalui perkahwinan dengan pelbagai cara seperti mengunjungi mereka, memberi bantuan kepada mereka ketika memerlukan, mengambil cakna akan hal keadaan mereka dan seumpamanya.
Silaturrahim boleh terputus berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan disebabkan oleh harta benda, pusaka, fitnah, hasutan, dengki, sifat sombong dan mementingkan diri sendiri. Permusuhan dan pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang meleraikan atau mendamaikan permusuhan itu.
Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
لَيْسَ الوَاصِلُ بِالمُكَافِئ، وَلكِنَّ الوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
“Bukanlah orang yang menyambung silaturrahim itu orang yang (sekadar) memenuhi keperluan, namun orang yang menyambung silaturrahim itu adalah orang yang segera menyambungnya kembali setelah ia terputus.”
Sebenarnya tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang terputus bukan saja terletak pada pihak bermusuhan, tetapi keluarga atau kawan-kawan juga boleh memainkan peranan dalam mendamaikan dan menyambung semula ikatan silaturrahim yang terputus.
Hadirin Muslimin yang dimuliakan,
Mutakhir ini terdapat kecenderungan masyarakat mengambil peluang cuti bulan Syawal untuk melancong ke luar negara atau menghabiskan masa di dalam rumah berbanding untuk keluar berziarah. Budaya ini perlu diubah kerana ia tidak menepati tujuan sambutan hari raya yang merupakan satu syiar Islam. Inilah kesempatan serta waktu yang paling sesuai untuk kita merapatkan hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan. Ibarat kata bijak pandai: Yang Jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan dan yang rapat kita mesrakan.
Jika kita tidak ada keinginan untuk menziarahi sanak saudara, bagaimana kita dapat mengukuhkan ukhuwah kita lebih-lebih lagi dengan kekangan kerja yang membataskan aktiviti kita untuk mendekati saudara mara pada hari-hari yang lain.
Seperkara lagi, fenomena ketagihan masyarakat terhadap media sosial merencatkan objektif amalan ziarah untuk saling beramah mesra, menyantuni atau berbual bersama-sama keluarga tuan rumah. Kadangkala ketika berkunjung ke rumah rakan taulan dan jiran tetangga, masyarakat masih lagi leka bersembang dalam media sosial dan mengemaskini status akaun sama ada di Facebook, Tik Tok, Twitter, Instagram dan lain- lain. Sedarlah, tindakan ini menyebabkan tercalarnya adab dan akhlak serta sedikit sebanyak menggangu interaksi sesama kita dengan berkurangnya komunikasi di antara tuan rumah dan tetamu.
Mimbar mengingatkan, jika perkara ini juga diambil mudah, tidak mustahil suatu hari nanti, lunturnya semangat ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam dan masing-masing akan hidup mementingkan diri sendiri sahaja.
Para tetamu yang dirahmati Allah,
Dalam kesempatan Syawal ini, kita juga hendaklah meneruskan kesinambungan selepas Ramadan dengan beberapa amalan kebaikan. Antaranya, melakukan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan hadith daripada Abu Ayyub al-Ansari Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian dia melanjutkan dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, (nilai puasanya) sama seperti dia berpuasa selama setahun.”
Walaupun ia amalan yang sunat namun tidak wajar kita mengambil ringan amalan berkenaan. Sangat rugi jika kita terlepas mengamalkannya pada bulan Syawal ini. Selain itu, istiqamahlah ke masjid untuk solat berjemaah disamping bersama mengimarahkannya.
Teruskanlah amalan bersedekah dan juga cakna membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Berusahalah melazimi tadarus al-Quran dan menghadirkan diri ke majlis ilmu seperti kuliah agama dan ceramah. Program sedemikian dapat memberi motivasi dan menyegarkan fikiran serta memberikan semangat kepada kita melakukan kebaikan. Pengukuhan iman turut bertambah dengan menghadiri majlis ilmu dan apabila iman sudah kuat, yang kita dambakan hanyalah reda dan kasih sayang Allah.
Sidang hadirin yang dikasihi sekelian,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Amalan ziarah dan menghubungkan silaturrahim merupakan perkara yang dituntut dalam Islam dalam membina ummah berkasih sayang dan memenuhi hak-hak sesama manusia.
Kedua: Utamakanlah objektif ziarah dan ketagihan masyarakat terhadap media sosial perlu diatasi kerana ia boleh merencatkan matlamat amalan mulia tersebut.
Ketiga: Kita hendaklah merebut peluang mendapatkan ganjaran berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal di samping meneruskan amalan-amalan selepas Ramadan.
Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 1:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا(١)
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”
Tarikh Dibaca: 3 Syawal 1445H/12 April 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment