Ayat Kursi atau dikenali juga sebagai Ayatul Kursi (آية الكرسي) merupakan ayat ke 255 daripada Surah Al-Baqarah. Dikenali sebagai Penghulu Segala Ayat Al-Quran, ayat Kursi sangat istimewa kerana ia mengisahkan keagungan Allah SWT serta kekuasaanNya yang tidak terbatas.
Ayat Kursi
ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌۭ وَلَا نَوْمٌۭ ۚ لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىْءٍۢ مِّنْ عِلْمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ ۖ وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ (٢٥٥)
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
(Surah Al-Baqarah 2:255)
Daripada Abi Umamah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati”.
[Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (7532)] [Riwayat al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (9848)][Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban]
Komentar Berkaitan Hukum Hadith
Antara pendapat ulama’ berkaitan hadith ini adalah:
وَقَدْ رُوِيَ هَذَا الْحَدِيثُ مِنْ حَدِيثِ أبي أمامة، وَعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، وَالْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، وَجَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، وَأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، وَفِيهَا كُلِّهَا ضَعْفٌ، وَلَكِنْ إِذَا انْضَمَّ بَعْضُهَا إِلَى بَعْضٍ مَعَ تَبَايُنِ طُرُقِهَا وَاخْتِلَافِ مَخَارِجِهَا، دَلَّتْ عَلَى أَنَّ الْحَدِيثَ لَهُ أَصْلٌ وَلَيْسَ بِمَوْضُوعٍ
Maksudnya: “Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan hadith ini diriwayatkan oleh Abi Umamah, Ali bin Abi Thalib, Abdullah bin Umar, al-Mughirah bin Syu’bah, Jabir bin Abdillah dan Anas bin Malik. Padanya kesemuanya (riwayat-riwayat tersebut )terdapat keleMahan. Akan tetapi, jika dihimpunkan kesemua riwayat-riwayat ini dengan menjelaskan jalur-jalur dan perbezaan asal setiap satu daripadanya. Ini telah menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal dan ia bukanlah hadith yang palsu”.
(Lihat: Zad al-Ma’ad, 294/1)
Hadith ini juga jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selesai dari solat. Malah ayat Kursi turut diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu ayat yang agung.
Perkara ini pernah ditanya kepada Saidina Ubai bin Ka’b. Sabda Rasulullah yang maksudnya:“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan ayat Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: “Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir. (HR Muslim).
Mengapakah ayat al-Kursi begitu istimewa?
Menurut Imam al-San’ani:
وَاخْتَصَّتْ آيَةُ الْكُرْسِيِّ بِذَلِكَ لِمَا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ مِنْ أُصُولِ الْأَسْمَاءِ وَالصِّفَاتِ الْإِلَهِيَّةِ، وَبِالْوَحْدَانِيَّةِ، وَالْحَيَاةِ، وَالْقَيُّومِيَّةِ، وَالْعِلْمِ، وَالْمُلْكِ، وَالْقُدْرَةِ، وَالْإِرَادَةِ
Maksudnya: “Kelebihan ayat ini Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak)”.
[Lihat: Subul al-Salam, 297/1]
Membaca ayat al-Kursi mempunyai kelebihannya yang tersendiri sebagaimana yang disebut di dalam hadith Abi Umamah di atas iaitu kita disunatkan membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas menunaikan solat fardhu berdasarkan nas atau hadith di atas.
Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi mengatakan:
إن آية الكرسي تميزت بكونها خاصة بالثناء على الذات العليا لله عز وجل وتنزيهه ووصفه بكل كمال يليق
“Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnnya yang memuji dan mengagungkan zat Allah yang Maha Tinggi, menyucikanNya serta menyifatkanNya dengan sifat yang layak bagi zat Allah.”
al-Qardawi turut menjelaskan bahawa ayat Kursi ini boleh dibahagikan kepada sepuluh bahagian. Kesemua sepuluh bahagian ini mengandungi elemen yang mengagungkan Zat Allah. Kata beliau:
إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله
“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”
Atas kehebatan dan keagungan ayat yang mengesakan Allah ini, maka tidak hairanlah syaitan tidak berani mendekati mereka yang membaca ayat Kursi sebelum tidur seperti yang diceritakankan oleh Saidina Abu Hurairah dalam riwayat al-Bukhari. Malah rumah yang dibaca ayat Kursi akan digeruni oleh syaitan seperti yang dinukilkan dalam hadith:
فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان
“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.”
(Tafsir Ibn Kathir)
Maka berikanlah pesanan buat diri, anak-anak dan ahli keluarga kita agar tidak lekang dari membaca ayat Kursi. Lazimi diri membacanya samada setiap kali selesai dari solat, sebelum tidur, setiap kali masuk rumah atau di waktu pagi dan petang. Basahi lidah kita dengan ayat agung ini. Mudah-mudahan Allah memelihara hambanya yang sentiasa mengagungkan Tuhannya.
Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan kekuatan dalam mengamalkan sunnah-sunnah Nabi SAW dalam kehidupan seharian kita.
Amin.
Leave a comment