Hukum Menggunakan Ayat Al-Quran & Beramal Dengan Ayat Ke-9 Surah Yasin Sebagai Pendinding Serta Kaitannya Dengan Hijrah Nabi SAW 

Soalan

Benarkan kisah Nabi Muhammad SAW ketika Baginda dikepung, lalu Baginda SAW membaca ayat 9 surah Yasin untuk mengkaburi mata pihak musuh? Adakah kita dibenarkan untuk beramal dengannya bagi tujuan pendinding atau mengkaburi mata pencuri?

Penjelasan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Quran merupakan mukjizat yang terkandung dalamnya 114 surah dan bagi setiap surah tersebut mempunyai kelebihannya yang tersendiri. 

Surah Yasin disebut sebagai hati al-Quran dan antara kelebihan surah ini adalah dengan membacanya walaupun sekali ganjaran yang diberi seumpama membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali. Hal ini sepertimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, sabda Nabi SAW:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan hati bagi al-Quran adalah surah Yasin. Sesiapa yang membaca surah Yasin, Allah SWT akan menulis pahala baginya seumpama membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.

(Riwayat al-Tirmizi 2887)

Kisah Baginda Nabi SAW ketika ingin keluar berhijrah ke kota Madinah dan pada waktu itu rumah Baginda SAW dikepung oleh golongan musyrikin Mekah. Bagi meneruskan perjalanan, Baginda SAW keluar daripada rumahnya dengan membaca surah Yasin dari permulaan surah sehingga ayat ke 9 surah itu. Dalam masa yang sama, Baginda SAW mengambil segenggam tanah kemudian ditaburkan ke atas kepala golongan musyrikin Mekah yang ketika itu pandangan mereka telah terhijab oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW keluar meninggalkan rumahnya menuju ke destinasi yang dituju.

Imam Qurtubi juga pernah beramal dengan membaca awal surah Yasin ketika menghadapi perang di negaranya. Pada waktu itu, beliau bertembung dengan tentera musuh lalu membacanya dan diberi perlindungan oleh Allah SWT. Kisah ini seperti yang diceritakan dalam kitabnya, ketika negaranya Andalus sedang diasak tentera musuh, beliau dalam keadaan berundur dan bertahan di dalam kubu. Selang beberapa waktu, dua orang tentera musuh melihat beliau lalu mengejarnya sehingga ke kawasan lapang yang tiada tempat untuk berlindung. Lalu Imam al-Qurtubi membaca awal surah Yasin dan juga ayat-ayat al-Quran yang lain. Kemudian tentera tersebut hanya melaluinya tanpa menoleh dan memandangnya, akhirnya mereka berpatah balik sambil salah seorang daripada mereka berkata:

هذا ديبلة; يعنون شيطانا

Maksudnya: Itulah Daibalah (bahasa Perancis bermaksud jin): maksud dia adalah Syaitan.

Hukum Menggunakan Ayat Al-Quran Sebagai Pelindung Atau Jampi

Dari sudut hukum, para ulama mengharuskan penggunaan ayat al-Quran sebagai jampi (ruqyah) atau doa meminta pertolongan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya;

(Surah al-Isra 17:82)

Menjadikan ayat al-Quran sebagai perantaraan ketika berdoa atau memohon sesuatu hajat agar Allah SWT menunaikan doanya bertepatan dengan saranan saranan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain RA, katanya aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ

Maksudnya: Sesiapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya sesuatu kaum akan datang, apabila mereka membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia

(Riwayat al-Tirmizi 2917)

Di samping itu, Baginda Nabi SAW mengajar umatnya agar beramal dengan membaca ayat al-Quran sebelum tidur kemudian ditiup pada tapak tangan dan disapu ke seluruh badan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah R.Anha:

كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا ‏:‏ ‏(‏ قلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ‏)‏ وَ ‏:‏ ‏(‏ قلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ‏)‏ وَ ‏:‏ ‏(‏ قلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‏)‏ ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: SesungguhnyaSesungguhnya ketika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembus ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca : Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu bi Rabbil Falaq dan Qul A’uzu bi Rabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali

(Riwayat al-Tirmizi 3402)

Imam Badruddinn al-Aini (855H) menyebut bahawa perbuatan meniup tapak tangan kemudian dibaca surah lalu disapu kepada badan bertujuan mengambil keberkatan daripada al-Quran. Menurut Ibn Battal (499H) perbuatan Baginda Nabi SAW menjampi dirinya sendiri sebagai pelindung ketika tidur.

Berkaitan hal ini, Imam al-Suyuti (911H) menukilkan pandangan imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa diharuskan menulis ayat al-Quran di dalam bekas kemudian diisikan air lalu dimandi atau disapu kepada pesakit untuk tujuan perubatan dan ini merupakan pandangan muktamad dalam mazhab al-Syafi’i. 

Imam al-Suyuti menukilkan persoalan daripada Imam al-Rabi’ ketika bertanya kepada Imam al-Syafi’e dalam masalah ini, katanya:

وَقَالَ الرَّبِيعُ: سَأَلْتُ الشَّافِعِيَّ عَنِ الرُّقْيَةِ فَقَالَ: لَا بأس أَنْ يُرْقَى بِكِتَابِ اللَّهِ وَمَا يُعْرَفُ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Imam al-Rabi’ berkata: Aku bertanya kepada al-Syafi’e tentang Ruqyah, lalu beliau menjawab: Tidak mengapa sekiranya ruqyah dengan menggunakan kitab Allah dan setiap apa yang diketahui berkenaan zikir kepada Allah SWT.

Kesimpulan

Hukum beramal dengan surah Yasin ayat 9 sebagai pendinding adalah diharuskan, malah ia juga berlandaskan pedoman daripada kisah Baginda Nabi SAW ketika awal perjalanan keluar berhijrah. Begitu juga, amalan membaca ayat al-Quran sebagai pelindung juga pernah diamalkan oleh para ulama seperti yang diamalkan oleh Imam al-Qurtubi ketika berperang.

Disamping itu, menggunakan ayat al-Quran dalam perubatan dan sebagai pelindung serta menggunakan sebagai perantaraan ketika berdoa atau memohon sesuatu hajat agar dipermudahkan oleh Allah SWT secara umumnya merupakan perkara yang dibenarkan syarak.

Wallahu’alam

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑