Rancak Berdosa Di Media Sosial – Elak Lakukan 6 Perkara Ini!

Oleh: Mymuslimin.com

Di zaman ini, bilangan mereka yang tidak aktif di media sosial boleh dikira dengan jari. Bukan setakat anak-anak remaja, nenek dan datuk pun sudah ada akaun Facebook dan Instagram, malahan terdapat segelintir juga yang sudah berjinak-jinak dengan aplikasi TikTok. WhatsApp dijadikan pusat bersosial, berkongsi rasa, berkongsi berita, berkongsi maklumat, berkongsi fitnah dan sebagainya. Tidak dinafikan bahawa media sosial memberi banyak kelebihan dalam memenuhi keperluan gaya hidup masakini dengan menyambung silaturrahim, mengeratkan hubungan antara teman-teman serta memudahkan urusan peribadi dan perniagaan. 

Walau bagaimanapun, media sosial sarat risiko kepada umat Islam. Terlalu banyak ruang untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam, dan ini telah menyebabkan ramai yang terjebak dan rancak berdosa tanpa memikirkan akibatnya. Semua aksi-aksi di media sosial kini telah dianggap biasa kerana ianya telah dinormalisasikan oleh masyarakat kita. Namun begitu, jika ianya perbuatan dosa, ia tidak akan mengecualikan pelakunya tidak kira bagaimana persepsi masyarakat terhadap perlakuan tersebut. 

Sebagai seorang muslimin, kita seharusnya mengambil langkah pencegahan dan mengelak daripada melakukan 6 perkara di bawah ini untuk mengecualikan diri daripada terpalit dosa media sosial. 

1. Berpada-pada berkongsi kekayaan, kejayaan atau kegembiraan 

Di dalam dunia yang taksub dengan kekayaan dan wang ringgit, masing-masing berlumba-lumba untuk mempamerkan apa yang mereka ada. Masyarakat juga semakin menilai kejayaan menggunakan kayu ukur yang sama, orang berjaya itu kaya. Walaupun perkongsian tentang kekayaan, kejayaan dan kegembiraan ini ada yang realiti dan ada yang ilusi, perbezaannya begitu samar sekali sehingga ramai yang mempercayai  apa yang dilihat di skrin membuta tuli.  Dalam beribu yang mengkagumi, beribu mata yang melihat juga mencemburi. Jika dilupakan faktor luar,  hati sendiri juga perlu diteliti kerana dikhuatiri menghidupkan ujub dan riak di dalam diri. Ditakuti kita akan terlebih claim kejayaan diri, lantas kita mengumumkan bahawa segala kejayaan yang dikecapi adalah kerana usaha kita sendiri. 

Sebagai orang Islam, rasa syukur itu perlu dipanjatkan hanya kepada Ilahi, Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, seikhlas hati, terus kepada Dia, tiada keperluan untuk dikongsi-kongsi secara keterlaluan dengan orang lain yang kita tidak tahu menahu tentang kehidupan dan juga hati mereka. Allah SWT menyukai hamba-Nya yang bersyukur dan mereka yang bersyukur akan diberi nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak, keluarga, dan kebahagiaan hidup. Insya Allah. 

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid, ayat 20:

ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّۭا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمًۭا ۖ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ وَمَغْفِرَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۭ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ(٢٠)

Maksudnya:Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

2. Elakkan menghasilkan video yang boleh menimbulkan fitnah

Kemajuan teknologi memudahkan video dirakam dan dimuat naik dalam sekelip mata dan ini menjadikan aplikasi TikTok dan Instagram dibanjiri dengan pelbagai jenis video yang dihasilkan pengguna. Pelbagai masalah yang timbul apabila video yang dimuat naik tidak patuh syariah dan mengundang fitnah mereka yang menontonnya seperti menari tanpa malu, bercakap tanpa manfaat, berjenaka berlebihan, berkongsi aib orang, menyebar berita palsu, lelaki memakai pakaian wanita untuk berjenaka, dan sebagainya. Islam memberikan garis panduan dalam menjalani kehidupan berdasarkan Al-Quran dan Hadis, dan hakikatnya, ramai yang menghasilkan video sebegini tanpa memikirkan natijahnya dari sudut agama. Jangan sampai video yang kita hasilkan membuatkan kita bukan sahaja mengutip dosa di dunia tetapi disambung juga apabila kita sudah tiada. 

Di samping itu, sudah menjadi fenomena biasa masa kini untuk menghasilkan video atas nama ‘marketing’ dengan cara menipu testimoni, menipu kesan produk, menggunakan skrip yang jelik dan sebagainya, sedangkan perbuatan itu ditegah Islam kerana kesannya negatif kepada pengguna.

Diriwayatkan oleh Abi Qatadah al-Anshari, sesungguhnya ia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Awas kamu dari banyak bersumpah dalam berniaga. Sesungguhnya (kadang kala) banyak bersumpah dalam berniaga boleh melariskan barangan akan tetapi selepas itu ia akan menghilangkan barakahnya.”

Oleh itu, muslimin dan muslimat disarankan untuk menambah ilmu agama tentang apa yang dibolehkan dan apa yang tidak di dalam perniagaan supaya kita tidak rugi di akhirat nanti akibat perbuatan kita di dunia. 

3. Komen yang baik-baik atau jangan komen

Tatkala portal media atas talian tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dan rata-rata ramai yang membawakan berita-berita sensasi yang dicedok dari Instagram dan TikTok selebriti ataupun masyarakat, pengguna media sosial berdepan dengan risiko berdosa setiap masa. Ruangan komen portal-portal juicy ini membuatkan ramai yang ingin memberikan  pendapat dan berpihak, yang akhirnya membawa kepada pertelingkahan yang buruk di alam maya.

Lebih bahaya lagi apabila ada yang memfitnah, memaki-hamun, menyindir dan sebagainya kerana hakikatnya, di ruang komen itu tiada siapa yang mengenali siapa anda sebenarnya. Masalah besar akan timbul apabila pengguna terlalu kerap meninggalkan komen jelik dan negatif sehinggakan tiada cara untuk audit dan melupuskan komen-komen tersebut sekiranya perlu. Setiap kali komen buruk kita dibaca orang, apakah jenis saham yang dicatatkan untuk kita oleh malaikat yang menjaga amalan harian kita?

Tip mudah, jangan komen!

Tiada amalan atau perbuatan yang tidak dicatat malaikat yang Allah SWT tugaskan kepada kita, seperti yang tertulis dalam Surah Qaaf ayat 17-18:

إِذْ يَتَلَقَّى ٱلْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ ٱلْيَمِينِ وَعَنِ ٱلشِّمَالِ قَعِيدٌۭ(١٧) مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌۭ(١٨)

Maksudnya: “Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya (17) Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya) (18)”.

(Qaaf 50:17-18)

Dan seperti yang diketahui umum, Internet ini kotak memori, walaupun komen yang ditulis sudah bertahun lama, jika ada yang mencari, pasti akan terjumpa. Oleh itu, jika tiada kata-kata positif dan bermanfaat untuk ditulis di ruangan komen, tarik diri daripada masuk campur. Mudah sahaja caranya, JANGAN KOMEN.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam…”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ambillah pendekatan ini. Jangan disebabkan komen yang kita tinggalkan di media sosial akan memudharatkan hisab kita di akhirat nanti. 

4. Simpan Kisah Rumah Tangga Di Dalam Rumah Kita Sahaja

Suami isteri mempunyai tanggungjawab untuk menjaga perkahwinan dan salah satu daripadanya ialah kerahsiaan. Sedangkan setiap orang Islam itu disarankan agar menutupi aib orang Islam yang lain seperti sabda Rasulullah yang bermaksud,

“Tidaklah seorang hamba menutupi (aib) seorang hamba (yang lain) di dunia melainkan Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat.”

(HR Muslim) 

Inikan pula suami isteri. Dengan kehadiran kamera di setiap telefon bimbit dan kemudahan media sosial,, kehidupan rumahtangga sudah menjadi tontonan umum dan menjadi perbualan dan fitnah kepada ramai manusia setiap hari. Walaupun sebagai orang Islam kita disarankan untuk tidak melihat dalam rumah orang lain tanpa keizinan tuan rumah, orang sekarang ‘menjemput’ semua orang ‘masuk’ ke rumah kelamin mereka dengan sesi ‘live’ setiap hari.

Menurut Imam al-Ghazali, masalah sesebuah perkahwinan hanya boleh diluahkan kepada mereka yang pakar dan berkemampuan untuk menyelesaikan masalah seperti kaunselor, ustaz dan ustazah, peguam, teman rapat serta hakim ketika berada dalam kamar mahkamah. Selain daripada berkongsi dengan mereka, makruh untuk pasangan menceritakan masalah yang berlaku di dalam rumahtangga kepada orang lain. Ini bertujuan untuk mengelak daripada fitnah dan cerita yang ditokok-tambah.

Tujuan berkongsi masalah ialah untuk mencari jalan penyelesaian dan bukan untuk dibahaskan secara umum dan akhirnya mencetuskan perbalahan lebih besar dan  berpihak-pihak, yang akan meruntuhkan rumahtangga tersebut secara khusus dan masyarakat secara amnya.

5. Berhati-hati dengan ketagihan matawang sosial

Semakin hari, semakin banyak kegilaan yang timbul di media sosial. Baru-baru ini seorang individu telah didakwa kerana membuat prank menarik tudung beberapa orang muslimah dengan alasan mengejar viral. Tidak kurang juga yang menghasilkan video-video cela dengan alasan pemasaran. Suka, komen dan kongsi yang ditagihkan itu dikenali sebagai matawang sosial. Apabila seseorang obses matawang sosial, mereka akan membuat apa sahaja untuk meraih matawang tersebut daripada netizen. Lebih gila-gila kontennya, lebih banyak penglibatan netizen yang akan diraih di media sosial, dan ini memberikan persepsi kemasyuran, dan kepentingan diri yang mungkin tidak wujud di dunia nyata.

Elak ketagih matawang sosial

Elakkan diri daripada menggadaikan maruah diri hanya untuk memperoleh matawang sosial yang rendah nilainya ini. Terapkan malu dalam diri, malu dengan Allah, malu dengan ibubapa, malu dengan keluarga, apatah lagi dengan orang luar yang tidak kita kenali.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya antara perkara yang diperoleh manusia daripada perkataan Nabi yang terdahulu ialah sekiranya kamu tidak malu maka lakukanlah apa yang kamu kehendaki.”

(HR Bukhari)

Dan orang Islam juga disarankan tidak melibatkan diri dengan perkara yang tidak berfaedah kepada dirinya.

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda:

Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya).”

(HR Tirmizi No: 2318)

6. Jangan habiskan masa menghadap skrin 

Setiap hari, berapa lamakah seseorang menghabiskan masa di media sosial? Berapa lama diri boleh bertahan tidak menggunakan telefon bimbit untuk melayari media sosial? Setelah selesai solat, berapa lamakah seseorang boleh bertahan sebelum tangannya  mencapai telefon bimbit? Zikir lebih penting atau melihat kemaskini media sosial lebih utama?

Sebagai seorang muslimin, berpada-padalah dan berilah prioriti kepada ibadah dan amalan kita berbanding menghabiskan masa tanpa mendapat manfaat. Ini boleh dilakukan jika kita secara sedarnya ingin mengurangkan masa di skrin dan lebihkan masa kita dengan zikir dan ibadah untuk mencari redha Allah. 

Kesimpulan

Walaupun kita melihat media sosial dan kontennya biasa, tiada apa yang bahaya, kita perlu melihatnya sekali lagi dengan menggunakan kanta Islam. Hidup di dunia ini pendek jangkanya, marilah kita sama-sama elakkan rancak berdosa yang akan memudharatkan kita bila kita meninggalkan dunia ini.  Ingatlah pesan Allah SWT dalam Surah al-‘Asr:  

وَٱلْعَصْرِ(١) إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ(٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ(٣) 

Maksudnya: “Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (3).”

(al-‘Asr 103: 1-3)

Rujukan Lain:

Sifat Kehidupan Dunia

Perkara Haram Dalam Perniagaan

Don’t Insult Others

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑