Teks Khutbah Jumaat (WP): Bekerja Kerana Allah

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَقُلِ ٱعْمَلُوا۟ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ (١٠٥)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua. 

Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Bekerja Kerana Allah“.

Sebelum itu, saya ingin mengajak seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk terus mendoakan keselamatan buat penduduk Palestin yang ditindas teruk di tanah air mereka sendiri. Semoga mereka semua segera bebas dari cengkaman rejim zionis Israel laknatullahi alaihim. Saya juga ingin menyeru kepada semua untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara kita khususnya dan seluruh dunia umumnya dari sebarang bentuk malapetaka, kekacauan dan huru-hara serta dijauhkan dari sebarang bentuk pertelingkahan atau peperangan.

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,

Bekerja merupakan suatu amanah yang terkait juga padanya etika dan moral serta kaitan dosa pahala. Setiap kerja yang dilakukan menuntut kepada kesediaan mental dan fizikal serta paling penting sifat ikhlas dan penyerahan diri kepada Allah SWT kerana nanti pada akhirnya setiap yang dilakukan itu akan dinilai oleh Allah SWT. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 105 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi bermaksud:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”

(al-Taubah 9:105)

Islam juga menuntut umatnya untuk melakukan kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh kerana setiap pekerjaan yang cemerlang itu pastinya terhasil dari sebuah kesungguhan. Kecemerlangan bukanlah semata-mata mendapat markah tinggi atau dipuji oleh majikan tetapi kecemerlangan yang sebenarnya ialah apabila ia mencapat mardhatillah (keredhaan Allah SWT).

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini memegang sejumlah amanah dan tanggungjawab yang dipertanggungjawab oleh Allah SWT. Dalam menyantuni kehidupan dunia ini, segala keperluan hidup memerlukan harta dan kewangan yang stabil dan kukuh. Antara cara untuk mendapatkan harta ialah melalui pekerjaan. Dengan sebab itu, dalam al-Quran terdapat banyak perintah untuk kita bekerja seterusnya mencapai kehendak manusiawi yang kita miliki. Kunci utamanya ialah pekerjaan itu adalah halal dan tidak bertentangan dengan Syariat sama ada kita sebagai peniaga, tokoh korporat yang besar, petani, pekebun, penternak, nelayan, pertukangan, mengambil sebarang upah, penjawat awam, bekerja di sektor swasta, maka semuanya digalakkan. Maka perlunya kita perbetulkan niat setiap kali kita bekerja kerana mengikut apa yang diperintah oleh Allah. 

Sebagai contoh, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama”.

(Hadis riwayat Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin)

Kita juga bertanggungjawab melaksanakan tugas dalam pekerjaan dengan penuh etika dan berintegriti. Antaranya dengan melaksanakan amanah pada hak yang sepatutnya, menepati masa, saling menghormati sama ada antara majikan dan pekerja, mengamalkan akhlak yang mulia dalam berbicara dan tingkah laku. Selain itu, hendaknya kita menjauhi sikap-sikap negatif dalam bekerja seperti malas, curi tulang, rasuah dan pecah amanah, bertangguh, bercampur bebas antara lelaki dan perempuan yang tidak ada pertalian, lebih banyak melepak dari melakukan kerja dan sebagainya.

Maka laksanakanlah tugas dan tanggungjawab di tempat kerja dengan itqan (ketekunan dan kesungguhan) kerana ada sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda: Diriwayatkan daripada A’isyah Radiallahuanha, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan tekun dan bersungguh-sungguh”.

(Hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931) tetapi dengan sanad yang berbeza.)

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,

Bersempena Hari Pekerja yang akan disambut pada 1 Mei tahun ini, dengan tema “Pekerja Kesuma Bangsa”, Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI melalui Kementerian Sumber Manusia menyatakan komitmen yang berterusan bagi melindungi hak pekerja dengan memperkenalkan Konsep 3K iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan dalam pelaksanaan dasar.

Antara peranan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah:

Pertama: Kerajaan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan setiap pekerja di negara ini kekal terpelihara di samping memastikan semua golongan pekerja di negara ini mendapat hak-hak mereka sepertimana yang termaktub dalam undang-undang.

Kedua: Kerajaan juga akan memastikan semua golongan pekerja mendapat peluang dan hak yang sama rata untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terkini dan meningkatkan kompetensi. Usaha ini penting bagi memastikan kumpulan pekerja yang tersedia ialah mereka yang boleh menyahut cabaran industri dan sentiasa bersedia membuat perubahan selaras dengan perkembangan semasa industri yang akan membolehkan Malaysia mencapai sasaran melahirkan kumpulan tenaga kerja mahir sebanyak 35% menjelang tahun 2030.

Pekerja sebagai aset negara juga sewajarnya dilayan dengan baik oleh majikan. Dalam era perkembangan industri, tindakan eksploitasi terhadap pekerja berlaku disebabkan pengabaian hak-hak pekerja yang boleh dikategorikan sebagai “penghambaan moden”. Para pekerja yang berhadapan dengan situasi ini perlulah mengambil langkah yang betul melalui Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang melindungi mereka daripada dieksploitasi oleh majikan.

Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin membuat beberapa rumusan;

Pertama: Bekerja – walau dalam apa-apa jua bidang – memiliki amanah dan etika yang berkait rapat padanya pahala dan dosa, dan menuntut kepada kesediaan fizikal dan mental.

Kedua: Niat yang ikhlas bekerja kerana Allah SWT kemudian disusuli dengan tindakan dan sikap yang baik dalam melaksanakan pekerjaan memastikan kita mencapai kecemerlangan dalam pekerjaan iaitu kecemerlangan yang bermaksud mardhatillah (keredhaan Allah SWT).

Ketiga: Lakukan setiap tugas dengan itqan (tekun dan bersungguh-sungguh) dan jauhkan dari perkara-perkara yang menjatuhkan maruah, kredibiliti dan kepercayaan masyarakat umumnya terhadap setiap bidang pekerjaan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Jumu’ah ayat 10:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَٱبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ(١٠)

Maksudnya: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.

(al-Jumu’ah 62:10)

Tarikh Dibaca: 17 Syawal 1445H/26 April 2024
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑