Soalan
Jika seseorang itu dahulunya jahil, lantas dia kerap mengumpat kerana pada pendapat dia, dia bercakap/mengumpat berita yang benar, jadi dia tidak dikira mengumpat. Namun setelah sedar akan hukum mengumpat, dia telah berhenti. Adakah dia perlu meminta maaf kepada semua orang yang telah diumpatnya dahulu?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Mengumpat atau Fitnah
Mengumpat ialah memperkatakan hal yang tidak disukai seseorang yang dilakukan di belakangnya. Imam Ibnu Hajar berpendapat bahawa boleh dianggap mengumpat juga jika ia dilakukan di hadapannya. Dalam hal ini Rasulullah SAW ada bersabda;
أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُك أَخَاك بِمَا يَكْرَهُ، قِيلَ أَفَرَأَيْت إنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: إنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ بَهَتَّهُ
Maksudnya: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut tentang saudaramu yang tidak disukainya. Rasulullah ditanya, apa pendapat kamu jika apa yang disebut itu adalah benar, Rasulullah saw menjawab, Kamu telah mengumpat dia jika apa yang kamu katakana itu adalah benar, tetapi jika apa yang kamu katakana itu dusta maka kamu telah membuat fitnah”
(Sahih Muslim No. 2589)
Walaupun cerita yang disampaikan itu adalah suatu yang benar tetapi ia tetap tidak diharuskan. Oleh itu dapat difahami bahawa terdapat isyarat yang jelas betapa seriusnya Islam dalam menjaga kehormatan diri dan hak orang lain.
Mengumpat Adalah Dosa Besar
Mengumpat terangkum dalam salah satu dosa-dosa besar yang dilarang dalam agama Islam. Imam Ibnu Hajar meletakkannya di dalam kitabnya al-Zawajir pada bilangan dosa keempat puluh lapan dan empat puluh sembilan bertajuk; “Dosa mengumpat dan dosa diam sebagai Tanda redha dan mengiakannya”.
Hal ini berpandukan firman Allah SWT
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”.
(Surah al-Hujurat 49:12)
Tips Mengelak dari Mengumpat
Bagi mengelakkan diri daripada mengumpat, maka perkara-perkara di bawah ini adalah perlu untuk dilakukan;
- Selalu memberikan peringatan kepada diri sendiri bahawa perbuatan tersebut amat dimurkai Allah dan akan diazab di akhirat nanti.
- Mengumpat ialah satu amalan buruk yang akan menghapuskan pahala amalan kebaikan, pahala kebaikan itu akan diberikan kepada orang yang diumpat sehinggakan seseorang itu akan menjadi bangkrap pahala. Umpatan menjadi penyebab akan kehilangan pahala dan bertambah dosa.
- Terlebih dahulu melihat kepada keburukan dan keaiban diri sendiri dan berusaha dengan tekun untuk membersihkannya.
- Merasa malu untuk mengeji orang lain sedangkan dirinya sendiri melakukan perbuatan yang sama seperti orang yang diumpat itu.
- Sekiranya apa yang diumpat itu berkaitan dengan fizikal atau rupa bentuk tubuh seseorang, sedarlah bahawa dia telah mengeji Allah sang pencipta, mengeji ciptaan adalah sama maksudnya mengeji yang menciptakannya.
- Meyakini bahawa seseorang itu apabila ia tidak suka diumpat, begitu juga pastinya perkara yang sama juga tidak disukai oleh orang yang diumpat.
[Rujuk; al-Zawajir an-Iqtiraf al-Kabair jld. 2, hlm. 8-31 ]
Taubat Dari Dosa Mengumpat
Adalah menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mengumpat untuk bertaubat kepada Allah dengan memenuhi segala syarat taubat, meninggalkan amalan itu serta menyesal atas perbuatan itu. Atas tujuan untuk menunaikan hak Allah, taubat itu mestilah dilakukan adalah semata-mata kerana takut kepada-Nya, Untuk menunaikan hak sesama manusia pula, maka hendaklah meminta ampun dan maaf daripada orang yang diumpat itu.
Berkenaan keperluan dinyatakan kandungan umpatan kepada orang yang diumpat maka sebahagian Ashab Imam Syafie mensyaratkannya, pada pendapat ini adalah tidak sah taubat jika tidak berbuat demikian.
Manakala pendapat kedua pula memadailah sekadar menyebut; “saya pernah mengumpat kamu dan saya minta maaf atas perbuatan tersebut”. Sekiranya orang yang diumpat sudah mati atau tidak dapat ditemui, para ulama mengesyorkan supaya membanyakkan minta ampun untuknya, berdoa kebaikan dan membanyakkan amalan kebaikan. Pendapat ini ialah pendapat yang diutarakan oleh Imam Nawawi dalam karya beliau al-Azkar dan Ibnu Hajar dalam al-Zawajir dan beliau menyatakan inilah pendapat yang muktamad. [Rujuk al-Zawajir an Iqtiraf al-Kabair jld 2 hlm 32, al-Azkar hlm. 346 ]
Namun ada pendapat ulama yang mengatakan sudah memadai dosa mengumpat itu dengan beristighfar kepada Allah, memuji-muji kebaikannya serta mendoakan semoga beroleh kebaikan buat orang yang diumpat itu. Ini ialah pendapat al-Hasan seperti dinukilkan oleh Imam Ibnu Hajar dalam al-Zawajir, juga pandangan sahabat nabi Huzaifah dan Ibnu al-Mubarak daripada kalangan tabiin seperti dinukilkan oleh Ibnu Abdi al-Barr dalam Bahjah al-Majalis, Pandangan ini adalah pendapat yang dipilih oleh Taqiuddin Ibnu Solah al-Shafi’ie dalam kitab himpunan fatwanya. [Rujuk: al-Zawajir an Iqtiraf al-Kabair jld 2 hlm 32, Bahjah al-Majalis hlm.86, Fatawa Ibn al-Solah jld.1 hlm. 39 ]
Kesimpulan
Daripada keterangan di atas kami cenderung menyatakan bahawa;
- Wajib bertaubat kepada Allah daripada dosa mengumpat dengan cara menyesal atas perbuatan tersebut, meninggalkannya serta berazam untuk tidak kembali melakukannya. Dengan ini seseorang yang berdosa itu telah pun selesai menunaikan hak Allah ke atasnya.
- Bagi menunaikan hak sesama manusia pula, maka hendaklah memohon maaf kepada orang diumpat itu berserta keterangan kandungan umpatan yang dibuat itu. Tindakan itu dibuat sekiranya dirasakan orang yang diumpat itu tidak lagi merasa sakit hati atau tersinggung mendengarnya. Namun sekiranya mungkin berlaku sebaliknya, maka cukup sekadar menyatakan permohonan maaf dari umpatan yang pernah dilakukan. Hal ini bertepatan dengan pandangan Ibnu Mubarak yang berkata; “Jangan kamu sakiti dia lagi buat kali kedua”.
- Sekiranya orang itu telah meninggal atau tidak ditemui lagi maka banyakkan berbuat kebaikan dan permohonan doa keampunan baginya. Seperti berdoa; “Ya Allah ampunilah dosa saya dan dosa orang yang pernah saya umpat dan zalimi”, serta berazam akan memohon maaf padanya sekiranya bertemu semula di kemudian hari nanti.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment