أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَـٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ (١)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbualbual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan “Hindari Ajaran Sesat”.
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Gejala kesesatan telah bermula dimana wujud kelompok-kelompok yang dipimpin oleh individu-individu, tokoh-tokoh yang mengaku sebagai Nabi pada zaman Rasulullah SAW. Terdapat beberapa orang yang mengaku sebagai Nabi antaranya al-Aswad al-Unsi, Musailimah al-Kazzab dan Thulaihah Ibnu Khuwailid al-Asadi. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, golongan ini semakin agresif mengembangkan ajaran-ajaran mereka. Pada zaman Abu Bakar al-Siddiq Radhiallahuanhu, beliau telah memerangi golongan-golongan sesat ini termasuklah golongan yang enggan membayar zakat.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Pada hari ini kesinambungan kesesatan masa lalu semakin membimbangkan bahkan lebih cenderung dan bermotifkan kepentingan diri, kuasa termasuklah harta dan wanita. Semuanya ini adalah berpunca daripada lemahnya pegangan asas-asas agama yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu akidah, syariat dan akhlak. Selain itu, faktor kurangnya pengetahuan dan kefahaman mereka tentang hukum syarak dan Tasawwur Islam secara menyeluruh menjadi faktor utama lahirnya pengikut-pengikut dan pentaksub kepada ajaran sesat ini. Inilah yang telah berlaku baru-baru ini apabila ada ajaran sesat seperti ajaran agama Ahmadi yang berani secara terang-terangan menyesatkan agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang majoriti dalam kalangan umat Islam. Termasuklah ajaran Ayah Pin yang muncul semula, kumpulan Sihulk yang mendakwa Rasulullah SAW sebagai tuhan dan Imam Mahdi akan turun di New Zealand.
Fenomena ajaran sesat ini tidak boleh dibiarkan kerana ia akan memberi impak kepada keseluruhan elemen dan sistem kepercayaan umat Islam yang boleh terdedah kepada unsur-unsur yang berkaitan dengan keyakinan, dakwaan atau perbuatan yang membawa kepada syirik, kufur dan murtad.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Daripada Mu’awiyah bin Abu Sufian Radhiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Ketahuilah sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72 golongan. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan di dalam neraka dan satu golongan di dalam syurga iaitu al-Jamaah.”
(Riwayat Abu Daud)
Takrif Ahlus Sunnah Wal Jamaah berasal daripada dua perkataan iaitu “Ahl Al-Sunnah” dan “Al-Jamaah” yang memberi maksud golongan yang mengikuti pegangan Rasulullah SAW atau mengikut cara hidup baginda dan Jemaah para sahabat terutamanya Khulafa’ Al-Rasyidin yang dididik oleh baginda SAW. Pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah meliputi ajaran-ajaran Islam mengenai akidah, syariat dan akhlak yang dibawa semenjak zaman Rasulullah SAW serta para sahabat baginda SAW.
Secara umumnya, masyarakat Islam di Malaysia mengikut aliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah daripada sudut akidah, mazhab Syafie daripada sudut feqah dan Imam Ghazali dari sudut Tasawwuf. Jawatankuasa fatwa negeri Selangor memutuskan sesuatu fatwa mengikut qaul muktamad dalam mazhab Syafie. Sekiranya pendapat dalam mazhab Syafie itu tidak memenuhi kepentingan umum masyarakat Islam, qaul (pendapat) daripada mazhab Sunni lain yang mana difikirkan munasabah seperti Hanafi, Maliki dan Hambali boleh diikuti.
Fatwa-fatwa yang dikeluarkan di Negeri Selangor menetapkan tiga perkara iaitu:
- Pegangan umat Islam di dalam negeri ini adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada segi akidah, syariat dan akhlak.
- Pegangan selain daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak.
- Penyebaran apa-apa ajaran dalam apa-apa bentuk sekali pun selain pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang. Ketetapan ini menunjukkan pihak berkuasa agama negeri ini berusaha bersungguh-sungguh mencegah pemikiran selain Ahlus Sunnah Wal Jamaah daripada bertapak dan merebak dalam masyarakat Islam.
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,
Terdapat situasi hari ini, segelintir masyarakat berbalah dalam soal-soal cabang dari siasah yang sifatnya relatif atau tidak mutlak sehingga saling mencela, menghukum, bahkan saling menuduh sesama sendiri atau individu tertentu telah terpesong daripada Islam sebenar dan berpegang dengan akidah yang sesat dan menyeleweng. Lebih malang lagi apa yang merugikan umat Islam adalah pendukung-pendukung ajaran sesat pula berjaya mempengaruhi masyarakat sekeliling supaya bersama-sama meneruskan kegiatan ajaran sesat mereka. Lebih daripada itu, pendukungpendukung ajaran sesat sering mempengaruhi pengikut-pengikut mereka demi kepentingan tertentu hingga membutakan hati mereka daripada jalan kebenaran lantaran keseronokkan hawa nafsu semata-mata.
Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 119:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَإِنَّ كَثِيرًۭا لَّيُضِلُّونَ بِأَهْوَآئِهِم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُعْتَدِينَ (١١٩)
“Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas”
(Surah al-An’am 6:119)
Bagi mengekang penyebaran kepercayaan-kepercayaan sesat ini, umat Islam perlu mendalami dan memahami ilmu akidah, syariat, akhlak dan agama Islam yang sebenarnya.Tujuan kita mencari ilmu ialah untuk mencapai kebaikan, kebenaran dan kebahagiaan. Maka dengan itu, carilah ilmu dengan guru yang murshid dan berintegriti. Guru yang menunjukkan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Janganlah kita mencari guru sembarangan.
Hindarilah diri dari menuntut ilmu agama daripada guru yang tidak mempunyai ilmu dengan disiplin ilmu yang benar. Berhati-hatilah ketika mendengar dan menerima ajaran yang meragukan. Sekiranya ia bertentangan dengan syarak, tetapkanlah pendirian dan sematkanlah akidah dalam sanubari agar ia kekal teguh dan kukuh.
Apabila kita ingin kembali menjadi umat Islam yang diredhai oleh Allah SWT dan ingin mencapai zaman kegemilangan umat Islam seperti dahulu, maka umat Islam pada hari ini perlu kembali kepada asas dan prinsip-prinsip yang dapat menyatupadukan umat Islam seluruhnya sebagaimana yang dipandukan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita menghayati dan mengambil pengajaran seperti berikut:
- Umat Islam hendaklah meyakini bahawa aqidah, syariat dan akhlak adalah pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW selamat daripada api neraka.
- Umat Islam hendaklah sedar bahawa pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah pegangan rasmi institusi dan masyarakat Islam di negara ini yang perlu dipegang dan dipertahankan.
- Umat Islam perlu tahu bahawa ajaran, fahaman, pegangan dan ideologi yang bercanggah dan menyeleweng daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor perlu dijauhkan.
- Umat Islam hendaklah ingat bahawa sekiranya ada ajaran dan fahaman baharu yang mengelirukan perlulah dirujuk kepada Jabatan Muftimufti Negeri dan alim ulamak bertauliah serta yang bertanggungjawab.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَمَن يُشَاقِقِ ٱلرَّسُولَ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ ٱلْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ ٱلْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِۦ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِۦ جَهَنَّمَ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا (١١٥)
“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan-jalan orang yang beriman, kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali”.
(Surah al-Nisa’ 4:115)
Tarikh Dibaca: 17 Syawal 1445H/26 April 2024
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment