أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
فَمَنِ ٱتَّقَىٰ وَأَصْلَحَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ(٣٥)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan.
Janganlah berbualbual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan “Takwa Dan Pekerjaan”.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Takwa ialah memelihara hubungan yang baik dengan Allah SWT, memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah SWT, memelihara dan taat segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Hadis daripada Abu Dzarr Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Allah berfirman, ‘Sesiapa yang melakukan kebajikan, maka ia mendapatkan pahala sepuluh kebajikan dan Aku tambah dan Sesiapa yang melakukan keburukan, maka balasannya satu keburukan yang sama, atau diampuni dosanya. Sesiapa yang mendekat kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekat kepadanya sehasta dan Sesiapa yang mendekat kepada-Ku sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa; Sesiapa yang datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari. Sesiapa yang menemui-Ku dengan dosa sepenuh bumi tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, maka Aku menemuinya dengan maghfirah yang sama.”
(Riwayat Muslim dan Ahmad)
Hadirin Jumaat yang berbahagia,
Sesungguhnya takwa adalah kunci kejayaan bagi setiap mukmin kerana Allah SWT akan sentiasa berada di sisi hamba-Nya yang selalu berserah dan bertakwa kepada-Nya dalam apa jua keadaan sama ada senang atau pun ketika ditimpa ujian atau musibah. Bahkan ianya menjadi bekalan untuk memperoleh kebahagian dan kejayaan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 197:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ (١٩٧)
“Berbekallah dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku, wahai orang yang berakal”.
(Al-Baqarah 2:197)
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,
Hamba yang bertakwa meyakini bahawa ketaatan mereka kepada penciptanya tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT. Ketakwaan seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah SWT bukanlah perkara yang bersifat pilihan, sebaliknya takwa kepada-Nya adalah suatu yang mesti diterapkan dalam semua tindakan kita selagi nyawa dikandung badan. Takwa bukanlah suatu yang hadir pada situasi tertentu, sebaliknya ia lahir dari sebuah keyakinan yang tidak berbelah bagi. Kesabaran yang tinggi, kesungguhan, jihad dan pengorbanan yang besar yang mengenepikan keseronokan dunia.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Biarkanlah aku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kamu semua. Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu tidak lain kerana banyak persoalan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Maka apabila aku melarang kamu daripada sesuatu urusan, jauhilah ia dan apabila aku memerintahkan kamu dengan suatu urusan, lakukanlah sekadar yang termampu.”
(Riwayat al-Bukhari)
Hadirin Jumaat yang dimuliakan Allah SWT,
Sempena dengan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, marilah kita sama-sama menerapkan sifat takwa dengan menjadikan pekerjaan sebagai aktiviti harian yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Pekerjaan yang dilakukan hendaklah dari sumber yang halal dan dibelanjakan kepada yang halal juga agar dapat memperolehi keberkatan di dunia dan kebaikan di akhirat.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada memintaminta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”
(Riwayat al-Baihaqi)
Sebagai seorang pekerja, baik yang bekerja sendiri atau bekerja dengan majikan tertentu, bekerjalah dengan semangat yang tinggi, bersikap amanah, menjauhi perkara yang mungkar. Jadikanlah pekerjaan kita sebagai ibadah dan mencari keredhaan Allah SWT semata-mata serta mengharapkan keberkatan daripada Allah SWT. Keperluan dan nafkah hidup wajib dijaga. Marilah kita sama-sama berniat mencari nafkah dan pekerjaan semata-mata kerana Allah SWT.
Namun begitu, niat yang betul mengikut syarak adalah bertepatan dengan perbuatan yang dilakukan berdasarkan niatnya. Oleh itu, bagi setiap pekerjaan yang dilakukan kerana Allah SWT hendaklah dibuat dengan bersungguh-sungguh dan penuh ketekunan.
Dalam melaksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh dan tekun, menggunakan daya fikir yang tinggi dan khudrat tulang empat kerat, kewajipan syarak lainnya perlu dijaga, khususnya menjaga solat 5 waktu. Ini menunjukkan solat mengajar kita bijak menguruskan masa, berusaha untuk menjadi mukmin yang berpegang kepada amanah dan menepati janji kepada Allah SWT. Selain itu juga muslim yang taat dan mendirikan solat 5 waktu diibaratkan seolah-olah menegakkan agamanya.
Daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahuanhu, beliau memberitahu: “Aku pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, ‘Amal apa yang paling dicintai Allah Ta’ala?’ Rasulullah SAW menjawab, solat pada waktunya’.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Ketika kita bekerja, maka bekerjalah dengan tekun dan jangan tinggalkan kewajipan yang lain. Pekerja yang mempunyai ketakwaan sudah tentu akan menjauhi sebarang perbuatan maksiat dan dosa ketika melakukan kerjanya. Inilah elemen-elemen penting bagi seseorang pekerja yang bertakwa.
Ironinya, ketika berniat memulakan kerja, lakukanlah tugas dengan bersunguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Laksanakanlah kewajipan solat dan kewajipan agama yang lainnya, masih ada segelintir pekerja yang suka melakukan maksiat dan berperilaku buruk dalam kalangan pekerja, baik disedari mahupun tidak disedari.
Antara maksiat dan perlakuan buruk yang didapati masih berlaku adalah perlakuan salah guna kuasa dan rasuah dengan menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi. Maksiat rasuah dan salah guna kuasa juga didapati terlindung apabila ia dilakukan secara beramai-ramai dan berstruktur dalam sesebuah organisasi.
Perlakuan ini berlaku apabila pekerja yang berada pada suatu kedudukan mengambil sikap bahawa kedudukannya adalah suatu keistimewaan dan kuasa sehingga membelakangkan amanah dan tanggungjawab yang diamahkan kepadanya. Perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sangat menghalang, mengekang dan membantutkan perlaksanaan dasar-dasar pembangunan, dalam masa yang sama telah menyekat rakyat untuk menerima, merasai dan menikmati kesan kemajuan pembangunan negeri dan negara.
Sehubungan itu, marilah semua warga kerja untuk tidak melakukan perkara yang haram, zalim, merosakkan ekonomi dan menghalang pembentukan sesebuah negara maju dan harmoni. Perlu diingat, rasuah menjadi kebiasaan kerana dimulakan dengan mencubanya, akhirnya menjadi berani melakukannya hingga menjadi suatu kebiasaan dan menjadi perkara keperluan yang betul dan wajar.
Hadirin jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Ingatlah! rasuah berpunca daripada 3 sebab.
- Pertama: kerana keperluan terdesak.
- Kedua: kerana kerakusan dan kecintaan duniawi yang tidak dapat dibendung, dan
- Ketiga: Kerana sistem kerja yang lemah atau gagal dikuatkuasakan.
Oleh itu, pekerja yang bertakwa hendaklah hidup sesuai dengan upah yang diterima. laluilah kehidupan dengan sekadar keperluan bukan berdasarkan kehendak yang tidak terhad. Sentiasalah melakukan kerja dengan amanah, berintegriti, Ikhlas dan menjadi pekerja yang baik dimana juga ditempatkan. Jauhilah menjadi pekerja yang hanya berkira-kira dengan tugasnya, berat untuk saling membantu rakan sekerja kerana ianya tidak mencerminkan ketakwaan bahkan menunjukkan satu sikap mementingkan diri sendiri sahaja.
Sejarah mengajar kita bahawa sikap mementingkan diri sendiri inilah yang menjadi punca keruntuhan Daulah Islamiah dan juga permusuhan antara sesama Islam. Ambillah iktibar dari kisah-kisah lampau dengan penuh keinsafan dan juga penyesalan dan janganlah kita kita menjadi faktor yang mendorong sejarah berulang.
Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita menghayati dan mengambil pengajaran seperti berikut:
- Umat Islam hendaklah sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam melakukan urusan dunia dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
- Umat Islam hendaklah sentiasa berpandangan jauh dalam pekerjaan disamping sentiasa mengingati kematian dan bersedia dengan bekalan untuk hari akhirat.
- Umat Islam hendaklah menjaga amanah dan berintegriti dalam pekerjaan serta menjauhi perbuatan maksiat dan mungkar yang boleh menyebabkan kerosakan dan kemusnahan diri, keluarga dan masyarakat.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ(٢٧)
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahui (salahnya)”.
(Al-Anfal 8:27)
Tarikh Dibaca: 24 Syawal 1445H/3 Mei 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment