أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
كَمَآ أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًۭا مِّنكُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا۟ تَعْلَمُونَ (١٥١)
Maksudnya: (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.
(Surah Al-Baqarah 2:151)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
(Surah Ali Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan “Murabbi Insani Generasi Luhur Budi”.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Murabbi dalam Islam membawa maksud yang luas melebihi tahap muallim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.
Tanggal 16 Mei setiap tahun telah ditetapkan sebagai tarikh Sambutan Hari Guru di seluruh negara. Ia bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan para guru sebagai murabbi ummah, sekali gus pewaris tugas para rasul terdahulu. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 151 yang dibacakan pada awal khutbah ini yang bermaksud:
“(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”
(Surah Al-Baqarah 2:151)
Kerjaya sebagai seorang guru bukanlah mudah kerana golongan ini memikul tanggungjawab besar untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Mereka mempunyai jiwa untuk menyalurkan ilmu kepada anak muridnya yang terdiri daripada pelbagai ragam dan latar belakang. Kasih seorang guru terhadap anak muridnya ibarat kasih ibu bapa kepada anak-anak. Guru juga sentiasa bersedia menghulur bantuan kepada anak didiknya tanpa mengira masa dan tempat. Sehubungan itu, sambutan ini adalah bagi mengenang jasa guru, yang banyak menabur bakti bagi pembangunan insani rakyat negara ini.
Dalam konteks pendidikan negara kita yang tercinta, Sasterawan Negara almarhum Dato’ Usman Awang pernah mengungkap bait-bait kalimat melalui sajak beliau yang menyanjung tinggi budi mulia dan khidmat bakti para guru.
“Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa Dengan lembut sabarnya, mengajar tulis baca”
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Medan pendidikan semakin teruji dengan perkembangan teknologi yang bersifat dinamik, terutamanya apabila melibatkan media sosial yang sukar dikawal. Implikasi media sosial ini jika tidak diurus dengan bijaksana akan cenderung kepada perbuatan yang negatif dalam kalangan penggunanya. Oleh itu, guru perlu bersedia dan membimbing murid untuk menggunakan teknologi agar seiring dengan nilai akhlak. Guru membentuk jiwa, memugar potensi anak bangsa. Kasih sayang seorang guru, memberi bimbingan secara berterusan kepada murid tidak dapat diganti dengan teknologi.
Justeru guru sebagai seorang pendidik yang membantu untuk pembentukan peribadi dan jati diri anak murid ke arah yang baik, hendaklah bersedia untuk mengadaptasi pengetahuan teknologi agar seiring dengan tuntutan semasa. Cabaran ini perlu disahut oleh guru dengan hati yang terbuka. Penambahbaikan diri perlu ditingkatkan oleh guru terutamanya dari segi akhlak dan adab, ilmu pengetahuan, sifat ihsan serta integriti dalam setiap tindak tanduk yang dipersembahkan khususnya kepada murid, dan amnya kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, menjadi suri teladan agar dapat dicontohi oleh anak bangsa dalam pelbagai aspek yang menuntut kepada fungsi dan peranan sebagai seorang guru. Setiap tingkah laku guru sentiasa diperhatikan oleh segenap lapisan masyarakat. Oleh itu, guru mestilah menghindarkan diri daripada terlibat dengan anasir-anasir yang boleh mencemarkan imej seorang guru. Guru berjiwa pendidik perlu mempercayai bahawa ilmu mesti dicari secara sukarela dan berterusan untuk membentuk keperibadian, perwatakan serta profesionalisme seseorang guru. Dalam konteks ini, guru berjiwa pendidik hendaklah memahami tugas dan tanggungjawab secara profesional dan terperinci.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah SWT,
Dalam Islam juga, orang yang paling utama atau bertanggungjawab dalam mendidik adalah ibubapa. Untuk itu, ibubapa adalah pendidik yang utama dan juga yang pertama dalam diri seorang insan itu. Berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanya yang bertanggugjawab meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”.
(Riwayat Muslim)
Ketahuilah! ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada guru semata-mata. Ibu bapa amat berperanan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak dari kecil hingga dewasa. Didiklah anak supaya menjadi generasi yang bertakwa, luhur budi, berakhlak mulia dan menjadi umat Islam yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang berbahagia,
Ruang lingkup sistem pendidikan tidak hanya terhad di sekolah sahaja, namun ia meliputi pelbagai fungsi dan peranan. Sekolah ialah tempat untuk anak-anak menuntut ilmu dan pengalaman yang bermakna, seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, sokongan ibu bapa, penjaga dan masyarakat kepada guru sangatlah diharapkan, bagi memastikan hasil pembelajaran tersebut dapat membentuk ke arah anak yang baik dan cerdik serta terdidik dengan akhlak terpuji.
Hadis daripada Anas bin Malik Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Muliakanlah anak-anakmu, dan perelokkanlah adab mereka”.
(Riwayat Ibnu Majah)
Antara adab yang boleh diterapkan dalam diri anak-anak kita, ialah mengingatkan mereka supaya memberi salam apabila bertemu, menjaga adab semasa bergaul dan membantu rakan-rakan yang dalam kesusahan. Biarlah kita bersusah payah pada saat ini dalam mendidik anak-anak, agar kita dapat merasai kemanisan dipenghujungnya bak kata pepatah:
“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.
Hadirin yang dirahmati Allah SWT,
Bagi merealisasikan hasrat kita bersama, sokongan dan dokongan daripada anggota masyarakat terhadap guru menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu bangsa dan tamadun. Jatuh bangun sesebuah tamadun itu berpaksikan kepada nilai ilmu pengetahuan dan adab yang ada pada diri insan. Apabila setiap anggota masyarakat mengambil peduli hal ehwal pendidikan anak-anak, maka perkara yang positif jugalah yang akan terhasil. Sebagai contoh, ada pihak-pihak yang berusaha untuk merangka aktiviti-aktiviti bagi memupuk minat dan kemahiran anak-anak, sudah pasti ia akan meningkatkan nilai kematangan dan keyakinan anak-anak untuk menghadapi realiti kehidupan pada masa akan datang berlandaskan alQuran dan al-Sunnah.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ (٢)
Maksudnya: “Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya”.
(Surah Al-Ma’idah 5:2)
Oleh yang demikian, khatib menyeru sidang jemaah sekalian marilah kita mengangkat martabat guru dengan mengamalkan apa yang diajar, memberi kepercayaan yang jitu serta mendoakan kesejahteraan mereka agar keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT sentiasa memayungi hidup kita di dunia dan akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah, sekali lagi khatib menyeru seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran sebagai panduan dalam kehidupan seharian:
- Umat Islam hendaklah menghormati dan mendorong para murabbi dalam menyampaikan ilmu bagi membentuk generasi yang berakhlak mulia, seterusnya menyumbang kepada masyarakat yang bertamadun, beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.
- Ibu bapa perlu memastikan kesinambungan ilmu yang diajar di sekolah dipraktikkan di rumah atau di mana sahaja bagi memberi nilai tambah kepada proses pembentukan akhlak dan jiwa anak-anak.
- Umat Islam hendaklah bersedia menyokong dan berganding bahu bersama murabbi bagi mewujudkan generasi yang berpengetahuan, berketerampilan, berdikari dan berupaya menjadi pelapis kepimpinan negara.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحُكْمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا۟ عِبَادًۭا لِّى مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِن كُونُوا۟ رَبَّـٰنِيِّـۧنَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ ٱلْكِتَـٰبَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ (٧٩)
“Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai : “ hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya”.
(Surah Ali Imran 3:79)
Tarikh Dibaca: 10 Mei 2024M l 1 Zulqa’dah 1445H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment