Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 31 – Hakikat Zuhud

Daripada Abi al-Abbas Sahl bin Sa’d al-Sa’idi R.A. berkata, bahawa seseorang datang kepada Nabi SAW seraya berkata:

يَا رَسُوْلَ اللهِ ! دُلَّنِي عَلَى عَمَل إِذَا عَمِلْتُهُ؛ أَحَبَّنِي الله، وَأَحَبَّنِيَ النَّاسُ . فَقَالَ : ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبُّكَ اللهُ ، وَازْهَدْ

فِيْمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبُّكَ النَّاسُ

Maksudnya: “’Wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya suatu pekerjaan yang jika dikerjakan nescaya saya dicintai Allah dan dicintai umat manusia.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Zuhudlah engkau akan dunia, nescaya Allah mencintaimu, dan zuhudlah engkau akan apa yang ada pada manusia, nescaya mereka mencintaimu.'”

(Riwayat Ibn Majah no. 4102)

Huraian

Zuhud Atau Zahid

Erti “zahid” menurut bahasa ialah berpaling daripada sesuatu atau tidak menghendaki kepada sesuatu kerana tiada mutu atau nilainya.

Erti “zahid” menurut syarak ialah mengambil sekadar yang perlu daripada sesuatu yang diyakini halalnya. 

Warak ertinya tidak mahu mengambil atau menggunakan sesuatu yang syubhah (yang kesamaran hukumnya) kerana ditakuti jatuh kepada yang haram.

Huraian makna “zuhud” atau “zahid” menurut istilah ialah:

  1. Benci kepada dunia dan berpaling daripadanya.
  2. Meninggalkan kesenangan dunia kerana memilih kesenangan akhirat.
  3. Kosong hati (hati tidak terpikat) daripada sesuatu yang dikosongkan oleh tangan (yang tiada di tangan atau yang tidak dipunyai).
  4. Menghindarkan duka atas yang tiada dan menghilangkan gembira dengan yang ada.

Maksud Zuhud Kepada Dunia

Makna zuhud pada dunia ialah tiga perkara. Semuanya daripada amalan hati dan bukan berkaitan amalan zahir anggota badan:

  1. Percaya kepada sesuatu yang ada pada Allah lebih daripada percaya kepada sesuatu yang ada pada diri sendiri.
  2. Gemar mendapat ganjaran daripada kesusahan dunia kerana kehilangan harta benda, ahli keluarga atau lain-lain lebih daripada kegemaran mendapat kesukaan pada ketika tiada kesusahan tersebut. Sesiapa yang zuhud pada dunia, mudahlah baginya segala kesusahan yang menimpa ke atasnya
  3. Perasaan dan sikap seseorang itu sama sahaja ketika dia dipuji dan ketika dia dikeji atau dicela kerana kebenaran yang dilakukannya. Orang yang membesarkan kemegahan dunia akan memilih pujian daripada celaan. Orang ini selalu meninggalkan kebenaran yang tidak disukai orang kerana mengharapkan orang tidak mencelanya. 

Ketahuilah bahawa orang yang tinggal di dunia ini ialah tetamu (yang akan pulang pada bila-bila masa) dan kekayaan di tangannya hanyalah pinjaman (yang akan dipulangkan kepada tuannya pada bila-bila masa). Apabila tiba masanya tetamu itu akan pergi dan barang pinjaman itu harus dikembalikan.

Tetapi dunia ini dicintai oleh para penggemar dunia. Maka siapa yang bergabung bersama pencinta dunia, dia akan dibenci oleh pencinta Allah. 

Dunia ini cumalah bekalan yang dapat digunakan oleh orang baik dan juga orang jahat. Dunia ini dibenci oleh orang yang mencintai Allah, cuma diambil sekadar keperluannya tanpa merosakkan agamanya.

Dalam hadis ini Baginda Rasulullah SAW menasihatkan kepada yang bertanya agar menjauhkan diri daripada bersengketa merebut apa yang direbut orang kerana natijahnya pasti akan timbul permusuhan dalam pertembungan kepentingan itu.

Sayidina Ali RA berkata:

“Dunia ini ialah negeri benar bagi orang yang benar kepadanya, negeri balasan bagi orang yang memahaminya dan negeri kekayaan bagi orang yang menyediakan bekalan-bekalan daripadanya.” (Riwayat Abdul Jabar bin Wahab)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik negeri ialah dunia bagi mereka yang berbekal daripadanya untuk akhiratnya hingga reda Tuhannya, dan sejahat-jahat negeri bagi mereka yang menghalangi daripada akhiratnya dan memundurkan dia daripada keredaan Tuhannya. Apabila seorang hamba berkata: ‘Semoga Allah burukkan dunia’, maka berkatalah dunia kepadanya: ‘Allah burukkan dia kerana dialah yang derhakakan kami kepada Tuhannya.”

Maksud Zuhud Pada Barang Yang Ada Di Tangan Manusia

Maksud zahid pada tangan manusia ialah seseorang itu tidak mahu, tidak meminta, tidak ingin dan tidak perlu kepada sesuatu yang ada pada tangan manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Kemuliaan seseorang ialah berdiri pada waktu malam (untuk solat) dan kehormatannya ialah terkaya (tidak bergantung) pada manusia.”

(al-Jami’ al-Soghir no. 73)

Kemuliaan dan kehormatan peribadi seseorang terletak pada sikap dirinya sendiri, percaya kepada kebolehan diri dan usaha yang dikerjakannya dan tidak berkehendak atau bergantung pada pemberian daripada orang lain yang dia tidak berhak mendapatnya.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑