Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 35 – Nilai Persaudaraan

Daripada Abi Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَحَاسَدُوْا، وَلَا تَنَاجَشُوْا، وَلَا تَبَاغَضُوْا، وَلَا تَدَابَرُوا، وَلَا يَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ. وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا. الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ. لَا يَظْلِمُهُ، وَلَا يَخْذُلُهُ، وَلَا يَكْلبه وَلَا يَحْقِرُهُ. اَلتَّقْوَى هَا هُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّانٍ. بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِ، أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ. كُلُّ الْمُسْلِم عَلَى الْمُسْلِم حَرَامٌ دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ.

Maksudnya: “Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan janganlah sebahagian kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak patut menzalimi, membiarkannya (dalam kehinaan), membohongi dan merendahkannya. Takwa itu di sini (Baginda menunjuk dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang dikatakan buruk jika sampai menghina saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim atas Muslim yang lain; haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.”

(Riwayat Ahmad no. 7727 dan Muslim no. 2563)

Huraian 

Hadis ini mengandungi nilai penting dan utama dalam skop persaudaraan Islam. Antara ciri-ciri utama yang disampaikan dalam bentuk arahan dan larangan ialah:

1. Jangan Dengki

Jangan saling mendengki dalam memandang kelebihan orang lain kerana akan memutuskan hubungan persaudaraan.

Maksudnya jangan berasa gembira agar luputnya nikmat daripada orang lain. Perasaan sedemikian adalah haram. Dalam hadis lain disebutkan:

“Jauhilah olehmu sekalian sifat dengki, kerana dengki itu memakan segala kebaikan seperti api memakan kayu.”

(Riwayat Abu Daud no. 4903)

2. Jangan Menipu

Jangan saling menipu seperti menipu timbangan dalam berjual beli, menipu untuk kepentingan diri sendiri dan sebagainya.

3. Jangan saling membenci

4. Jangan mengetepikan kepentingan orang lain.

5. Jangan membeli barang yang telah dibeli orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Janganlah kalian berjual beli atas sesuatu jual beli saudaranya.”

(Riwayat al-Bukhari no. 2139)

6. Jangan menzalimi atau menganiaya orang lain

Menzalimi dan menganiaya itu bertentangan dengan fitrah semula jadi manusia.

7. Jangan membohongi atau mendustai orang lain.

Perbuatan ini boleh menyebabkan hilang kepercayaan orang lain kepada kita. Berbohong dan berdusta boleh menjadi pengkhianatan.

8. Merendahkan orang lain.

9. Jangan menghina sesama Muslim

Menghina itu sifat angkuh dan sombong. Sifat ini akan melenyapkan perasaan kasih sayang sesama Islam. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan tidak dikatakan kamu beriman sehingga kamu berkasih-kasihan. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perkara yang apabila kamu perbuat nescaya kamu berkasih-kasih? Iaitulah sebarkan salam antara kamu.”

(Riwayat Muslim no. 54)

Seorang ulama tasawuf, al-Razi (Yahya bin Mu’adh) berkata:

“Hendaklah engkau pelihara tiga perkara yang menjadi habuan orang Mukmin, iaitu: Pertama: Jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, maka janganlah engkau menyusahkan dia. Kedua: Jika engkau tidak mahu menyukakan dia, maka janganlah engkau mendukakan dia. Ketiga: Jika engkau tidak mahu memuji dia maka janganlah engkau mencela dia.”

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑