Oleh: Mymuslimin.com
Di sepanjang bulan puasa, Nasi Pakistan Lamb Shank Merah ini telah mendapat perhatian warga Shah Alam sehingga ramai yang sanggup beratur berjam-jam lama untuk membelinya. Tarikan utama tentu sekali nasi à la beriani yang dinamakan Nasi Pakistan dan masakan lamb shank merah yang menggiurkan. Bukan sahaja terkenal di Shah Alam, masakan ini juga telah dibawa ronda di pelbagai lokasi di Malaysia dan sering mendapat sambutan yang memberangsangkan penduduk setempat.

Oleh kerana kami tidak berkesempatan untuk merasa nasi Pakistan ini di ibu kota, kami menjejak kapal induknya yang berlokasi di Batu Pahat, Johor. Restoran Nasi Pakistan No 1 Batu Pahat ini terletak di Jalan Soga, lebih kurang 38 km selepas exit Batu Pahat di lebuhraya. Restoran ini terletak di sudut bangunan deretan kedai lama dan saiz restorannya sederhana sahaja. Menurut gambar tertera, Nasi Pakistan No 1 Batu Pahat ini baru sahaja dibuka pada 2023 dan berusia lebih kurang setahun lebih tetapi popularitinya mencanak naik kerana keenakan hidangannya dan tentu sekali kerana strategi pemasarannya yang mantap!
Kami berkesempatan mencuba set lamb shank merah dan set ayam merah. Walaupun ada reviu yang bengang dengan saiz nasinya yang ‘sedikit’, kami berpuas hati dengan portion yang diberi kerana tidak terlalu banyak untuk dihabiskan dan tidak pula sikit sangat sehingga terkulat-kulat dibuatnya.

Masakan lamb shank merah di sini memang padu dengan kuah/sup yang pekat sempurna, rempah yang cukup rasa, terasa sedikit pedas dan sedikit manis, memang enak diganding dengan nasi Pakistan yang lembut perisa diganding dengan sedikit salad timun. Daging lamb shanknya lembut, “fall off the bone” kata orang England.

Lebih memeranjatkan ialah kesedapan ayam masak merah di sini. Semua rasanya seimbang, lebih rasa sambal berbanding sos tomato dengan kepedasan yang menyelerakan! Daging ayamnya lembut walaupun telah digoreng dahulu. Padu! Patutlah ramai yang suka hidangan dari restoran ini kerana rasanya tidak keterlaluan, sesuai untuk palet orang muda dan orang lama.
Selain dua lauk ini, Nasi Pakistan No 1 Batu Pahat juga menyediakan set ikan siakap Madinah, set daging kormak, set kambing beriani dan set lamb shank beriani. Jika dinilai daripada dua lauk yang kami cuba, kami yakin lauk lain pun sedap juga.
Namun, sistem di restoran ini agak celaru sedikit apabila pelanggan sendiri yang perlu tempah makanan dan minuman, bawa semuanya ke tempat duduk masing-masing dan kemudian baru bayar. Dahlah tempat tempahannya di belakang kedai, agak tidak praktikal untuk pergi balik mengambil makanan, terutama untuk keluarga yang ramai.
Nasi Pakistan No 1 Batu Pahat
29, Jalan Soga, Kampung Pegawai, 83000 Batu Pahat, Johor
Isnin – Rabu : 930-400
Khamis : Tutup
Jumaat : 900 – 500
Sabtu – Ahad : 900 – 600
Leave a comment