Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 30 – Allah Menetapkan Kewajipan

Daripada Abi Tsa’labah al-Khusyani Jurtsum bin Nasyirin RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan beberapa kewajipan, maka janganlah engkau meninggalkannya. Dan telah menentukan beberapa hudud (batas), maka janganlah engkau melampauinya. Dan telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah melanggarinya. Dan Dia telah diam daripada beberapa perkara sebab rahmat bagimu, bukannya kerana lupa, maka janganlah engkau mempersoalkannya.”

(Riwayat ad-Daraqutni no. 4396 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra no. 19 725)

Huraian 

Pembahagian Hukum Allah

  1. Hukum yang difardukan Allah yang diwajibkannya tidak boleh disia-siakan.
  2. Hukum yang dihadkan Allah atau yang telah ditetapkan-Nya yang juga tidak boleh melampaui daripada ketentuan-Nya.
  3. Hukum yang diharamkan Allah secara tegas dalam al-Quran dan hadis yang tidak boleh dicerobohi.
  4. Perkara yang didiamkan-Nya yang dilarang menyelidikinya dan mencari puncanya kerana yang didiamkan itu adalah satu rahmat atau kemudahan daripada Allah, bukan kerana sengaja tidak diterangkan hukumnya atau kerana Allah lupa.

Makna Hudud

Hudud dengan erti pembatasan hukum yang dilarang melangkahi atau melampaui daripadanya dengan melakukan sesuatu yang menyalahi atau berbuat yang dilarang-Nya. Misalnya apabila menjatuhkan talak, hendaklah dilakukan dengan baik dan jika rujuk hendaklah dengan cara yang sopan.

Hudud dengan erti hukuman seksa yang telah ditetapkan Allah daripada-Nya untuk mencegah daripada berlakunya lagi satu kejahatan atau maksiat yang dihukum itu.

Hukuman ini hendaklah dipatuhi, tidak boleh dilampaui daripada batas yang telah ditentukan itu.

Menurut istilah fuqaha (ulama fiqah) hukum ini disebut hukuman had. 

Maksudnya:

  • Had zina dengan direjam.
  • Had mencuri dengan dipotong tangan.
  • Had minum arak dengan dirotan.

Banyak Bertanya

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama berkata:

“Bani Israil dahulu banyak bertanya, lalu diberi jawapan; dan mereka diberi apa yang menjadi keinginan mereka, sampai hal itu menjadi fitnah bagi mereka, sebab itulah mereka menjadi binasa. Para sahabat Nabi SAW memahami hal tersebut dan menahan nafsu diri untuk tidak bertanya kecuali hal-hal yang sangat penting.”

Allah SWT Berfirman Yang Bermaksud:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ …… (١٠١)

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan kepada nabimu hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu.”

(Surah Al-Ma’idah 5:101)

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑