Islam sangat mementingkan kebersihan dan keselamatan dalam setiap aspek kehidupan manusia termasuklah dalam perihal makanan dan minuman.
Dalam perkara ini, pengendalian, penyajian dan penyimpanan makanan atau minuman perlulah dilakukan dengan betul agar makanan kekal dalam keadaan baik dan selamat untuk dimakan.
Bekas-bekas makanan atau air hendaklah sentiasa tertutup kerana dikhuatiri makanan atau minuman yang dibiarkan dalam keadaan terdedah akan dicemari dengan kotoran serta serangga perosak seperti lalat dan sebagainya.
Di samping menjaga kebersihan dan keselamatan makanan, menutup bekas-bekas makanan dan air merupakan sunnah Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
غَطُّوا الْإِنَاءَ، وَأَوْكُوا السِّقَاءَ، وَأَغْلِقُوا الْبَابَ، وَأَطْفِئُوا السِّرَاجَ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَحُلُّ سِقَاءً، وَلَا يَفْتَحُ بَابًا، وَلَا يَكْشِفُ إِنَاءً، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ أَحَدُكُمْ إِلَّا أَنْ يَعْرُضَ عَلَى إِنَائِهِ عُودًا، وَيَذْكُرَ اسْمَ اللهِ، فَلْيَفْعَلْ، فَإِنَّ الْفُوَيْسِقَةَ تُضْرِمُ عَلَى أَهْلِ الْبَيْتِ بَيْتَهُمْ.
Maksudnya: Tutuplah bekas-bekas makanan, rapatkan penutup bekas-bekas minuman, tutuplah pintu-pintu dan padamkanlah lampu-lampu, kerana syaitan tidak dapat membuka bekas minuman, membuka pintu dan membuka bekas makanan (yang telah ditutup). Jika kalian tidak mempunyai penutupnya kecuali sebatang kayu yang diletakkan di atasnya dan menyebut nama Allah, maka lakukanlah. Sesungguhnya tikus boleh merosakkan pemilik rumah dengan membakar rumah mereka.”
(Riwayat Muslim 2012)
Imam Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menyatakan beberapa adab yang menjadi asbab terselamat daripada kejahatan dan gangguan syaitan kerana syaitan-syaitan tidak diberi kekuatan untuk membuka bekas-bekas dan pintu-pintu rumah yang telah ditutup dan disebutkan nama Allah SWT. Adab-adab ini juga bertujuan untuk menjamin keselamatan dan maslahah bukan sahaja untuk di dunia, malah untuk di akhirat jua.
Seperti makanan yang dihidangkan dalam keadaan buffet atau nasi campur dengan beraneka lauk, dan pelanggan sedang mengambil makanan atau seseorang itu sedang makan dan makanan dihidangkan di atas meja maka, tidak mengapa untuk tidak sentiasa menutupnya tetapi perlu sentiasa dijaga makanan tersebut daripada lalat, serangga dan kotoran yang lain.
Walau bagaimanapun, sekiranya tiada pelanggan yang sedang mengambil makanan pada ketika itu, pengendali makanan hendaklah memastikan makanan ditutup dengan penutup bekas atau apa-apa sahaja yang boleh menutupnya.
Justeru itu, dinasihatkan untuk pemilik kedai makanan agar sentiasa cakna dan mengambil berat akan kebersihan kedai dan makanan dan minuman yang dijual demi kebaikan semua.
Wallahu a’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment