Berkata Imam Al-Jauzi yang maksudnya:
“Iblis memperdayakan ramai orang awam, lalu mereka pun mendatangi majlis-majlis zikir, ikut menangis dan berasa cukup dengan hal ini. Mereka beranggapan, yang paling penting adalah menghadiri suatu majlis itu dan menangis di sana dan mereka hanya bergantung pada perbuatan tersebut. Dan jikalau mereka tidak melakukan hal itu (iaitu bersama-sama menangis dan mendengar zikir-zikir), ia dapat menambah dosa dan kesalahan pada pandangan mereka. Sesungguhnya aku melihat segolongan orang yang datang semenjak beberapa tahun ke majlis zikir, ikut menangis dan menampakkan kekhusyukan. Tetapi mereka juga tidak meninggalkan kebiasaan mengamalkan riba, menipu dalam jual beli, dan tidak memahami rukun-rukun solat, tidak berhenti mengumpat, dan menderhaka kepada kedua orang tua. Mereka adalah orang-orang yang telah diperdayakan Iblis, sehingga mereka beranggapan, dengan menghadiri majlis zikir itu dapat menghapuskan dosa-dosa mereka. Ada pula yang beranggapan, dosa mereka terampuni kerana suka mendatangi para ulama’ dan orang-orang soleh. Ada pula yang suka menangguh-nangguhkan taubat, ataupun iblis menjadikan mereka sekadar mendengar ilmu secara lewa dan tidak beramal dengannya.”
Syarah
Orang-orang yang selalu menghadiri majlis ilmu juga tidak terlepas daripada tipu daya Iblis.
Terdapat dua jenis majlis zikir.
- Yang pertama adalah majlis zikir yang mengajar tentang halal dan haram serta hal-hal dalam agama.
- Yang kedua adalah majlis zikir yang membaca lafaz-lafaz zikir dalam mengingati Allah S.W.T.
Majlis zikir ini tidak mempunyai salahnya, malahan dituntut kepada umat Islam supaya menyertainya. Mereka hadir sehingga ada yang menangis di dalam majlis zikir itu. Tetapi apabila dia pulang ke rumah selepas menghadiri majlis zikir tersebut, dia berasa bangga akan dirinya sendiri kerana mampu mengalirkan air mata. Walhal mereka tidak mengetahui, maksud sebenar menghadiri majlis zikir itu bukanlah semasa majlis itu berlangsung semata-mata, tetapi amalnya selepas pulang dari majlis itu.
Jikalau dia terus istiqamah beramal walaupun selepas pulang dari majlis tersebut, itu telah mencapai maksud sebenar majlis itu dilangsungkan. Sebaliknya, jikalau dia tidak mengamalkan apa yang telah dia dapat dari majlis tersebut, apa yang dia dapat daripada majlis tersebut akan menjadi dakwaan kepadanya di akhirat nanti, kerana tidak mengamalkan ilmu yang dia dapat.
Disebabkan itu, ada orang yang menjadikan ini sebagai alasan untuk dirinya supaya tidak menuntut ilmu. Sedangkan, orang yang tidak menuntut ilmu ini, berkali ganda dosanya jikalau dibandingkan dengan orang yang tidak beramal dengan ilmu yang dia ada. Dosa orang tidak menuntut ilmu adalah dosa tidak beramal dan dosa tidak berusaha menuntut ilmu. Seperti firman Allah S.W.T.:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
فَوَيْلٌۭ لِّلْمُصَلِّينَ (٤) ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ(٥) ٱلَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ (٦) وَيَمْنَعُونَ ٱلْمَاعُونَ (٧)
“Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat, (4) (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya. (5) (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak. (6) Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatkannya).(7)”
(Surah Al-Ma’un 107:4-7)
Allah S.W.T. mengatakan, celakalah bagi orang yang lalai dan riak dalam solat. Oleh itu, ada orang yang ditipu oleh Iblis dengan mengatakan dia tidak solat kerana takut dia akan lalai dan riak jikalau dia melaksanakan solat. Sedangkan dosa bagi orang yang tidak mendirikan solat, jauh lebih besar jikalau dibandingkan dengan solat dalam keadaan lalai. Dan ini bukanlah bermaksud, tidak mengapa jikalau solat dalam keadaan lalai, tetapi sikap lalai dalam solat haruslah dikikis sedikit demi sedikit ketika mendirikan solat.
Terdapat sekumpulan orang awam yang menangis di dalam majlis zikir, tetapi apabila keluar dari majlis zikir itu, dia tetap meneruskan maksiatnya. Ada juga orang awam yang menyertai majlis zikir yang terdapat di dalamnya ulama’ yang hebat, dan dia menganggap bahawa dengan duduk bersama ulama’ ini akan menjadi sebab dia tidak akan dikenakan azab oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak. Sedangkan apabila keluar dari majlis bersama ulama’ tersebut, dia terus melakukan maksiat dengan beranggapan dia akan terlepas dari azab Allah S.W.T. disebabkan dia pernah menghadiri majlis bersama ulama’.
Ternyata bahawa dia telah tertipu dengan tipu daya Iblis. Menghadiri sesuatu majlis yang baik, tidak menjamin dirinya akan terlepas daripada azab Allah S.W.T.
Ada juga yang hadir majlis ilmu, tetapi masih mendahulukan akal daripada agama.
Kekuatan tipu daya syaitan terhadap seseorang bergantung terhadap tahap kejahilan seseorang. Bertambah kejahilan seseorang itu, bertambah mudahlah syaitan memperdayakan seseorang itu. Akan tetapi orang yang tinggi ilmunya juga tidak terlepas daripada tipu daya Iblis. Lagi tinggi ilmu seseorang, lagi banyak taktik yang diguna pakai oleh Iblis untuk menjayakan misinya. Jadi kita haruslah banyakkan menuntut ilmu supaya kita tidak mudah diperdayakan oleh tipu daya syaitan.
Di antara belitan Iblis terhadap orang awam adalah pada kepercayaan kepada Allah S.W.T. Sebagaimana yang telah diceritakan oleh Nabi dalam satu hadith yang sahih yang maksudnya:
“Syaitan akan datang kepada seseorang daripada kalanganmu lalu bertanya, ‘Siapakah yang menciptakan langit?’ Kita menjawab, ‘Allah.’ Tanyanya lagi, ‘Siapakah yang menciptakan bumi?’ Maka jawablah, ‘Allah. ‘ Syaitan bertanya lagi, ‘Siapakah yang menciptakan Allah?’ Maka jawablah, ‘Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.”
(Direkodkan oleh Imam Jalaluddin As-Suyuti dalam Sahihil Jami’ Saghir Waziadah, bab Huruful Alif, no. hadith 1656, daripada Ibnu Umar, status sahih.)
Maka, berdasarkan hadith itu, jikalau kita ditiupkan rasa waswas kepada Allah S.W.T., maka bisikkanlah ke dalam diri kita dan berkata آمَنْتُ باللهِ وَرَسُولِهِ. Ini yang diajarkan oleh Nabi S.A.W. kepada kita melalui hadith itu. Supaya kita tidak mempertikaikan kekuasaan dan kesempurnaan Allah S.W.T.
Belitan yang seterusnya terhadap orang awam adalah, syaitan akan mengganggu kita dari sudut logik. Syaitan akan masukkan keraguan terhadap logik sesuatu perkara melalui sains. Bagaimana sesuatu yang diperintahkan oleh Islam itu terjadi tidak bertepatan dengan logik daripada sains pada masa kini.
Maka jikalau ini berlaku, selain daripada membisikkan ke dalam hati آمَنْتُ باللهِ وَرَسُولِهِ, kita hendaklah mencari dan mengkaji ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan sains. Dengan itu, kita akan mendapati, betapa hebatnya ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan beribu tahun dahulu.
Dengan ini juga, keimanan akan menjadi lebih teguh dan kukuh.
Petikan: Belitan Tipu Daya Iblis oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
Leave a comment