Soalan
Institusi saya ingin mengadakan jamuan Raya tetapi bajet tidak mencukupi. Disebabkan ini pihak pengurusan memutuskan mengutip nilai tertentu daripada pekerja yang dinaikkan pangkat dan menerima anugerah. Adakah kutipan sebegini dibolehkan oleh syarak?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Sumbangan Derma Menurut Islam
Secara umumnya perkataan sumbangan derma di sisi Islam mempunyai makna yang luas dan tidak spesifik kepada satu jenis. Oleh itu, sumbangan derma ini boleh diletakkan di bawah perkara al-tabarru’at yang mempunyai beberapa jenis seperti hibah, sedekah dan sebagainya.
Perkara al-tabarru’at didefinisikan oleh para fuqaha’ sebagai ‘’Usaha seorang mukalaf mengeluarkan harta atau manfaat kepada selainnya pada masa sekarang atau di masa akan datang tanpa sebarang balasan, dengan niat berbuat kebajikan dan kemakrufan’. [Rujuk al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah jil. 10 hlm. 65]
Perbuatan tabarru’ dengan harta atau manfaat ini hakikatnya amat dianjurkan oleh syarak. Ini kerana ia terbina di atas semangat saling membantu dalam perkara kebajikan seperti yang ditunjukkan di dalam firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
Maksudnya: “Dan saling membantulah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.”
(Surah al-Ma’idah 5:2)
Sehubungan dengan itu, kami berpandangan bahawa sumbangan derma boleh diletakkan di bawah kategori akad hibah berbanding sedekah. Hal ini kerana hibah lebih bertepatan dengan makna sumbangan derma secara umum.
Hibah pada bahasa bermaksud pemberian. Secara istilah bermaksud pindah milik sesuatu tanpa sebarang gantian ketika masih hidup dan dibuat secara sukarela. [Rujuk al-Mu’tamad jil. 3 hlm. 175]
Pensyariatan hibah berlaku berdasarkan daripada firman Allah SWT:
فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَىْءٍۢ مِّنْهُ نَفْسًۭا فَكُلُوهُ هَنِيٓـًۭٔا مَّرِيٓـًۭٔا
Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”
(Surah al-Nisa’ 4:4)
Manakala, sedekah pada bahasa bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Dari segi istilah pula, para ulama menyebutkan sebagai pemberian harta ketika waktu hidup hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. [Rujuk Mawsu’ah al-Fiqh al-Islami jil. 3 hlm. 659]
Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:
إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah 2:271)
Perbezaan antara kedua-duanya ialah, hibah lebih berbentuk umum dan sedekah lebih berbentuk khusus. Hal ini kerana hibah merupakan pemberian atau pindah milik secara mutlak tanpa diikat dengan perkara khusus seperti ganjaran pahala, fakir miskin dan sebagainya. Manakala sedekah merupakan pemberian yang dilakukan untuk mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. [Rujuk al-Mu’tamad jil. 3 hlm. 175]
Oleh itu, sebarang sumbangan derma mestilah mengikuti rukun serta syarat akad hibah yang telah digariskan oleh syarak.
Hukum Mengutip Sumbangan Derma
Secara dasarnya, Nabi Muhammad SAW melarang umatnya daripada mengemis atau meminta-minta sesuatu selain untuk kemaslahatan agama. Hal ini berdasarkan daripada hadis Nabi SAW:
مَا زَالَ الرَّجُلُ يَسْأَلُ النَّاسَ، حَتَّى يَأْتِيَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَيْسَ فِيْ وَجْهِهِ مُزْعَةُ لَحْمٍ
Maksudnya: “Seseorang yang sentiasa meminta-minta kepada orang lain maka ia akan datang pada hari Kiamat dalam keadaan tidak ada sepotong daging pun pada wajahnya.”
(Sahih Bukhari 1474 dan Sahih Muslim 1040)
Namun, terdapat beberapa keadaan yang dibenarkan oleh Nabi SAW untuk meminta-minta sumbangan iaitu:
- Ketika seseorang menanggung beban diyat (denda) atau untuk melunaskan harta orang lain.
- Ketika seseorang ditimpa musibah yang menyebabkan kehilangan seluruh hartanya.
- Ketika seseorang ditimpa kefakiran yang melampau dan diakui oleh 3 orang saksi dalam kalangan kaum sekitarnya terhadap kefakiran yang menimpanya.
Hal ini berdasarkan daripada sebuah hadis Nabi SAW:
يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا
Maksudnya: Wahai Qabishah, sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal kecuali bagi salah satu daripada tiga golongan orang; seorang lelaki yang menanggung beban (hutang, atau harta dalam keadaan mendamaikan orang yang berselisih), maka halal baginya untuk meminta-minta hingga dia mendapatkan (harta yang mampu dia bayarkan untuk) tanggungannya, kemudian dia menahan diri (dari meminta-minta); seorang laki-laki yang ditimpa musibah yang menghancurkan harta bendanya, maka halal baginya untuk meminta hingga dia mendapatkan harta yang mampu mencukupi keperluan hidupnya; dan seorang lelaki yang ditimpa kemelaratan hingga ada tiga orang yang berakal daripada kaumnya berkata, “Sungguh kemelaratan telah menimpa si fulan”, maka halal baginya meminta hingga dia mampu mendapatkan harta yang mencukupi keperluan hidupnya. Maka meminta-meminta selain ketiga golongan tersebut, wahai Qabishah, ia adalah harta haram yang dimakan oleh pelakunya.
(Sahih Muslim 1044)
Sehubungan dengan itu, mengemis dan meminta sedekah tanpa keperluan dan darurat adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Namun, sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau untuk kepentingan agama serta kemaslahatan kaum Muslimin maka ianya adalah dibolehkan.
Hukum Kutipan Wang Pada Individu Tertentu
Berbalik kepada persoalan, mengutip wang sumbangan dengan nilai tertentu terhadap individu tertentu akan menyebabkan pertentangan dengan maksud tabarru’ itu sendiri. Hal ini kerana penetapan jumlah tertentu akan menyebabkan seolah-olah berlakunya akad jual beli antara penyumbang dan penganjur majlis tersebut. Firman Allah SWT:
اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ
Maksudnya: “Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah Yasin 36:21)
Selain itu, perkara tersebut juga akan menyebabkan berlakunya unsur paksaan dalam sumbangan tersebut. Sebarang transaksi berbentuk wang atau harta yang disertai dengan paksaan adalah dilarang oleh syarak. [Rujuk Mawsu’ah al-Fiqh al-Islami jil. 3 hlm. 654]
Sumbangan derma mestilah dilakukan dalam keadaan pemberi reda dan ikhlas menyumbang dan bukan kerana terpaksa. Selain itu, mengkhususkan kutipan kepada individu tertentu dengan nilai tertentu akan menyebabkan kesukaran dan kesusahan terhadap individu tersebut. Namun, kutipan boleh dijalankan dengan melibatkan keseluruhan individu tanpa meletakkan nilai tertentu dan individu tersebut bebas untuk menyumbang ataupun tidak.
Di samping itu, menjalankan kutipan wang untuk mengadakan jamuan adalah termasuk dalam perkara kebaikan. Hal ini kerana Nabi SAW sendiri menganjurkan umatnya agar memberikan makan kepada yang memerlukan dan juga masyarakat umum. Ini berdasarkan daripada hadis riwayat Abdullah bin Salam RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ ، وَصِلُوا الأَرْحَامَ ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ ، تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ
Maksudnya: “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”
(Sunan Tirmidhi 2485)
Kesimpulan
Berdasarkan daripada keterangan di atas, kami menyimpulkan bahawa amalan kutipan wang terhadap individu tertentu dengan nilai tertentu adalah tidak dibenarkan kerana mempunyai elemen paksaan. Oleh itu, kami mencadangkan agar kutipan dilakukan dengan lebih bersifat terbuka dan para penyumbang mempunyai kebebasan dalam jumlah pemberian yang hendak dihulurkan.
Wallahu’alam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment