8 Tanda Matang Emosi

Oleh: Ida Natasha untuk Mymuslimin.com

Umur bukanlah penanda aras kematangan, itu fakta. Mereka yang berumur mungkin mempunyai lebih pengalaman hidup tetapi tidak semestinya menjadikan mereka matang emosi. Ada yang sudah berusia tetapi masih berperangai seperti remaja berdarah muda, tidak tahu mengawal perasaan dan keputusan dalam kehidupan seharian. Sebaliknya, ada juga anak muda yang cukup bijak mengurus emosi ketika berdepan dengan pelbagai situasi. Menurut kajian pakar terdapat 8 tanda jelas seseorang itu sudah mencapai matang emosi.

1. Diri Pandai Empati

Seseorang yang matang emosi tidak hanya fokus kepada keperluan dan perspektif dirinya semata-mata, dia juga peka kepada realiti emosi mereka yang berada di sekelilingnya. Seseorang yang sudah mencapai kematangan mampu berempati dan mempunyai belas kasihan (ihsan) kepada orang lain. Apabila sesuatu kejadian berlaku, dia tidak memikirkan dari perspektif dirinya dan apa yang dia rasa, sebaliknya dia cuba mengerti bagaimana realiti emosi mereka yang ditimpa masalah tersebut. Sebagai contoh, mereka yang tidak matang sering menyebut… “Kalau aku..aku begini begini begini” Empati itu ialah memahami perasaan/emosi daripada POV orang yang terkesan, bukan POV diri sendiri.  

2. Pandai Kenal & Analisa Perasaan Sendiri

Seseorang yang matang tidak membuat sesuatu keputusan berpandukan emosi tetapi dia sentiasa sedar dengan perasaan yang sedang dirasai dan faham dari mana dan kenapa perasaan ini tercetus. Sebagai contoh, apabila menonton bolasepak, perasaan marah mula timbul apabila pasukan pilihan ketinggalan. Seseorang yang ikut emosi akan mula marah, menyalahkan pemain-pemain, pengurus dan sebagainya tanpa henti. Sebenarnya perasaan itu timbul kerana tahap cinta yang mendalam kepada pasukan dan kekecewaan yang dirasai di ketika itu. Mereka yang matang sedar bahawa kalah menang adat permainan, dan memilih untuk berdepan dengan kekecewaan yang dirasai. Apabila seseorang itu sudah pandai mengawal emosi dan membuat keputusan berdasarkan keadaan semasa dengan wajar, dia sudah capai tahap matang! Bukan mudah untuk mengemudi emosi lebih-lebih lagi ketika sedang marah, sedih dan kecewa. 

3. Berfikiran Anjal dan Boleh Dibawa Bincang

Satu lagi ciri kematangan ialah seseorang itu berfikiran anjal dan boleh dibawa berbincang. Orang matang tidak hanya rasa dia sahajalah yang betul dan apa yang dibuatnya perlu diikuti semua orang. Pendapat orang lain serba tak kena dan tak sehebat dia punya. Zaman dan kehidupan sentiasa berubah dan kematangan diperlukan untuk menangani pelbagai permasalahan disebabkan perbezaan pemikiran dan pendekatan. Walaupun ada perkara-perkara yang tidak boleh dikompromi sebagai contohnya ibadat dan amalan yang telah disyariatkan, pendekatan yang dipilih untuk mendekati dan berkomunikasi dengan golongan yang tidak sependapat dan sehaluan boleh dipelbagaikan. Pendek kata, orang matang boleh dibawa berbincang!

4. Pandai Mengekalkan Perhubungan Dengan Baik

Tanda seseorang itu sudah matang ialah dia pandai mengekalkan perhubungan yang baik dengan ramai orang. Kawan yang baik tidak akan mengumpat di belakang, sering membantu apabila diperlukan, mengenali sempadan, tidak menilai melulu, tidak memperlekeh dan sebagainya. Ini menjadikan mereka yang mempunyai hubungan dengannya merasa selamat dan dihargai sentiasa. Apabila anda mampu melakukan ini dalam perhubungan istimewa mahupun dalam perhubungan kekeluargaan dan persahabatan, anda sudah capai tahap matang emosi.  Siapa yang mahu berhubungan dengan seseorang yang berperangai jelik, kebudak-budakan dan suka menikam dari belakangkan? 

5. Sedia Bertanggungjawab Atas Tindakan & Keputusan

Seseorang yang matang sering sedar akan kesan tindakan mereka ke atas diri sendiri dan orang-orang di sekelilingnya. Lantas apabila sesuatu tindakan dan keputusan itu telah dilakukan, ini bermakna dia telah bersedia untuk bertanggungjawab sekiranya ada kesan sampingan di atas keputusan yang dibuatnya itu kerana seseorang yang matang tidak membuat keputusan secara melulu dan semberono.  

6. Pandai Kenal Sempadan

Seseorang yang matang menggariskan sempadan dalam kehidupan mereka. Dia mampu kenalpasti sempadan emosinya terhadap diri sendiri dan orang lain, dan sentiasa berpegang teguh pada sempadan tersebut apabila berhadapan dengan konflik. Sebagai contoh, walaupun teman sepejabat menunjukkan minat kepada dia dengan jelas, isteri/suami di rumah tetap diutamakan dan dia tidak akan sesekali melanggar sempadan tersebut. Contoh seterusnya, seseorang telah melanggar sisi kereta anda secara tidak sengaja. Reaksi serta-merta tentu sekali bengang sebab kereta dah kemek. Tetapi, kerana adanya sempadan yang digaris iaitu tidak menyakiti/mencederakan orang lain dengan lisan dan perbuatan, anda perlu mengawal kemarahan untuk mengelak bencana yang lebih besar. Seseorang yang matang juga mempunyai had yang ditetapkan kepada orang lain terhadap dirinya sebagai contoh, dia tidak kisah meminjamkan duit kepada teman tetapi kalau sudah meminjam berkali-kali tidak berbayar, sempadan telah diceroboh dan kepercayaan musnah. Itu juga antara ciri mereka yang matang. 

7. Pandai Melerai Kekusutan

Hidup siapalah yang bebas konflik? Cepat atau lambat, semua orang berhadapan dengan kekusutan yang perlu dileraikan dalam kehidupan masing-masing. Mereka yang matang tidak mengelak konflik, sebaliknya mereka akan berhadapan dan berusaha menyelesaikan konflik secepat dan sebaik mungkin. Belajar menguruskan konflik ini memerlukan kemahiran emosi dan tingkahlaku kerana ianya bukanlah mudah. Mereka yang matang selalunya bijak menguruskan konflik kerana mereka mempunyai kemahiran mendengar dan sentiasa memikirkan strategi untuk menyelesaikannya. Dan, sekiranya dia berdepan dengan pertelingkahan ketika proses penyelesaian, seseorang yang matang pandai meleraikan dan meredakan keadaan. 

8. Bijak Menangani Tekanan

Seseorang  yang matang tidak menghindari tekanan atau menafikan yang diri sedang mengalami tekanan tetapi mereka juga tidak akan melayan tekanan yang dirasai sehingga merosakkan diri sendiri. Orang matang akan cari cara bagaimana untuk menguruskan tekanan, mempraktikkan penjagaan diri sendiri yang lebih baik dan menguruskan perasaan tertekan agar ianya tidak menjadi keterlaluan dan tidak terkawal. Antara cara untuk menguruskan tekanan ialah dengan beriadah, beribadah, membaca Al-Quran, bersendirian, menjaga pemakanan dan sebagainya.

Matang emosi tidak datang pakej dengan usia. Jangan ingat umur dah cecah 30, dah matang. Kematangan memerlukan seseorang memahami diri sendiri, perasaan sendiri serta orang lain, dan bijak mengawal perasaan, keputusan dan tindakan agar mewujudkan suasana menang-menang kepada semua terlibat. Kalau diri masih lagi sering menggunakan “Aku ni orangnya cepat marah…”, “Aku ni baran orangnya..”, “Kalau aku, berkicaplah orang tu jawabnya…”, “Kalau saya, saya buat macam ni…”, ini semua adalah tanda-tanda matang belum tiba. Muhasabah diri, pupuk empati dan kawal perasaan sendiri. Semoga kita semua mencapai kematangan seiring usia.

Firman Allah SWT:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

قُلْ يَـٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌۭ ۗ وَأَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍۢ (١٠) 

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”. (Al-Zumar 39:10)

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑