Soalan
Saya pernah menghasilkan reviu palsu dan mencatat rekod jualan palsu pada produk di platform jualan popular. Saya kemudiannya menyesal, telah bertaubat dan saya benar-benar ingin berubah. Masalahnya, platform tersebut tidak membenarkan saya padam info palsu tersebut. Ianya hanya boleh dilakukan kalau saya padam terus listing produk. Tetapi jika saya padam produk itu, reviu jujur juga akan hilang dan rekod jualan yang sebenarnya juga akan hilang di mana reviu dan rekod jualan sebenar ternyata lebih banyak berbanding yang palsu. Bolehkah saya membiarkan reviu palsu itu terus disiarkan walaupun saya telah bertaubat?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Jual Beli dalam Islam
Islam menghalalkan segala urusan jual beli secara umumnya yang tidak berkait dengan riba. Firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba
(Surah al-Baqarah 2: 275)
Berdasarkan nas al-Quran di atas, hukum melakukan aktiviti marketing/pemasaran adalah harus berdasarkan kaedah fiqh:
الوَسَائِل لَها أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah (medium untuk mencapai sesuatu tujuan) akan mengambil hukum maqasid (tujuan)
Oleh itu, setiap jual beli yang mencukupi syarat dan rukunnya maka transaksinya adalah sah dan dibenarkan.
Antara rukun-rukun jual beli:
- Dua pihak yang melakukan akad (Penjual dan Pembeli)
- Sighah (Ijab dan Qabul)
- Perkara yang dijual beli (Barang dan Harga)
(Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Shafi’i 15/3)
Fake Review/Ulasan Palsu Menurut Islam
Pada masa kini, masyarakat lebih suka berbelanja menerusi platform atas talian yang jelas lebih mudah dan cepat. Selain itu, platform-platform jualan ini yang lebih dikenali dengan e-commerce amat bergantung dengan penarafan (rating), jumlah barangan terjual (sold item) serta ulasan (review) yang diberikan oleh pelanggan.
Penarafan serta ulasan yang baik akan menjadi salah satu faktor untuk menarik minat bakal pelanggan yang lain untuk membuat belian. Justeru, faktor tersebut mendorong para penjual yang belum mendapat pelanggan untuk menggunakan beberapa kaedah pemasaran antaranya melakukan pembelian barang sendiri (dengan mewujudkan akaun lain) dan kemudiannya meninggalkan ulasan pada barang tersebut untuk menzahirkan barang tersebut sudah dibeli dan pelanggan berpuas hati dengannya sedangkan pada hakikatnya perkara tersebut adalah daripada penjual itu sendiri.
Perbuatan sedemikian adalah sama dengan perbuatan menipu kerana penjual memanipulasi sistem platform e-commerce tersebut dengan membuat belian barang sendiri dan meninggalkan ulasan pada barang jualan sendiri dan dalam masa yang sama, bakal pelanggan tidak mengetahui tentangnya.
Perbuatan menipu adalah dilarang di sisi Islam ia sejajar dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.ah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: Siapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kita (umat Islam)
(Sahih Muslim 101)
Penipuan dalam jual beli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan antaranya penipuan yang telah dirancang oleh penjual itu sendiri kerana ingin melariskan produknya atau menarik perhatian bakal pembeli untuk mendapatkannya.
Para ulama fiqh menyebutkan bahawa perbuatan menipu sebegini disebut sebagai al-tadlis. Antara persamaan yang disifatkan pada cara penipuan tersebut adalah wujudnya unsur perancangan daripada penjual sendiri untuk menipu pelanggan dan mencipta persepsi bahawa barang dagangannya itu bagus, berkualiti dan sebagainya.
Menurut ٍal-Jamal, al-Ghisy merupakan al-Tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barangan dan menghiasinya supaya pelanggan tertarik dengan barang dagangannya. [Rujuk Hashiyah al-Jamal ‘ala Sharh al-Manhaj jil. 3 hlm. 5]
Manakala Imam Nawawi, mendefinisikan al-tadlis adalah perbuatan menyembunyikan aib barang dagangan daripada pengetahuan pembeli. Ini bermakna penjual tahu tentang kecacatan tersebut, tetapi dia menyembunyikannya supaya barang itu terjual. [Rujuk al-Majmu’ jil 13. hlm. 27]
Selain itu, penipuan ini juga boleh membawa kepada satu amalan jual beli yang diharamkan syarak iaitu al-Najsh (النجش). Al-Najsh ialah orang yang sengaja menawarkan harga belian yang tinggi sedangkan dia tidak berniat membelinya. Tujuannya supaya orang lain merasakan barangan tersebut bernilai tinggi dan mereka akan membelinya dengan harga yang lebih mahal. [Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Shafi’i jil. 3 hlm. 61].
Ia juga sejajar dengan larangan daripada Nabi SAW:
نَهَى النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّجْشِ
Maksudnya: “Nabi SAW melarang najsh.” (Jika jual beli tersebut berlangsung, ia tetap sah)
(Riwayat al-Bukhari 2035 dan Muslim 1516)
Sehubungan dengan itu, perbuatan ulasan palsu (fake review) ini adalah sama seperti menipu pelanggan yang boleh disertakan juga penyembunyian kecacatan dan keaiban pada barang jualan oleh penjual. Maka perbuatan tersebut termasuk dalam al-Ghish atau al-Najsh yang dilarang dalam syarak.
Kesimpulan
Berdasarkan daripada keterangan di atas, kami menyimpulkan bahawa perbuatan ulasan palsu (fake review) adalah perbuatan yang haram dan dilarang dan sesiapa yang melakukannya wajib bertaubat kepada Allah. Pelaku yang telah melakukan perkara sedemikian perlulah memadam ulasan tersebut atau memaklumkan kepada para pelanggan di platform jualan tersebut bahawa beberapa ulasan adalah palsu yang ditulis oleh dirinya sendiri. Berlaku jujur untuk bertaubat mungkin akan menyebabkan kerugian sementara pada rekod jualan, tetapi lebih baik kerugian yang sedikit di dunia berbanding azab yang lama di akhirat.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya.
Wallahu’alam.
Sumber: eKemusykilan Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment