Kelebihan Sedekah Secara Sembunyi Mengatasi Kehebatan Makhluk Yang Lain

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang ertinya:

Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, “Ketika Allah menciptakan bumi, ia sering bergegar. Maka, Dia menciptakan gunung-ganang, lalu mengisyaratkannya ke atas bumi dan ia pun menjadi tetap. Para malaikat berasa kagum dengan kekuatan gunung-ganang. Mereka berkata, ‘Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat daripada gunung- ganang?’ Dia berfirman, ‘Ya, besi.’ Mereka berkata, ‘Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat daripada besi?’ Dia berfirman, ‘Ya, api.’ Mereka berkata, ‘Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat daripada api?’ Dia berfirman, ‘Ya, air’ Mereka berkata, ‘Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat daripada air?’ Dia berfirman, ‘Ya, angin.’ Mereka berkata, ‘Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat daripada angin?’ Dia berfirman, ‘Ya, anak Adam yang bersedekah dengan suatu sedekah dengan tangan kanannya sambil menyembunyikannya daripada tangan kirinya.”

(Riwayat al-Tirmizi. Menurutnya, hadis ini ialah hadis gharib.)

Pengajaran

  • Keikhlasan kepada Allah SWT dalam suatu amalan dapat mengatasi kekuatan dan kehebatan makhluk Allah SWT yang lain.
  • Jangan membatalkan dan menghapuskan pahala sedekah dengan ungkitan terhadap pemberian dan ucapan yang menyakiti hati penerima.
  • Allah SWT melebihkan manusia ke atas makhluk-Nya yang lain dalam pelbagai perkara.

Sumber: Hadis Qudsi: Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT oleh Muhammad Yusuf A Kadir

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑