أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِمَن كَانَ لَهُۥ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى ٱلسَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌۭ(٣٧)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbualbual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan “BAGAIMANA MENDIDIK HATI DAN MERAWAT JIWA? “.
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Akhir-akhir ini kita lihat paparan dan olahan dalam akhbar banyak memuatkan berita tentang kejadian gejala sosial. Saluran siaran televisyen juga hampir setiap masa menyiarkan hal-hal kejadian gejala sosial. Bahkan kebelakangan ini ianya semakin rancak, bukan sahaja dipaparkan dalam pelbagai media dan akhbar, malah dalam aplikasi Whatsapp, wechat, facebook dan sebagainya.
Namun begitu, berapa ramai antara kita yang membaca dan mendengar berita-berita tersebut merasa peka dan ambil peduli tentang gejala-gejala sosial yang berlaku? Ingatlah! tidak ada jaminan kita atau keluarga kita terselamat daripada terlibat, terjebak, terikut-ikut dengan gejala tersebut.
Masalah penyelewengan akidah dan gejala sosial dapat dilihat sebagai petanda awal suatu kehidupan yang memesong jauh daripada kehendak syarak. Segala permasalahan ini menunjukkan kerosakan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat umat Islam yang sangat kritikal. Ia merupakan suatu jenayah yang melampaui batas akidah, hukum syarak dan akhlak yang menjadi panduan kepada kita semua.
Persoalannya, kenapa perkara ini terus berlaku dan kelihatan semakin parah? Sedangkan banyak aktiviti dan program-program pendidikan, pencegahan, pencelahan, bahkan hukuman dikenakan dari semasa ke semasa.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Banyak kaedah yang dapat dilakukan untuk mengelakkan permasalahan ini daripada berterusan. Antara yang utama adalah menjadikan ketetapan agama sebagai benteng kehidupan seseorang yang mengaku beriman. Sayugia sedarlah akan tujuan kita dijadikan dan ke mana tujuan kita yang sebenar.
Dekatilah agama dengan mendekati diri kepada Allah SWT dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah hasanah (teladan yang baik) dalam semua urusan hidup di dunia ini.
Justeru carilah kekuatan dan luangkanlah masa untuk hadir mendalami ilmu agama melalui pembelajaran formal atau hadir ke majlis-majlis ilmu, tausiah dan tazkirah di masjid atau surau. Ilmu dan suasana beragama sebegini akan membimbing kita semua untuk sentiasa sedar akan peranan kita, apa yang disuruh dan apa yang dilarang oleh agama. Disitulah tempat hidayah, rahmah dan keampunan Allah SWT. Muaz bin Jabal Radhiallahuanhu mengingatkan kita bahawa:
“Belajarlah ilmu, sesungguhnya mempelajarinya merasakan takut kepada Allah, menuntutnya adalah ibadah, mengulangkajinya adalah tasbih, mendalaminya adalah jihad, mencurahkan kepada ahlinya adalah pengorbanan, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahui adalah sedekah”
(Riwayat Ibnu Hibban)
Seterusnya menjaga keutuhan dan keharmonian rumah tangga. Wujudkan suasana kehidupan berkeluarga dengan suasana agama. Didik anak dengan solat yang mencegahkan dari perbuatan mungkar, hormat menghormati, taat perintah, berkomunikasi dengan baik dan jadikan anak-anak sebagai rakan dalam semua keadaan yang diharuskan oleh agama.
Jika ini tidak berlaku, anak-anak akan mencari pilihan lain dalam urusan dunianya dan akhirnya jika tersalah rujukan dan nasihat, hidup mereka akan musnah kerana tergelincir dari jalan yang benar dan jauh dari agama. Apalagi cabaran hari ini yang banyak menjadikan keimanan dan jati diri anak-anak hancur lebur.
Selain itu juga, kehidupan bermasyarakat yang aman dan tenteram sangat penting untuk dipelihara dan dikekalkan. Masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri akan membuka ruang kepada masalah akidah dan sosial yang semakin membimbangkan. Sepatutnya fungsi dan peranan masyarakat hendaklah wujud dan kuat dengan prinsip saling tegur menegur dan nasihat menasihati demi kepentingan semua pihak.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Kita juga sering terlupa bahawa syaitan sentiasa mengajak kepada melakukan perkara yang bertentangan dengan ketetapan dan hukum Allah SWT. Ketika telunjuk syaitan menuju arah kita, maka kemenanganlah bagi syaitan yang ditugaskan memesongkan manusia dari kebenaran.
Menyedari hal ini, seringlah berdoa kepada Allah SWT supaya diri kita dilindungi oleh Allah SWT daripada hasutan syaitan, tenteranya dan kuncu-kuncunya. Nafsu dan diri kita yang dididik pada bulan Ramadhan lalu juga perlu terus dijaga dan sentiasalah memohon kepada Allah SWT agar kita dapat mengawalnya dan menghindari hati kita untuk melakukan perkara-perkara kejahatan.
Hati yang kotor dan rosak adalah menjadi pintu kerosakan seluruhnya. Kembalikanlah hati menjadi bersih dengan mengamalkan dan memberi keutamaan apa yang disebutkan tadi. Kembalikan hati itu kepada fungsi yang sebenar, kerana hati memainkan peranan yang penting dalam diri seseorang individu.
Allah SWT menjadikan hati supaya mengenal Allah SWT sebagai pencipta . Hati adalah merupakan raja yang memandu seseorang sama ada ke arah kebaikan (yang makruf) mahupun keburukan (yang mungkar). Bersihkan hati daripada sifat Mazmumah (terkeji) dan hiasilah ia dengan sifat Mahmudah (terpuji). Apabila setiap individu dapat membentuk hati sesuai dengan fungsi kejadiannya, maka ia akan dapat memenuhi segala tuntutan yang makruf dan menghidarkan yang munkar dengan penuh keimanan dan keikhlasan.
Hadis daripada Abu ‘Abdillah al-Nu’man Ibnu Basyir Radhiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya dalam tubuh anak adam itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan. Sebaliknya jika rosak daging itu, rosaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging itu ialah hati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Marilah kita sama-sama mengamalkan beberapa kaedah utama telah digariskan oleh al-Quran sebagai panduan untuk menyucikan, mendidik hati dan merawat jiwa.
Antaranya ialah melaksanakan dan menjaga solat lima waktu sehari semalam. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ (٤٥)
“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan munkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Al-Ankabut 29:45)
Kedua, banyakkan berzikir dengan mengingati Allah SWT supaya hati menjadi tenang. Firman Allah SWT dalam surah al-Ra’du ayat 28:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ (٢٨)
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang, tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang, tenteramlah hati manusia”
(al-Ra’du 13:28)
Ketiga, sentiasa mengingati mati dan melazimkan membaca al-Quran. Mengingati mati adalah cara terbaik dan paling berkesan untuk membina keinsafan selain menanamkan sikap positif dalam diri seseorang. Begitu juga dengan melazimkan membaca dan menghayati al-Quran, ianya disifatkan sebagai santapan rohani, senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya kepada tiap-tiap orang Islam. Hadis daripada Ibnu Umar Radhiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya hati itu boleh berkarat seperti berkaratnya besi apabila terkena air. Maka sahabat bertanya. Ya Rasullullah apakah penyucinya?. Rasulullah berkata: Banyakkan mengingati mati dan membaca al-Quran”.
(Riwayat al-Baihaqi)
Seterusnya, banyakkan bersedekah. Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 103;
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌۭ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ(١٠٣)
Ertinya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk(. Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doa mu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(al-Taubah 9:103)
Oleh itu marilah kita sama-sama menyucikan hati kita supaya bersih ibarat memproses pasir menjadi cermin dan bukan memproses pasir menjadi simen. Maka proseslah hati supaya bersih dan suci yang dipenuhi dengan sifat-sifat mahmudah antaranya ikhlas, sabar, reda dan mengingati mati.
Hadirin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari yang berbahagia ini, antara pengajaran dan kesimpulan yang dapat diambil adalah:
- Umat Islam hendaklah sedar bahawa musuh yang tersembunyi tetapi berpengaruh besar dalam hidup kita adalah syaitan dan hawa nafsu.
- Masyarakat perlu membina dan memelihara suasana harmoni berlandaskan Islam yang mendukung kebaikan dan membenci kemaksiatan agar masyarakat tidak terus rosak dan sesat.
- Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara hati yang berasaskan keimanan kepada Allah SWT supaya sentiasa menjadi tenang, reda dan diredai Allah SWT.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا(٩) وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا(١٠)
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya, bertambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya (dengan sebab kekotoran maksiat)”.
(al-Shams 91:9-10)
Tarikh Dibaca: 10 Syawal 1445H/19 April 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment