7  Terapi Menangani Depresi

Oleh: Dr Khairul Anuwar Mustaffa Pensyarah Kanan UiTM, Shah Alam 

Depresi atau kemurungan adalah suatu bentuk tekanan emosi dan perasaan yang dihadapi oleh seseorang ketika dalam situasi sukar yang dialami. Keadaan ini seringkali membawa kepada kebimbangan, ketakutan dan keresahan yang berpanjangan. Menurut pakar, depresi boleh memberi kesan negatif kepada pembangunan fi zikal dan mental yang sihat. Pesakit depresi biasanya merasa lemah badan dan tidak bermaya, cepat rasa putus asa dan jemu, kurang selera makan dan tidak selesa tidur. Yang membimbangkan, depresi boleh mengakibatkan risiko lain yang lebih besar seperti membunuh diri. 

Kini, depresi dianggap sebagai suatu masalah kesihatan serius dialami penduduk dunia. Malah ia juga dianggap sebagai penyakit kronik dan berpotensi menjadi punca kepada penyakit lain. Menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), depresi berada di tempat keempat sebagai penyakit yang tertinggi pada masa ini. 

Oleh kerana depresi adalah dikatakan sebagai suatu penyakit, cara dan kaedah rawatan yang sesuai dengannya telah dicadangkan untuk diamalkan. Lantaran itu, pelbagai pandangan pakar dapat ditemui untuk mengatasi masalah depresi. Terdapat juga usaha menangani depresi menggunakan amalan dan rawatan yang disebut oleh al-Quran mahupun hadis Nabi SAW seperti yang dinyatakan oleh sarjanawan Islam sejak zaman berzaman. 

Depresi Sebagai Suatu Ujian 

Depresi adalah dikatakan sebagai gangguan mental dan emosi yang mungkin berpunca daripada tekanan hidup yang dihadapi oleh seseorang. Ia juga disebabkan keadaan sosio-ekonomi yang tidak menentu, ditambah pula persekitaran tempat tinggal mahupun pekerjaan yang tidak banyak membantu yang mengakibatkan tekanan. Hakikatnya, depresi adalah bentuk ujian kehidupan yang perlu ditangani. Pesakit sama ada diri sendiri atau orang lain perlu dibantu untuk menanganinya. Di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 155, Allah SWT menyatakan bentuk ujian kehidupan yang pelbagai dihadapi manusia. Ini termasuklah gangguan perasaan dan emosi sebagaimana firman-Nya:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٥٥)

Maksudnya: “Dan Kami akan menguji kamu dengan sesuatu ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(al-Baqarah 2:155)

Justeru, kalimah anfus yang disebut dalam ayat ini mungkin boleh dikaitkan dengan depresi yang dialami oleh seseorang manusia. Apa yang pasti, setiap ujian yang dihadapi adalah lumrah kehidupan yang perlu dihadapi. Oleh itu, ia memerlukan kekuatan dalaman yang bukan sedikit.

Terapi Menangani Depresi 

Depresi sebenarnya boleh ditangani dengan berkesan melalui rawatan mahupun amalan rutin secara konsisten. Sesetengah pakar menyebut rawatan dan amalan tersebut sebagai terapi. Terapi adalah suatu bentuk ikhtiar kesembuhan dan rawatan. Sungguhpun tanpa menggunakan ubat yang khusus, rawatan atau amalan terapi boleh membantu menangani depresi. 

Di samping usaha dan ikhtiar kesembuhan yang banyak untuk mengatasinya, Islam menampilkan bentuk rawatan yang ideal yang boleh dikembangkan secara berkesan dan boleh disusun untuk dijadikan amalan harian. Amalan seperti berdoa, menunaikan solat, membaca al-Quran, berselawat, bersedekah dan lainlain boleh menjadi terapi yang memberi ketenangan dan menyembuh depresi. Oleh itu, keberkesanannya banyak bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan yang disertai dengan cara dan kaedah yang tepat. 

Sehubungan dengan itu, jika dikaji secara mendalam terdapat banyak bentuk terapi yang dicadangkan yang boleh diamalkan. Malah, dalam Islam konsep terapi itu sendiri terkandung dalam penghayatan akidah, ibadah dan tasawuf yang menjadi intipati amalan seseorang muslim. 

7 Bentuk Terapi Hadapi Depresi 

1. Terapi Iman 

Beriman kepada Allah SWT adalah asas terapi yang penting dalam kehidupan. Iman melahirkan rasa kekuatan dan kemanisan ibadah dalam diri. Manusia yang beriman teguh berdepan dalam apa jua ujian yang dihadapinya. Hakikat ini disebut dalam al-Quran menerusi fi rman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4 iaitu: 

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ ٱلسَّكِينَةَ فِى قُلُوبِ ٱلْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوٓا۟ إِيمَـٰنًۭا مَّعَ إِيمَـٰنِهِمْ ۗ وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًۭا (٤)

Maksudnya: “Dia lah Tuhan yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” 

(al-Fath 48:4)

Kalimah sakinah yang disebut dalam ayat tersebut mempunyai kaitan dengan kedamaian, ketenangan dan ketenteraman jiwa dan perasaan. Ketenangan yang hakiki akan wujud apabila seseorang itu beragama dengan menghayati intipati keimanan itu sendiri seperti mentaati perintah Tuhan dan meninggalkan larangan-Nya. Itulah merupakan asas terapi yang wajar diketahui dan diamalkan dalam kehidupan. 

2. Terapi Solat 

Solat adalah ibadah yang wajib dilaksanakan oleh seseorang sebagai amalan rutin. Rahsianya banyak dihuraikan dan dijelaskan oleh para alim ulama. Menunaikan solat dengan sempurna adalah menjadi terapi yang amat baik untuk kesihatan mental, fi zikal dan apatah lagi rohani manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 45 iaitu:

وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَـٰشِعِينَ (٤٥)

Maksudnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

(al-Baqarah 2:45) 

Justeru, wajar bagi seseorang untuk melaksanakan solat dengan sempurna untuk melatih seseorang untuk sentiasa berhubung dan berinteraksi dengan Allah SWT. Solat yang sempurna akan menjadi terapi untuk mengukuhkan rasa teguh dan konsisten dalam menghayati kesabaran dalam mendepani ujian. 

3. Terapi Zikir 

Zikir adalah mengingati Allah SWT dan menyebutnya berulang kali. Cara dan kaedah berzikir kepada Allah SWT banyak dihuraikan oleh ulama. Berzikir secara bersungguh-sungguh dan menghayatinya adalah terapi yang dapat menenangkan jiwa dan perasaan manusia. Hakikat ini disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran, antaranya dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 seperti berikut: 

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ (٢٨)

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “dzikru’llah”. Ketahuilah! Dengan “dzikru’llah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” 

(Ar-Ra’d 13:28) 

Sebenarnya kalimah zikir yang dialunkan mengandungi terapi yang dapat memberi ketenangan. Amat perlu bagi setiap muslim supaya berdisiplin dalam amalan zikir secara konsisten sama ada selepas solat mahupun dalam apa jua keadaan. Contohnya membiasakan bertasbih, bertahmid dan bertakbir selepas solat sebanyak 33 kali. Dengan amalan secara konsisten, bersungguh-sungguh dan Ikhlas akan memberi terapi ketenangan dan kekuatan diri. 

4. Terapi Al-Quran 

Membaca al-Quran adalah terapi untuk mengukuhkan jiwa dan rohani. Membiasakan membaca al-Quran dengan bersungguh-sungguh dan memahami maknanya akan menjadi penawar bagi jiwa yang dilanda keresahan. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 82: 

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌۭ وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًۭا (٨٢)

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

(al-Isra’ 17:82)

Sehubungan dengan itu, sewajarnya kita menjadikan al-Quran sebagai terapi yang dapat dilaksanakan dengan membacanya secara rutin dan berusaha untuk memahami dan menghayatinya dalam kehidupan. 

5. Terapi Selawat

Selawat adalah doa yang diucapkan agar Nabi SAW mendapat rahmat. Ia adalah di antara cara kita memuliakan Baginda SAW yang dapat kita lakukan. Mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu adalah suatu amalan sebagaimana Allah SWT dan para malaikat yang sentiasa melimpahkan berkat dan rahmat kepada Nabi SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 56: 

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا (٥٦)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(al-Ahzab 33:56)

Justeru, amalan berselawat yang diamalkan secara konsisten akan menjadi suatu terapi kepada diri, menjadi penawar duka dan lara, membuka pintu rahmat dan maghfi rah dan dilimpahi rezeki yang berkat. 

6. Terapi Doa 

Berdoa adalah suatu bentuk permintaan dan amalan yang dilakukan oleh seseorang untuk memenuhi keperluan sebagai seorang hamba kepada Tuhan. Berdoa adalah suatu bentuk terapi jika dihayati dengan sepenuhnya. Firman Allah SWT dalam surah al-Ghafir ayat 60 yang berbunyi: 

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ (٦٠)

Maksudnya: “Dan Tuhanmu berfi rman, ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

(Ghafir 40:60)

 Justeru, berdoa jika diamati adalah suatu bentuk terapi yang dapat memberi ketenangan jiwa dan dapat menjauhkan diri daripada keresahan dan kebimbangan. Berdoa bermaksud kita memohon dan meluahkan harapan dan hajat kepada Tuhan yang menjadikan kita. Berdoa adalah suatu terapi dan rawatan jiwa yang mujarab. Namun, perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan konsisten.

 7. Terapi Taubat 

Taubat adalah rasa kembali dan insaf kepada Allah SWT di atas dosa dan kesalahan yang dilakukan. Taubat yang bersungguhsungguh akan diiringi dalam kalimah istighfar yang diucapkan melalui lidah dan dihayati dengan bersungguh-sungguh. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 52: 

وَيَـٰقَوْمِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا۟ مُجْرِمِينَ (٥٢)

Maksudnya: “Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!”

(Hud 11:52)

Seseorang yang menjadikan amalan istighfar sebagai amalanya akan merasai ketenangan dan kedamaian jiwa. Secara tidak langsung memberi kekuatan kepada diri untuk mendapat ketenangan hati dan jiwa, di samping memberi dorongan untuk memperolehi kebaikan dan rezeki yang luar jangkaan. 

Kesimpulan 

Depresi sebagaimana penyakit lain yang dihadapi oleh manusia sebenarnya boleh diubati dan dirawat. Selain rawatan pemulihan, Islam menyediakan pakej terapi yang cukup sempurna untuk diamalkan dan dihayati dalam kehidupan. 

Secara tidak langsung, dengan menghayati ajaran Islam itu sendiri dapat mengukuhkan kekuatan diri dan pertahanannya daripada segala bentuk ujian yang melanda. Ini termasuklah depresi atau kemurungan. Menerusi penghayatan akidah, ibadah dan tasawuf akan menjadikan seseorang itu kuat berdepan apa jua cabaran dan ujian yang dihadapi di dunia ini. 

Di samping itu, ia menjadi bekalan untuk mendepani ujian yang lebih besar selepas kematian. Oleh itu, mengamalkannya secara konsisten dan berterusan walaupun sedikit terapi yang dinyatakan akan menjadi penawar dan rahmat untuk manusia.

Sumber: Majalah Sinar Rohani 1/2024, Jakim

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑