أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِى ٱلْأَرْضِ حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌ (١٦٨)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita semua dibangkitkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak.
Marilah kita terus istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau serta bersama-samalah menyemarakkan kempen “Subuh Macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan. Semoga segala amal ibadah dan kesungguhan kita mengimarahkan rumah Allah mendapat limpahan rahmat dan ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Marilah bersama kita hayati bicara khutbah pada hari ini yang bertajuk “Usah Tertipu Lagi!”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kita kini berada dalam era yang semakin berkembang luas dan mencabar dengan kecanggihan dan kepesatan teknologi digital. Pelbagai maklumat boleh diakses dalam masa yang singkat dan pantas. Semuanya hanya dihujung jari sahaja. Kesemua ini telah memberikan kita banyak manfaat dalam kehidupan dan tugas-tugas seharian.
Namun, perlu disedari bahawa di sebalik kemudahan ini juga terdapat sebahagian manusia yang menyalahgunakannya semata-mata untuk memperdaya masyarakat dengan pelbagai taktik penipuan demi meraih laba atau keuntungan lumayan dalam masa yang singkat. Mereka membutakan mata dan memekakkan telinga tidak menghiraukan suruhan Allah SWT supaya mencari rezeki yang halal lagi baik sebagaimana yang telah ditegaskan Allah SWT menerusi firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah, ayat 168 yang dibacakan sebentar tadi yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (al-Baqarah 2:168)
Dalam usaha membanteras jenayah scammer atau jenayah penipuan kewangan dalam talian, pihak kerajaan terutamanya Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah banyak mengambil langkah-langkah pencegahan yang proaktif untuk menyedar dan memperingatkan masyarakat.
Pelbagai amaran telah diberi dan penyebaran informasi telah dilaksanakan, namun saban hari masih ramai lagi orang awam yang terpedaya dan menjadi mangsa. Menurut statistik kes dan kerugian jenayah online scam yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri bagi tahun 2023 sahaja, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan ialah sebanyak 29,535 kes, manakala jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan ialah melebihi RM950 juta adalah sangat menakutkan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Pelbagai taktik licik telah digunakan oleh penjenayah bagi menipu dan memperdaya mangsa. Di antara jenis-jenis scam atau penipuan yang sering kali berlaku ialah phishing iaitu kegiatan mencuri data peribadi.
Penipuan Macau iaitu penyamaran sebagai penguatkuasa yang membuat panggilan menerusi panggilan telefon, penipuan tawaran kerja iaitu pendahuluan wang deposit sebelum ditawarkan kerja, penipuan parsel iaitu bayaran wang untuk mendapatkan kotak barangan, penipuan cinta iaitu pasangan hilang tanpa dikesan selepas menerima wang dan penipuan e-dagang iaitu beli lain tetapi tidak menerima barang yang sepatutnya, penipuan pelaburan iaitu mangsa dijanjikan mendapat pulangan pelaburan yang besar namun akhirnya penjenayah menghilangkan diri.
Oleh itu hendaklah kita sentiasa berwaspada dengan pelbagai taktik yang digunakan penjenayah agar tidak mudah terpedaya dan turut menjadi mangsa.
Kebiasaannya, sindiket penipuan ini akan menggunakan keldai akaun. Keldai Akaun adalah individu yang menyerahkan kad Autoteller Machine (ATM) miliknya serta nombor pin kad tersebut kepada individu lain dan akaun tersebut pula digunakan bagi tujuan jenayah. Kebanyakan Keldai Akaun ini terpedaya dengan janji akan mendapat pulangan lumayan sekiranya akaun mereka dibenarkan untuk transaksi kononnya atas sesuatu urusan. Ingatlah, jangan serahkan kad ATM dan nombor pin peribadi kepada sesiapa sahaja termasuk rakan, kenalan dalam talian apatah lagi peminjam wang (Ah Long) serta orang asing. Kelak bukan kekayaan yang diperolehi malah diburu oleh pihak berkuasa kerana bersubahat dengan jenayah.
Ironinya ramai dalam kalangan profesional seperti doktor dan jurutera menjadi mangsa, namun lebih malang jika ia melibatkan rakyat berpendapatan rendah yang bergelut dengan kos sara hidup. Pokoknya, siapapun kita, usah rambang mata dengan skim yang menawarkan ganjaran lumayan tanpa perlu berusaha. Ikutilah panduan Rasulullah SAW agar kita berusaha mencari rezeki dengan titik peluh sendiri sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Rafi’ Bin Khadij Radiallahuanhu. Katanya yang Bermaksud:
“”Telah ditanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, apakah pekerjaan yang paling baik?” Rasulullah SAW bersabda, “Seorang lelaki yang bekerja dengan tangannya dan tiap-tiap jual beli yang baik (iaitu perniagaan yang halal, jujur dan bersih),””
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Tindakan proaktif dan kawalan diri adalah antara langkah yang penting dalam pencegahan jenayah penipuan dalam talian. Justeru, sebagai pencegahan ikutilah beberapa langkah dan saranan berikut:
- Elakkan diri daripada berkongsi maklumat peribadi dan sentiasa waspada dengan serangan penggodam.
- Abaikan sebarang emel dari sumber yang tidak pasti serta pastikan komputer atau peranti dilindungi dengan anti-virus dan sentiasa kemas kini perisian peranti.
- Jangan sesekali berkongsi maklumat perbankan serta abaikan sebarang panggilan yang mencurigakan.
- Kekal tenang dan jangan panik apabila menerima panggilan telefon, WhatsApp atau SMS daripada orang yang tidak dikenali.
- Segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terhidu sebarang aktiviti atau perlakuan yang mencurigakan.
Mimbar sekali lagi mengingatkan kepada para jemaah sekalian, bertindaklah secara bijak dan usahlah terus tertipu dan terpedaya berulang kali. Jangan terus alpa dan leka, kerana sesungguhnya kelekaan dan kelalaian bakal mengundang seribu penyesalan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar ingin menyimpulkan bicara kepada beberapa peringatan:
- Pertama: Carilah rezeki yang halal lagi baik kerana keberkatan dan redha Allah SWT terletak di situ. Syaitan ingin menyesatkan manusia agar meraih pendapatan melalui penipuan yang diakhiri dengan azab siksaan di neraka.
- Kedua: Usah rambang mata dengan harta yang datang tanpa usaha. Carilah maklumat yang tepat agar kita tidak tertipu dengan permainan janji palsu dan kata-kata manis daripada si penipu.
- Ketiga: Salurkan maklumat tentang penipuan kepada pihak berkuasa dan berautoriti agar ia dapat dibanteras segera. Kita juga boleh menggunakan pelbagai platform media hari ini bagi meningkatkan kesedaran tentang penipuan yang berlegar dalam masyarakat hari ini.
Marilah kita fahami dan hayati firman Allah SWT menerusi surah Al-Hujurat, ayat 6:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ(٦)
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(Al-Hujurat 49:6)
Tarikh Dibaca: 24 Syawal 1445H/3 Mei 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment