أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ (١١٠)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita memupuk serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan dalam kehidupan dengan melaksanakan segala perintah Ilahi, serta menjauhi semua larangan-Nya. Mudah-mudahan, kita menjadi hamba-Nya yang dikasihi lagi diredhai dan dimasukkan ke dalam syurga penuh kenikmatan lagi kekal abadi.
Mimbar mengingatkan para jemaah sekalian, marilah kita meneruskan amalan-amalan selepas Ramadan terutama istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dan bersama-samalah menyemarakkan kempen “Subuh Macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan.
Dalam suasana Ramadan yang telah berlalu pergi dan Syawal yang masih dengan kemeriahan berhari raya serta melaksanakan ibadah puasa enam, mimbar juga ingin menekankan kepada kita semua tentang tanggungjawab besar yang dipikul oleh umat Islam dalam melaksanakan ajaran Islam dengan sebaiknya dan menjadi teladan baik bagi manusia lainnya. Umat Islam mesti sentiasa berusaha untuk mempraktikkan kebaikan, keadilan dan kasih sayang serta menjauhi segala bentuk kejahatan dan kefasadan (kerosakan).
Oleh itu, khutbah kali ini pada hari penuh barakah akan membicarakan tajuk ‘Syawal Merealisasi Umat Terbaik’.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kita mengetahui dalam lipatan sejarah bahawa zaman yang terbaik bagi umat Islam adalah zaman Rasulullah SAW dan para sahabat Radiallahuanhum. Ia adalah model khaira ummah terbaik dibina dengan panduan wahyu Ilahi dan ditunjangi oleh akidah, syariat, adab dan akhlak yang kukuh. Kita menyaksikan bahawa Rasulullah, para sahabat dan salafus soleh membawa Islam yang ketika itu bergalang ganti dengan nyawa, darah, tenaga dan harta yang tidak ternilai harganya. Namun apa yang sangat membimbangkan, perlakuan atau tindak tanduk segelintir dari kita sejak kebelakangan ini amat menyedihkan.
Penghayatan dan pengamalan Islam seolah-olah menjadi semakin lemah, pudar dan luntur dalam diri kita. Sebagai contoh sengaja mencipta gaya berhibur dan bergembira yang jelas tidak menghormati kesucian Aidilfitri dengan aksi dan gaya tarian melampaui batas syariat yang dapat disaksikan di media sosial telah dihasilkan oleh segelintir orang Islam sendiri. Begitu juga dengan kisah-kisah dan isu-isu kecurangan suami isteri semakin membimbangkan yang menggugat serta meruntuhkan institusi rumah tangga dan banyak lagi. Seolah-olah semua perkara-perkara maksiat sudah boleh diterima serta dianggap normal dan diterima oleh kita sekaligus menzahirkan keadaan iman kita yang kian luput dan hilang.
Justeru, bagaimanakah kita harus mengambil langkah mengatasi perkara ini? Tidak dapat tidak, umat Islam perlu sedaya upaya bangkit sedar untuk melakukan islah iaitu penambahbaikan dengan penuh kesedaran dan membuka mata hati dengan seluasnya dengan apa yang sedang membarah dalam masyarakat. Kita hendaklah sedaya mungkin membawa gagasan islah seperti yang dilakukan oleh Nabi Syuaib AS bagi membentuk umat terbaik cemerlang dunia dan akhirat serta dapat mewariskannya kepada generasi akan datang seperti yang dirakamkan dalam surah Hud ayat 88:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَىٰ مَآ أَنْهَىٰكُمْ عَنْهُ ۚ إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ(٨٨)
Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali”.
(Hud 11:88)
Menyedari hakikat ini, kita harus berusaha meneladani kecemerlangan generasi terdahulu dalam pembangunan ummah. Mereka diiktiraf sebagai umat terbaik kerana kegigihan serta iltizam yang tinggi dalam memperkukuhkan keimanan, mengamalkan syariat agama dan mempamerkan ketinggian akhlak yang mulia. Apakah rahsia kejayaan mereka membentuk Khaira ummah? Ya, dengan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar serta memastikan ajaran Islam menjadi berakar dan membekas dalam hati umat ini.
Menerusi ayat Al-Quran yang khatib bacakan pada permulaan tadi, Allah SWT menjulang umat Nabi Muhammad SAW khususnya para sahabat radiallahuanhum sebagai khaira ummah iaitu sebaik-baik umat. Ia termaktub di dalam Surah Ali Imran, ayat 110 yang bermaksud:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”
(Ali Imran 3:110)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Menjadi umat terbaik tidaklah berlaku sekelip mata, namun ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Oleh itu, kita mesti melaksanakan tiga perkara bagi menjadi umat yang terbaik iaitu:
Pertama: Amar Makruf iaitu kita hendaklah menyeru manusia melakukan kebaikan. Agenda tersebut hanya dapat dilaksanakan dengan cara memandaikan masyarakat dengan ilmu. Ilmu merupakan senjata terbaik untuk melawan kebodohan dan salah faham tentang agama. Kadang kala umat Islam bingung untuk mengetahui dan mengenali apa itu kebaikan. Maka dengan ilmu pengetahuan sahaja umat Islam dapat menghindari penyebaran ajaran yang salah dan memperjuangkan kebenaran serta melaksanakan perkara makruf.
Kedua: Nahi mungkar iaitu kita mestilah menghalang manusia daripada melakukan keburukan. Orang yang berilmu semestinya mengetahui bahawa setiap perkara yang bersifat tidak baik, pasti akal manusia akan menolaknya. Sayang sekali sebahagian besar kita hari ini tidak suka membaca walaupun ia jambatan ilmu. Walaupun pada zaman teknologi ini kita dipenuhi dengan banyak maklumat di hujung jari, namun ia tidak memberi makna jika tanpa bersamanya ilmu yang memberi kefahaman kepada tingkahlaku kita. Apabila manusia tidak dicegah daripada berbuat mungkar, maka cepat atau lambat, kita akan mengalami akibat dari perbuatan mungkar tersebut.
Amar makruf dan nahi mungkar merupakan dua perkara penting serta jalan mustaqim yang dilalui oleh para nabi dan rasul serta orang yang bertakwa. Jika kita tidak melakukannya, masyarakat sekarang akan rosak dan generasi mendatang akan semakin parah hingga menyebabkan kemusnahan dan malapetaka di daratan dan di lautan yang akhirnya mengundang kemurkaan Allah SWT. Hadis riwayat Abu Daud Rahimahullah daripada Abu Bakar al-Siddiq Radiallahuahu bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Tidaklah suatu kaum yang dikerjakan di tengah-tengah mereka pelbagai kemaksiatan yang mampu mereka mencegahnya, namun tidak mereka cegah, melainkan Allah pasti akan menurunkan hukuman kepada mereka semua.”
Ketiga: Beriman kepada Allah. Sudah semestinya, semakin mantap iman seseorang, maka semakin kuat kita dalam beramal soleh. Mereka adalah golongan fastabiqul khairat iaitu suka berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Gabungan jalin ilmu dunia serta akhirat akan melahirkan iman dan amal soleh yang mantap. Maka natijahnya terbentuklah umat yang terbaik sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Jelas bagi kita bahawa sesebuah masyarakat yang disifatkan sebagai khaira ummah mesti berilmu, beramal soleh, menyeru kepada perkara makruf, mencegah perbuatan mungkar dan beriman kepada Allah SWT.
Agenda melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar pula harus bermula daripada diri kita sendiri dan ahli keluarga sehinggalah terbina sebuah masyarakat yang sejahtera sebagaimana maksud sebuah ungkapan Arab iaitu ‘Perbaikilah dirimu dan serulah orang lain ke arah kebaikan’.
Serulah kepada makruf dan melarang kemungkaran dengan ilmu yang betul, bersopan-santun, bijaksana dan berhikmah agar dapat lebih mendekatkan kepada tujuan pencegahan serta hindarkan perlakuan mencemuh, mencerca, menghina dan jauh sekali merendah-rendahkan bahkan membuka serta menjaja aib orang lain.
Imam Asy-Syafie Rahimahullah pernah berpesan: “Orang yang menasihati saudaranya dengan cara tertutup, maka orang itu telah benar-benar menasihatinya dan berbuat baik kepadanya. Akan tetapi orang yang menasihatinya secara terbuka, maka sesungguhnya ia telah menghina dan merendahkannya.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar ingin menyimpulkan bicara kepada beberapa peringatan:
Pertama: Amar makruf dan nahi mungkar merupakan tugas dan tanggungjawab kita sebagai khaira ummah atau umat yang terbaik. Dua perkara ini hanya dapat dilaksanakan berteraskan ilmu pengetahuan.
Kedua: Sentiasa kukuhkan keimanan kepada Allah SWT kerana ia merupakan kekuatan dalam menyampaikan risalah dakwah. Ilmu memainkan peranan penting dalam memperkuat iman seseorang.
Ketiga: Sesungguhnya ilmu memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan merupakan faktor penting dalam meningkatkan darjat seseorang di sisi-Nya. Untuk berjaya di dunia dan akhirat kita hendaklah mempunyai ilmu.
Marilah kita pasakkan niat di hati untuk merealisasikan ciri-ciri umat yang terbaik bermula di dalam diri. Hayatilah firman Allah SWT menerusi Surah Ali Imran ayat 114:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (١١٤)
Bermaksud: “Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.”
(Ali Imran 3:114)
Tarikh Dibaca: 10 Syawal 1445H/19 April 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment