Iblis Buka 99 Pintu Kebaikan Untuk 1 Pintu Keburukan

Berkata Imam Al-Jauzi:

أَبُو غَسَّانِ النَّهْدِيُّ قَالَ سَمِعْتُ الْحَسَنَ بْنَ صَالِحٍ رَحِمَهُ اللهُ يَقُولُ إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَفْتَحُ لِلْعَبْدِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ بَابًا مِنَ الْخَيْرِ يُرِيدُ بِهِ بَابًا مِنَ الشَّرِ

“Abu Ghassan An-Nahdi berkata, aku pernah mendengar Al-Hasan bin Saleh berkata, ‘Sesungguhnya syaitan itu benar membukakan 99 pintu kebaikan. Tetapi dia menggunakan satu pintu kejahatan.’”

Syaitan menunjukkan menunjukkan kelicikannya dengan menawarkan kepada manusia bermacam-macam jenis kebaikan demi menusukkan satu jarum kejahatan. 

Syaitan akan sentiasa menyuruh manusia melakukan kebaikan. Setelah manusia itu melakukan kebaikan, dia akan menusukkan pula jarum kejahatan seperti rasa riak dan bangga atas kebaikan yang telah dilakukan. 

Walhal perasaan bangga dan riak itu tidak nampak pada zahiriah. Cukup sahaja syaitan merosakkan manusia dari dalam hati. 

Lama-kelamaan kerosakan dalam hati itu akan terzahir melalui perbuatan. Lihatlah bagaimana liciknya syaitan dalam menggoda manusia supaya melakukan kejahatan.

Contoh yang lain adalah seperti syaitan membisikkan kepada orang yang jahil untuk pergi menuntut ilmu. 

Pada mulanya, orang yang jahil itu sentiasa merendah diri kerana kejahilannya. Tetapi setelah dia menuntut ilmu dan tidak lagi menjadi orang jahil, dia berasa bongkak, takbur, dan sentiasa berasa dirinya sahaja yang benar kerana dia ada ilmu. Sampaikan apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain nampak tidak benar di matanya. Manusia sebegini telah berjaya ditusuk oleh syaitan dengan tusukan kejahatan tanpa dia sedari. Lihat bagaimana syaitan mengubah seseorang yang merendah diri menjadi seorang yang bongkak.

Namun, hal ini tidak patut disalah ertikan. Bukanlah bermaksud orang yang jahil itu tidak perlu menuntut ilmu kerana takut bongkak. Orang yang jahil wajib menuntut ilmu dan janganlah menjadi bongkak setelah berasa dirinya bukan lagi orang yang jahil. 

Orang yang jahil dan tidak menuntut ilmu kerana takut bongkak itu juga terpedaya dengan tipu daya syaitan. Berhati-hati dan jangan terpedaya dengan liciknya tipu daya syaitan.

Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis, Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibnu Al-Jauzi oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑