Surah al-Mulk adalah salah satu daripada surah yang dikategorikan sebagai Surah Munjiat (Penyelamat). Surah ini ialah surah nombor 67, Juz 29 di dalam Al-Quran. Diantara kelebihan membaca surah al-Mulk termasuk:
1. Syafaat Kepada Pembacanya
Surah ini dapat memberikan syafaat kepada pembacanya sehingga ia diampunkan dosa-dosanya oleh Allah SWT. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
سُوْرَةٌ مِنَ اْلقُرْأن، ثَلَاثُوْنَ اَيَةً؛ تَشْفَعُ لِصَاحِبِهَا حَتَّى يُغْفَرَ لَهُ: تَبَارَكَ الَّذِيْ بِيَدِهِ اْلمُلْكُ
“Ada surah dari Al-Qur’an yang terdiri dari 30 ayat. Surah tersebut dapat memberikan syafa’at bagi pemiliknya (orang yang banyak membacanya) sehingga ia diampuni dosanya, iaitu surah تَبَارَكَ الَّذِيْ بِيَدِهِ اْلمُلْكُ
(Hadis Riwayat Abu Daud)
2. Pembela di Hari Akhirat
Surah al-Mulk juga akan menjadi pembela kepada orang yang membacanya di Hari Akhirat sehingga pembacanya masuk ke Syurga Allah SWT. Sabda Nabi SAW:
سُوْرَةٌ مِنَ اْلقُرْآنِ، مَا هِيَ إِلاَّ ثَلاَثُوْنَ آيةً، خَاصَمَتْ عَنْ صَاحِبِهَا حَتَّى أَدْخَلَتْهُ اْلجَنَّةَ، وَ هِيَ تَبَارَكَ
“Ada surah dari Al-Quran, ia tidak terdiri kecuali hanya 30 ayat. Surah tersebut dapat membela pemiliknya (orang yang banyak membacanya) sehingga memasukkannya ke syurga iaitu, surah تَبَارَكَ (Hadis Riwayat Thabrani)
3. Penghalang Daripada Azab Kubur
Surah ini menjadi penghalang bagi pembacanya daripada terkena azab kubur. Sabda Nabi SAW:
مَنْ قَرَأَ تَبَارَكَ الذِّيْ بِيَدِهِ المُلْكُ كُلَّ لَيْلَةٍ مَنَعَهُ اللهُ بِهَا مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَكُنَّا فِيْ عَهْدِ رَسُوْلِ الله صلى الله عليه و سلم نُسَمِّيْهَا اْلمَانِعَةَ وَإِنَّهاَ فِيْ كِتَابِ اللهُ سُوْرَةٌ مَنْ قَرَأَ بِهَا فِيْ كُلِّ لَيْلَةٍ فَقَدْ أَكْثَرَ وَأَطَابَ
“Barangsiapa membaca surah تَبَارَكَ الذِّيْ بِيَدِهِ المُلْكُ setiap malam, maka Allah menghalangnya, sebab surah tersebut, dari seksa kubur, dan dahulu kami di zaman Rasulullah Saw. menamainya dengan Al-Mani’ah (penghalang). Sungguh surah tersebut bahagian dari kitabullah, barangsiapa membacanya setiap malam, maka ia telah banyak berbuat kebaikan.”
(Hadis Riwayat Nasa’i)
4. Sunnah Diamalkan Ketika Hendak Tidur
Surah al-Mulk adalah diantara Surah yang dibaca oleh Rasulullah SAW ketika hendak masuk tidur. Daripada Jabir beliau berkata:
أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ لاَ يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ الم تَنْزِيلُ وَ تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ
“Sesungguhnya Nabi Saw. tidak tidur hingga beliau membaca surah تَنزِيلُ الٓمٓ (Surah al-Sajdah) dan تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Begitulah antara kelebihan-kelebihan membaca Surah al-Mulk dan semoga Allah memberikan kekuatan untuk kita mempelajari, mentadabbur dan mengamalkan Surah ini dalam seluruh kehidupan kita.
Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan
Leave a comment