أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل
لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا (٢٣)
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.
(Surah al-Israa’ 17:23)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Kasih Seluas Lautan”.
Sebelum itu, saya ingin mengajak seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk terus mendoakan keselamatan penduduk Palestin yang ditindas teruk di tanah air mereka sendiri. Semoga mereka semua segera bebas dari cengkaman rejim zionis Israel laknatullahi ‘alaihim. Saya juga ingin menyeru kepada semua untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara kita khususnya dan seluruh dunia umumnya dari sebarang bentuk malapetaka, kekacauan dan huru-hara serta dijauhkan dari sebarang bentuk pertelingkahan dan peperangan.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Tugas anak kepada kedua ibu bapa dikategorikan sebagai tugas yang sangat agung dan utama. Buktinya, Allah SWT menggandingkan perintah untuk menyembah Allah SWT seterusnya berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Ia sebagaimana termaktub dalam Surah al-Israa’ ayat 23 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. (Surah al-Israa’ ayat 23)
Ada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud radhiallahu anhu:
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah amal yang paling disukai oleh Allah?”. Baginda menjawab: “Solat pada waktunya”. Aku bertanya lagi, kemudian apa?, maka baginda menjawab: “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Aku bertanya lagi, kemudian apa, baginda menjawab: “Berjihad pada jalan Allah”.
(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Ibu bapa ialah anugerah kepada kita untuk mengumpul sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah SWT. Oleh sebab itu, dalam ayat 23 Surah al-Israa’ tadi, Allah SWT memerintahkan untuk kita bersyukur kepada Allah SWT dan berbakti kepada kedua ibu bapa. Merekalah syurga dan dalam masa yang sama mereka juga ujian buat kita. Bagaimana kita berbakti dan melayani mereka, itulah yang menjadi penentu kepada kesudahan hidup kita di dunia dan akhirat kelak.
Jika baik layanan kita kepada mereka dan mereka redha, maka Allah SWT menjanjikan syurga manakala jika sebaliknya, maka ingatlah bahawa balasan neraka itu sangatlah pedih. Allah SWT memberi peluang kepada kita terutamanya bagi mereka yang masih memiliki ibu bapa di hadapan mereka, untuk berbakti dan berbuat baik seterusnya menjanjikan syurga. Manakala bagi mereka yang tidak memanfaatkan keberadaan ibu bapa mereka untuk melakukan kebaikan kepada mereka, maka amat malanglah bagi mereka kerana Rasulullah SAW telah memberi peringatan yang cukup keras bagi orang-orang yang tidak memanfaatkan peluang yang ada untuk berbakti kepada ibu bapa.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Celakalah dia! Celakalah dia! Celakalah dia! Sahabat bertanya, siapa dia itu wahai Rasulullah? Orang itu ialah mereka yang ada kedua ibu bapa (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)”.
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Ibu, telah perjuangkan nyawa mereka ketika mereka mengandungkan kita, juga ketika melahirkan, apatah lagi seterusnya mengasuh dan membesarkan kita dari kecil sehinggalah kita pandai berjalan, berbicara, dan pandai membuat keputusan sendiri.
Ayah pula, mereka menggadaikan seluruh masa, keringat, tenaga dan wang mereka mencari nafkah bagi mencukupkan keperluan isteri dan anak-anak mereka walaupun mereka sendiri harus berlapar, berpenat lelah, dan menghadapi kesusahan yang bermacam dalam usaha mencari sesuap nasi. Mereka tidak pernah mengeluh dengan kepenatan mereka. Mereka tidak pernah mengadu dengan kesakitan yang dilalui. Mereka tidak pernah mengungkit dengan kelaparan yang mereka rasai. Mereka mencurahkan kasih sayang yang melebihi seluas lautan demi membesarkan anak-anak mereka menjadi orang yang berjaya. Percayalah bahawa kasih sayang yang dicurahkan itu tidak mampu untuk kita balas.
Mereka telah menjaga kita dengan sepenuh perhatian. Mereka berusaha memenuhi segala hasrat dan keperluan kita sejak dari kecil. Mereka membawa kita bersiar-siar untuk menghiburkan hati kita. Mereka bersengkang mata menjaga kita ketika kita sakit. Dan mereka tidak pernah berkira pun dengan segala keringat, wang ringgit dan darah yang telah mereka curahkan sepanjang hayat mereka.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Jangan memandang remeh kepada tugas berbakti kepada kedua ibu bapa. Hidup ini adalah kitaran yang akan dilalui oleh semua orang. Apa yang kita lakukan terhadap kedua ibu bapa kita, begitulah nanti yang akan dilakukan oleh anak-anak kepada kita pula.
Takzim dan muliakanlah kedua ibu bapa dengan bersungguh-sungguh lebih-lebih lagi ketika usia mereka yang semakin lanjut. Mereka sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang dari anak-anak. Taatlah kepada mereka dalam hal-hal yang makruf dan nasihatilah mereka dengan nasihat yang penuh hikmah. Luangkanlah masa bersama mereka. Jika sewaktu kecil, mereka memberi perhatian penuh, dan melayani karenah kita dengan bersungguh-sungguh walaupun pada perkara yang remeh, begitulah seharusnya kita pula melayani mereka.
Pegang dan ciumlah tangan mereka. Tatap wajah mereka dengan penuh kasih sayang dan peluklah mereka dengan erat. Tunjukkan kasih sayang kita kepada mereka dan gembirakanlah mereka dan berhati-hatilah dengan setiap perkataan dan tindakan kita walau pada sekecil-kecil perkara. Jangan menarik muka, jangan menunjukkan muka marah atau meninggikan suara kepada mereka dan janganlah pernah timbul rasa sakit hati, penat, atau benci kepada kedua ibu bapa walaupun ada perkara yang kita tidak bersetuju dengan mereka.
Berbakti kepada kedua ibu bapa tidak terbatas ketika keduanya masih hidup. Tanggungjawab itu tetap perlu ditunaikan walaupun kedua-duanya telah meninggal dunia. Ada sebuah kisah, iaitu seseorang dari Bani Salamah datang kepada Nabi SAW. Beliau bertanya:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah masih ada cara berbakti kepada kedua ibu bapaku setelah keduanya meninggal dunia?” Baginda menjawab, “Ya, dengan mendoakannya, meminta keampunan untuknya, melaksanakan janjinya (wasiat), menyambung silaturrahim yang tidak dapat disambung kecuali melalui jalan mereka berdua, dan memuliakan kawan-kawannya”.
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Marilah kita manfaatkan masa-masa yang ada untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa sama ada ketika mereka masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Inilah jalan ke syurga yang paling mudah. Inilah juga jalan mujahadah yang paling besar. Percayalah, kita akan terasa kehilangan yang sangat besar dan kerinduan yang tidak dapat dicurahkan setelah mereka meninggal dunia dan ketika itu nanti akan datang rasa penyesalan kerana tidak mengambil peluang semasa keberadaan mereka.
Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin membuat beberapa rumusan;
Pertama: Ibu bapa merupakan anugerah Allah SWT kepada kita dan seharusnya kita mensyukuri nikmat tersebut.
Kedua: Ibu bapa merupakan syurga dan dalam masa yang sama mereka juga ujian buat kita dalam melaksanakan kebaktian kepada mereka yang berhubung kait juga dengan keredhaan Allah SWT.
Ketiga: Ibu bapa telah mencurahkan kasihnya seluas lautan kepada anak-anak dan tidak pernah sedikit pun mereka berkira segala pengorbanan yang telah dicurahkan demi kebahagiaan dan kegembiraan anak-anak. Sentiasalah mendoakan kesejahteraan buat kedua ibu bapa kita sebagaimana diajarkan melalui Firman Allah SWT dalam Surah al-Israa’ ayat 24:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًۭا (٢٤)
Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”.
(Surah al-Israa’ 17:24)
Tarikh Dibaca: 10 Mei 2024M l 1 Zulqa’dah 1445H
Terbitan: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment