Ahli Syurga Yang Paling Rendah Martabatnya

Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu’bah RA  yang merafakkannya kepada Nabi SAW, Baginda bersabda:.

Ertinya: “Nabi Musa telah bertanya kepada Tuhannya, ‘Apakah kedudukan yang paling rendah bagi ahli syurga?’ Dia berfirman, ‘Dia ialah seorang lelaki yang datang selepas semua penduduk syurga dimasukkan ke dalam syurga.’ Lalu, dikatakan kepadanya, ‘Masuklah ke dalam syurga.’ Dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, bagaimana (aku hendak masuk ke dalam syurga) sedangkan semua manusia telah berada di kedudukan mereka dan telah mengambil kemuliaan mereka?’ Maka, dikatakan kepadanya, ‘Adakah engkau reda apabila bagimu sama seperti kerajaan seorang raja daripada para raja dunia?’ Dia menjawab, ‘Aku reda, wahai Tuhanku.’ Dia berfirman, ‘Bagimu kesemua itu, dan seumpamanya, dan seumpamanya, dan seumpamanya, dan seumpamanya.’ Dia berkata pada kali kelima, ‘Aku reda wahai Tuhanku’. Dia berfirman, ‘Ini adalah bagimu dan sepuluh kali gandanya, dan bagimu apa yang diinginkan oleh dirimu serta sedap pada pandangan matamu.’ Dia berkata, ‘Aku reda wahai Tuhanku’.”

Baginda (Nabi Musa) berkata, ‘Siapakah pula orang yang paling tinggi kedudukannya?’ Dia berfirman, ‘Mereka itu ialah orang-orang yang Aku hendak menanam kemuliaan mereka dengan tangan-Ku dan Aku meterai ke atasnya. Oleh itu, ia tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengari telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia.’ Baginda bersabda, “Buktinya terdapat dalam Kitabullah, ‘Maka suatu jiwa tidak mengetahui sesuatu yang menyejukkan pandangan mata yang disembunyikan bagi mereka.’” (Surah al-Sajdah 32:17), ayat (ini diteruskan sehingga akhirnya).”

(Riwayat Muslim, al-Tirmizi dan Ibnu Hibban-lafaz Muslim. Menurut al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih.)

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, 

Ertinya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya ahli syurga yang paling rendah kedudukannya ialah: Seorang lelaki yang dipalingkan wajahnya oleh Allah dari neraka menghadap ke syurga dan ditunjukkan kepadanya sebatang pokok yang mempunyai teduhan. Lantas dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, dekatkanlah aku kepada pokok ini agar aku dapat berada di bawah teduhannya.’” Kemudian, beliau (Abu Sa’id) meriwayatkan hadis ini sama dengan hadis Ibnu Mas’ud, namun tidak menyebut, “Dia berfirman, ‘Wahai anak Adam, apakah yang menyebabkan engkau memutuskan permohonan kepada-Ku?’” sehingga akhir hadis. Beliau juga menambah di dalamnya (sabda Nabi SAW), “Lalu Allah mengingatkannya (dengan berfirman,) ‘Pohonlah sekian dan sekian.’ Apabila permohonannya telah habis, Allah berfirman, ‘Ia adalah bagimu bersama sepuluh kali ganda yang serupa.”” Baginda bersabda, “Kemudian dia masuk ke dalam rumahnya, lantas dua orang isterinya dalam kalangan bidadari berjumpanya dan berkata, ‘Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanmu untuk kami dan menghidupkan kami untukmu.”” Baginda bersabda, “Dia berkata, ‘Seorang pun tidak diberikan sepertimana apa yang diberikan kepadaku.”

(Riwayat Muslim) 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: 

Ertinya: Daripada Rasulullah SAW, lalu beliau menyebutkan beberapa hadis dan antaranya, “Baginda bersabda, ‘Sesungguhnya tempat tinggal yang paling rendah dalam kalangan kalian di syurga ialah Tuhan berfirman kepadanya, ‘Berharaplah (akan sesuatu),’ lalu dia berharap dan berharap. Maka Tuhan berfirman kepadanya lagi, Adakah engkau sudah berharap?’ Dia menjawab, ‘Ya.’ Tuhan berfirman kepadanya, ‘Sesungguhnya bagimu apa yang engkau harapkan dan sesuatu yang seumpamanya turut diberi bersama.”

(Riwayat Muslim)

Pengajaran

  • Perbuatan berharap yang dinyatakan dalam hadis ialah menginginkan sesuatu yang tidak dapat dicapai seperti, “Mudah-mudahan zaman muda itu akan kembali,” dan sebagainya.
  • Orang yang paling rendah martabatnya di dalam syurga mempunyai kedudukan seumpama seorang raja di dunia. Namun nikmat yang diperolehnya sangat jauh berbeza dengan apa yang boleh didapati di dunia.
  • Sesuatu perkara yang mustahil untuk diperoleh menurut logik akal manusia akan diberikan kepada penduduk syurga menurut harapan mereka kepada Allah SWT. 

Sumber: Hadis Qudsi: Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT oleh Muhammad Yusuf A Kadir

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑