Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 32 – Tidak Boleh Menimpakan Bahaya

“Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan tidak dikatakan kamu beriman sehingga kamu berkasih-kasihan. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perkara yang apabila kamu perbuat nescaya kamu berkasih-kasih? Iaitulah sebarkan salam antara kamu.”

(Riwayat Muslim no. 54)

Daripada Abi Sa’id Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudri RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ 

Maksudnya: “Tidak boleh membuat bahaya dan membalas (sesuatu perbuatan) dengan bahaya.”

(Riwayat Ibnu Majah, no. 2340 dan al-Daraqutni, no. 3/77)

Huraian 

Seseorang yang merugikan saudaranya dikatakan telah menzalimi saudaranya. Sedangkan berbuat zalim adalah haram, sebagaimana telah dijelaskan pada hadis Abu Dzar:

“Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan diriku berbuat zalim dan menjadikan haram juga antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi.”

(Riwayat Muslim no. 2577)

Al-Mahasini berkata:

“Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudarat.”

Sebahagian ulama berkata:

“Yang dimaksudkan dengan kamu membahayakan iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan saling merugikan iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan tidak untuk membela kebenaran.”

Hadis ini sama dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tunaikanlah amanat kepada orang yang memberi amanat kepadamu, dan janganlah kamu berkhianat kepada orang yang berkhianat.”

(Riwayat At-Tirmizi no. 1264)

Mudarat Pada Diri Sendiri

Allah SWT melarang kita memudaratkan diri sendiri dengan cara halus mahupun dengan cara kasar. 

Contohnya: Tidak membayar hutang sedangkan seseorang itu mampu membayar secara ansuran sehingga menyebabkan mudarat kepada diri sendiri. Wang yang ada digunakan untuk kegunaan lain yang bukan prioriti.

Mudarat Kepada Orang Lain

Bentuk mudarat kepada orang lain:

1. Memudaratkan orang lain tanpa mengharapkan sebarang faedah. 

Misalnya: 

  • Menentukan wasiat yang lebih kepada sesetengah waris yang disukai akan memudaratkan waris lain yang terkurang haknya.
  • Menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah. 
  • Menjual barang-barang dengan keuntungan yang berlipat ganda jauh melebihi keuntungan yang wajar.

2. Melakukan kebaikan untuk diri sendiri tetapi memudaratkan orang lain. 

Misalnya:

  • Membakar kawasan tanah sendiri tanpa kawalan yang munasabah hingga merosakkan tanah orang bersebelahan. 
  • Meninggikan bangunan rumah tanpa persetujuan jiran hingga menghalang rumah jiran itu mendapat sumber cahaya matahari, cahaya bulan atau laluan angin.
  • Menggali perigi bersebelahan perigi jiran yang mengakibatkan perigi jiran itu kering airnya.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑