Kementerian Kesihatan (KKM) mentakrifkan kesihatan mental sebagai keadaan sejahtera di mana seseorang individu sedar mengenai keupayaan diri, boleh mengendali tekanan dengan baik dan bekerja secara produktif serta mampu menyumbang kepada keluarga dan masyarakat.
Kesihatan mental banyak bergantung kepada faktor individu, sosial dan persekitaran serta boleh dipengaruhi faktor biologikal dan psikologikal. Masalah kesihatan mental seperti kemurungan, boleh disebabkan oleh keadaan sosioekonomi, perubahan persekitaran dan sosial secara mendadak, tekanan di tempat kerja dan penyakit fizikal.
Umumnya, mental yang tidak sihat memberi kesan kepada produktiviti dan prestasi kerja, serta membawa impak negatif kepada kualiti hidup secara keseluruhan.
Mental yang sihat sangat dititikberatkan di dalam Islam. Pepatah Arab ada menyatakan yang bermaksud “Akal yang sihat daripada tubuh badan yang sihat”.
Kesihatan mental merujuk kepada keadaan emosi, psikologi dan sosial seseorang individu yang boleh mempengaruhi rutin kehidupan dan pekerjaan, pemikiran, perasaan dan tingkah laku serta tindakan dan komunikasi individu dengan orang lain. Mental yang sihat menurut Islam melibatkan pendekatan holistik yang mencakupi aspek spiritual, mental, emosional dan sosial. Islam memberikan panduan jelas untuk mencapai keseimbangan dan keharmonian dalam kehidupan.
Rasulullah SAW telah menggariskan panduan yang cukup bermakna dalam membantu manusia memperolehi fizikal atau mental yang sihat. Terapi yang ditunjukkan di dalam hadis-hadis Baginda ternyata mempunyai hikmah dan rahsia yang sangat besar.
Manusia diberikan satu alat yang mampu menguruskan semua organ lain iaitu hati. Hati yang tenang akan melahirkan organ lain yang sihat. Manusia juga tidak akan mampu memperolehi mental yang sihat tanpa rohani yang sihat. Maka digariskan beberapa amalan yang mampu menyucikan jiwa manusia, sama ada melibatkan hubungannya dengan Allah, hubungannya dengan manusia dan hubungannya dengan harta.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
(Riwayat al-Bukhari hadis ke-52 dan Muslim hadis ke-1599)
Rasulullah SAW juga sentiasa mengharapkan emosi dan minda umatnya agar sentiasa positif sama ada kepada Allah SWT, manusia dan makhluk lain di sekelilingnya.
Kesihatan mental juga diperolehi dengan menjaga kesihatan fizikal sama ada dari segi pemakanan atau cara hidup. Ini adalah fakta yang dipersetujui oleh majoriti pakar ilmu moden dan mereka mengakui ilmu yang dimiliki oleh Baginda mendahului masa dan zaman.
Islam telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memastikan mental yang sihat dan sejahtera. Antaranya ialah:
- Keimanan dan ketaatan kepada Allah yang Esa, doa dan zikir, sabar dan reda serta menghindari daripada melakukan dosa dan maksiat.
- Ketaatan kepada Allah merupakan perkara penting kepada umat Islam. Ianya merupakan rukun iman pertama iaitu percaya kepada Allah.
- Kepercayaan kepada Allah yang tidak berbelah bahagi akan menjadikan insan yang tenteram jiwa dan mentalnya.
- Ketaatan dan keimanan kepada Allah akan melahirkan jiwa yang tenang melalui doa dan zikir. Dalam kehidupan manusia, doa dan zikir memainkan peranan penting bagi melahirkan mental yang sihat. Peranan zikir dan doa akan mewujudkan keimanan dalam diri seperti firman Allah:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ (٢٨)
Maksudnya: …“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah al-Ra’ad 13:28)
- Sabar dan reda dalam menghadapi segala dugaan dan ujian yang melanda juga berupaya memastikan mental yang sihat. Setiap manusia pasti akan berdepan cabaran dan ujian di dalam kehidupan. Setiap ujian daripada Allah SWT bukan perkara sia-sia tanpa tujuan. Hakikatnya, ujian yang dilalui manusia menjadi timbangan untuk menilai tahap sebenar keimanannya kepada Allah serta menjadikan mental dan fi kiran sentiasa tenang.
- Menghindari dari melakukan dosa dan maksiat dalam kehidupan berperanan melahirkan mental yang sihat. Dewasa ini, perbuatan dosa dan maksiat sering menjadi suatu perkara yang lumrah dalam kehidupan manusia. Perbuatan dosa dan maksiat yang berterusan akan membuatkan mental juga terjejas dengan hilangnya perasaan malu sedangkan malu itu mencegah seseorang daripada melakukan amalan yang buruk. Apabila perasaan malu telah hilang, manusia akan berterusan melakukan maksiat dan najitahnya akan melahirkan modal insan yang rosak akhlaknya.
Kesimpulannya, mental yang sihat akan melahirkan modal insan yang baik. Modal insan yang baik akan melahirkan masyarakat yang cemerlang. Masyarakat yang cemerlang berupaya melahirkan negara Madani dimana seluruh penduduk atau warganya memiliki perilaku yang baik dan mendapat keampunan daripada Allah SWT.
Dr. Sa’adi Bin Awang Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan, JAKIM
Majalah Sinar Rohani
Leave a comment