Itqan (Tekun) Dalam Setiap Pekerjaan Lambang Keislaman

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”

( Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath, Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman tetapi dengan sanad yang berbeza, no. Hadith 4929, 4930 dan 4931.)

Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana, bekerja merupakan salah satu wasilah atau cara untuk mendapatkan rezeki. Di dalam al-Qur’an Allah SWT telah berfirman:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

(al-Taubah 9:105)

Makna Itqan

Itqan (tekun) – إتقان  dalam beramal atau bekerja bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada sesorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikitpun dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.

Kepentingan Itqan (Tekun)

Antara kepentingan tekun dalam bekerja:

  • Pertama: Tekun di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan adalah wasilah untuk mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah SWT.
  • Kedua: Allah SWT kasih kepada orang-orang yang tekun dalam dalam bekerja sebagaimana hadith di atas.
  • Ketiga: Barangsiapa yang tekun dalam pekerjaannya akan memudahkan urusan orang lain dan mengelakkan daripada keletihan.
  • Keempat: Sifat tekun akan membezakan antara orang yang betul-betul berusaha dan juga orang yang sambil lewa ketika bekerja.
  • Kelima: Tekun juga akan menambahkan keberkatan di dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Kita dituntut untuk itqan atau tekun dalam setiap perkara yang kita lakukan. Ini kerana, sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda keislaman. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam dituntut untuk ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap amal ibadah, sikap dan kehidupan kita. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(al-An’am 6:162)

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan tekun dalam setiap perkara yang dilakukan. Amin.

Wallahua’lam

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑