Hukum Beronani Kerana Isteri Tidak Mahu Bersama 

Soalan

Adakah hukum beronani untuk meredakan nafsu yang menekan kerana isteri tidak mahu bersama malahan tidak tidur bersama walaupun sudah diajak beberapa kali.

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hikmah dan Tanggungjawab Dalam Perkahwinan

Ikatan perkahwinan yang dimeterai adalah bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangat digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya. 

Ini seperti hadis daripada Abdullah bin Amr RA, sabda Rasulullah SAW:

الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia merupakan keseronokan sementara dan keseronokan yang paling baik ialah wanita yang solehah.”

(Riwayat Muslim 1467)

Bagi para wanita, Allah SWT mengarahkan mereka bertanggungjawab ke atas keperluan suami mereka:

وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِي عَلَيۡهِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)”

(Surah al-Baqarah 2:228)

Bahkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke perbaringan (melakukan hubungan suami isteri) lalu isterinya itu enggan sehingga suami itu berasa marah kepadanya, malaikat akan melaknati wanita itu sehingga subuh.”

(Riwayat al-Bukhari 3237)

Kerasnya ancaman ini menunjukkan betapa penting peranan isteri terhadap suami dalam membantu mengurus naluri seksualnya supaya tidak terjebak dengan kerosakan akhlak seperti zina dan lain-lain. Hal ini juga bererti, dalam menunaikan keperluan suami itu, ia termasuk dalam perkara ibadah yang akan diberikan ganjaran oleh Allah SAW bagi mereka yang melaksanakannya.

Hukum Onani Dalam Islam

Dari sudut bahasa, onani menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. Lafaz الاستمناء atau onani itu berasal dari kata terbitan استمنى yang bererti usaha mengeluarkan air mani.

Manakala dari sudut istilah ia membawa maksud: “Mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri”. [Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 4, hlm.97]

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَٰفِظُونَ  ٥ إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٰجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُمۡ فَإِنَّهُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ  ٦ فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ  ٧

Maksudnya: (Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.

(Surah al-Mu’minun 23:5-7)

Berdasarkan kepada ayat di atas, para ulama kebanyakannya menyatakan bahawa hukum beronani adalah haram. Imam al-Syafie Rahimahullah dalam ulasan beliau kepada ayat ini berkata:

فَلَا يَحِلُّ الْعَمَلُ بِالذَّكَرِ إلَّا فِي الزَّوْجَةِ أَوْ فِي مِلْكِ الْيَمِينِ وَلَا يَحِلُّ الِاسْتِمْنَاءُ، وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ

Maksudnya: “Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Dan tidak halal perbuatan istimna’ (mengeluarkan air mani).” [Lihat al-Umm, jld. 5, hlm. 102]

Justeru, secara umumnya perbuatan beronani adalah haram di sisi syarak, dan yang lebih utama bagi seseorang itu adalah mengikut petunjuk Rasulullah SAW kepada para pemuda yang tidak mampu berkahwin iaitu dengan cara membiasakan diri dengan puasa yang boleh mengurangkan keinginan dan mengajar cara-cara bersabar serta memperteguhkan keimanan, ketakwaan yang ada dalam diri seperti yang disimpulkan oleh Baginda SAW dalam sabdanya:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: Wahai para pemuda, barang siapa yang sudah ada kemampuan dalam kalangan kamu hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu lebih menjamin pandangan dan lebih kuat memelihara kemaluan. Tetapi barang siapa yang tidak ada kemampuan (untuk berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi pelindung kepadanya (dalam mengekang hawa nafsu)

(Riwayat al-Bukhari 5065)

Berbalik kepada permasalahan yang dinyatakan, kami menggesa demi menjaga kerukunan rumah tangga, suami sebaiknya menyelesaikan perkara ini melalui perbincangan dan komunikasi yang berhemah dengan isteri, begitu juga pihak isteri tidak seharusnya menolak untuk bersama kerana kewajipan seorang isteri adalah untuk memenuhi hak suaminya, melainkan sekiranya dia dalam keadaan uzur dan sakit.

Jika masih juga tidak berhasil adalah dibolehkan ke atas suami untuk beronani dengan menggunakan tangan isterinya. Seperti mana Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj menerangkan istilah onani bahawa “dan ianya adalah mengeluarkan mani tanpa berjimak’ haram hukumnya seperti menggunakan tangannya, atau harus dengan menggunakan tangan isterinya.” [Lihat Tuhfah al-Muhtaj, jld. 1, hlm 515]

Namun, sekiranya masih ditolak maka terdapat ruang perkara tersebut dilakukan sekiranya keperluan syahwat itu terlalu mendesak, sekadar mencukupi untuk memuaskan syahwat ketika itu dan bukan dengan sengaja atau berniat untuk mencari keseronokan bahkan demi mencegah diri dari mendekati zina.

Kami juga sekali lagi menegaskan bahawa beronani adalah haram dan membawa kepada kesan-kesan sampingan yang negatif dari sudut emosi, kekuatan tubuh badan, dan pelbagai kesan yang lain.

Tuntasnya, kami juga menasihatkan agar usaha untuk memulihkan hubungan suami isteri perlulah dilakukan dan kami mencadangkan agar perkara ini dirujuk kepada pegawai kaunseling di Pejabat Agama Islam Daerah yang terdekat.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya serta memberikan sakinah kepada keluarga.

Wallahua’lam.

Sumber: e-Kemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑