Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 33 –  Bukti Bagi Menuduh & Sumpah Kepada Mengingkari

“Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi daripada orang lelaki antaramu. Jika tidak ada dua orang lelaki, maka boleh seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada saksi-saksi yang kamu reda.”

(Surah Al-Baqarah 2:282)

Daripada Ibn Abbas meriwayatkan, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ؛ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْم وَدِمَاءَهُمْ. لَكِنِ الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Jika semua orang dipenuhi akan tuntutannya, nescaya akan ada orang yang menuntut harta benda dan darah suatu kaum. Akan tetapi hendaklah ada bukti bagi orang yang menuduh dan ada sumpah bagi yang mengingkari.”

(Riwayat al-Baihaqi no. 21 201, hasan sebahagian lafaznya diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 4552 dan Muslim no. 1711)

Huraian 

Hadis ini pada riwayat al-Bukhari dan Muslim disebutkan bahawa Ibn Abu Mulaikah mengatakan:

“Ibn Abbas menulis bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah menetapkan sumpah untuk orang menyangkal dakwaan.”

Pada riwayat lain disebutkan sesungguhnya Nabi bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya manusia dikabulkan apa sahaja yang menjadi pengakuannya, nescaya orang akan mudah menuntut darah dan harta orang lain. Akan tetapi, sumpah itu untuk orang yang menyangkal dakwaan.”

(Riwayat Muslim no. 1711)

Hadis ini merupakan salah satu pokok hukum Islam dan sumber pegangan yang terpenting di kala terjadi perselisihan dan permusuhan antara orang-orang yang bersengketa.

Suatu perkara tidak boleh diputuskan semata-mata berdasarkan pengakuan atau tuntutan daripada seseorang.

Pengajaran

  1. Orang yang mendakwa hendaklah mengemukakan saksi. Jika dia berupaya untuk mengemukakan saksi dengan sempurna menurut syarat-syaratnya, maka dakwaannya boleh diterima oleh hakim. Bermakna ia menang dalam dakwaan atau tuntutannya.
  2. Jika orang yang mendakwa tidak berupaya untuk mengemukakan saksi, hakim berhak menyuruh orang yang terdakwa bersumpah. Sekiranya dia sanggup bersumpah, maka dia mendapat kemenangan.
  3. Kalau orang yang terdakwa tidak mahu bersumpah, maka orang yang mendakwa hendaklah bersumpah. Kalau dia bersumpah, maka dialah yang menang.
  4. Apabila dua orang mendakwa masing-masing mempunyai hak atas suatu barang dan barang itu berada di tangan salah seorang daripada kedua-duanya, sedangkan kedua-duanya tidak mendatangkan saksi, maka hendaklah disuruh orang yang memegang barang itu bersumpah dan dibenarkan sumpahnya.

Tetapi kalau barang itu berada di tangan kedua-duanya atau di tangan orang lain, maka hendaklah kedua-duanya bersumpah kemudian barang itu dibahagikan untuk kedua-duanya.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑