Nama Anak-Anak Iblis

Berkata Imam Al-Jauzi yang maksudnya:

“Daripada Zaid bin Mujahid, dia berkata, Iblis mempunyai lima anak, yang masing-masing anak diberi tugas tersendiri, kemudian mereka memberikan nama kepada mereka. Yang pertama, Tsabr. Dia adalah pembawa musibah yang diperintahkan untuk merosak, menyobek saku saat manusia berduka, memukul pipi dan membuat pengakuan-pengakuan jahiliah lainnya. Keduanya, A’war. Dia adalah pembawa zina, yang menyuruh manusia supaya berzina dan menganggap perbuatan zina bagus. Yang ketiga Miswath. Dia adalah pembawa dusta, yang mendengar sesuatu lalu dia mendatangi seseorang dan mengkhabarkan apa yang didengarnya, lalu orang itu menemui orang-orang lalu berkata, ‘Aku telah melihat seseorang yang masih aku ingat wajahnya tetapi aku tidak tahu namanya, dia berkata kepadaku begini dan begitu.’ Kemudian yang keempatnya adalah Dasim. Tugasnya menyusup ke dalam seseorang yang menemui keluarganya, lalu dia menampakkan cela mereka di matanya sehingga membuatnya marah-marah. Dan yang kelima, Zaknabur. Dia adalah penguasa pasar yang mengibarkan benderanya di pasar-pasar.”

Syarah dan Tahqiq:

Imam Al-Jauzi telah menyenaraikan beberapa nama anak Iblis. Setiap satunya mempunyai tugasan mereka yang tersendiri dan yang pastinya mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu menyesatkan anak-anak Nabi Adam. Itulah apa yang dijanjikannya di hadapan Allah S.W.T. sejurus mereka dihalau oleh Allah S.W.T. dari syurga. Nama-nama anak Iblis itu adalah:

1. Tsabr

Tsabr ditugaskan untuk menghasut manusia yang ditimpakan musibah. Dia akan menghasut mereka yang ditimpakan musibah supaya berlebihan dalam bersedih seperti mengoyakkan poket mereka di saat mereka berduka dan menampar pipi sendiri (amalan wanita pada zaman jahiliah apabila menerima berita kematian). Juga seperti pengikut Syiah yang menyeksakan badan mereka sehingga berdarah pada setiap 10 Muharram bagi menunjukkan tanda kesedihan mereka atas kewafatan anak Saidina Ali R.A., iaitu Saidina Hussin. Mereka juga terpedaya dengan tipu daya Tsabr.

2. Al-A’war

Al-A’war adalah pembawa zina, yang menyuruh manusia supaya berzina dan menganggap perbuatan zina bagus serta tidak berdosa. Al-A’war juga yang menghiasi perempuan-perempuan ajnabi supaya kelihatan cantik dan menarik di mata lelaki-lelaki ajnabi. Manusia yang terjebak dalam penzinaan sudah berjaya ditipu oleh Al-A’war.

3. Miswath

Miswath adalah pembawa dusta, dan juga berita-berita palsu. Contohnya seperti mendengar sesuatu lalu dia mendatangi seseorang dan mengkhabarkan apa yang didengarnya. Lalu orang itu menemui orang-orang lalu berkata, “Aku telah melihat seseorang yang masih aku ingat wajahnya tetapi aku tidak tahu namanya, dia berkata kepadaku begini dan begitu.’

4. Daasim 

Daasim ditugaskan menyusup ke dalam seseorang yang menemui keluarganya, lalu dia menampakkan cela mereka di matanya sehingga membuatnya marah-marah. Dia juga sebagai pemecah belahkan hubungan kekeluargaan, dengan menyusupkan keaiban suami ke mata isteri dan sebaliknya, sehingga berlaku perpecahan dan pergaduhan suami isteri dalam hubungan rumah tangga.

5. Zaknabur

Zaknabur adalah penguasa pasar yang mengibarkan benderanya di pasar-pasar. Yang dimaksudkan pasar-pasar adalah kawasan-kawasan perniagaan. Zaknabur akan berada di pasar-pasar bagi menghasut pembeli dan penjual. Pembeli yang berbelanja boros melebihi kemampuan sehingga membazir sudah tertipu dengan tipu daya Zaknabur. Peniaga yang menipu dalam timbangannya serta mengabaikan kewajiban semata-mata mahu berniaga juga sudah tertipu dengan tipu daya Zaknabur.

Petikan: Belitan Tipu Daya Iblis, Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibnu Al-Jauzi oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑