Tazkiyat Al-Nafs: Jalan Taqarrub Kepada Allah S.W.T – Bahagian II

Tazkiyat Al-Nafs: Jalan Taqarrub Kepada Allah S.W.T – Bahagian I

Kesan-Kesan Daripada Rohani Yang Terhijab

Kewujudan halangan-halangan ini menyebabkan kekotoran jiwa manusia dan kekerasan hatinya sehingga ia menjadi semakin jauh daripada penciptanya. Orang-orang yang terhijab rohaninya berada dalam keadaan kelalaian (ghaflah) seumpama orang yang sedang tidur. Sebagaimana keadaan orang yang sedang tidur itu tidak menyedari peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingnya, maka demikian juga orang yang terhijab rohaninya. Dia tidak menyedari kewujudan Tuhan yang bersifat dengan sifat-sifat keagungan, keindahan dan kesempurnaan. Dia tidak menyedari kewujudan pencipta yang menciptanya, yang mengatur urusan hidupnya, yang berkuasa ke atas dirinya, yang mengetahui tentang dirinya, yang memberikannya nikmat yang tidak terhitung jumlahnya, yang memenuhi keperluan hidupnya dan sebagainya. Dia tidak menyedari tentang kematian yang akan mendatangi setiap yang bernyawa dan juga peristiwa-peristiwa yang akan berlaku selepasnya. Hakikat inilah yang terkandung dalam apa yang diriwayatkan:

النَاْسُ نِيَاْمٌ فَإِذَاْ  مَاْتُوْا اِنْتَبَهُوْا

Maksudnya: Manusia itu tidur, apabila mereka telah mati, mereka mula sedar.

(Al-Munawi, Fayd al-Qadir, juz.5, hlm.56)

Rohani manusia yang terhijab dan tidak menjalani proses tazkiyat al-nafs akan dihinggapi berbagai penyakit rohani yang akan merosakkannya. Punca segala penyakit hati itu ialah cinta dunia (kegilaan terhadap habuan duniawi yang membawa kepada kerosakan agama dan moral seseorang itu). Nabi `Isa a.s. telah menjelaskan hakikat ini sebagaimana sabda baginda:

حُبُّ الْدُنْيَاْ  أَصْلُ كُلِّ خَطِيْئَةٍ

Maksudnya: Cinta dunia adalah punca segala kesalahan (dosa)

(Al-Bayhaqi, Shu`ab al-Iman, Juz.7, hlm.323)

Sesungguhnya kerosakan, kecelakaan dan kebinasaan seseorang itu adalah berpunca daripada kerosakan rohaninya. Ini kerana hati manusia adalah seumpama raja yang memerintah dan mengeluarkan arahan yang mana perintah dan arahannya itu akan dituruti. Sekiranya raja tersebut tidak baik maka ia akan mengarahkan sesuatu yang tidak baik dan arahan tersebut akan dilaksanakan. Demikian juga hati di mana sekiranya hati itu tidak baik maka ia akan mengeluarkan arahan yang tidak baik yang akan dilaksanakan oleh anggota-anggotanya itu. Renungan terhadap hidayah al-Rasul s.a.w dalam sabda baginda dapat mendedahkan hakikat ini. Rasullullah s.a.w telah bersabda:

أَلَاْ وَاِنَّ فِيْ الْجَسَدِ مُضْغَةً اِذَاْ صَلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَاِذَاْ فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَاْ وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: Ketahuilah sesunggunya dalam tubuh manusia itu ada segumpal darah, apabila ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah, itulah hati.

(Al-`Ajluni, Kashf al-Khafa, juz.1, hlm. 438)

Bukanlah yang dimaksudkan dengan hati (qalb) di sini iaitu hati sanubari atau jantung yang merupakan segumpal darah beku yang berada dalam rongga dada sebelah kiri manusia. Apa yang dimaksudkan di sini ialah roh manusia. Menurut keterangan Iman al-Ghazali dalam beberapa karya beliau khususnya Ihya’ ‘Ulum al-Din, roh tersebut mempunyai hubungan khusus dengan hati sanubari tersebut.

Sesungguhnya kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri yang berpunca daripada kerosakan dan kepincangan hati mereka. Keangkuhan, kerakusan, kegilaan terhadap dunia dan kedengkian menjadi sebab timbulnya permusuhan di kalangan manusia. Kejadian jenayah seperti rompakan, pembunuhan, penculikan, penipuan, rogol dan lain-lain dan kejadian maksiat seperti zina, minum minuman keras, judi dan sebagainya, adalah berpunca daripada kerosakan hati manusia.

Kerosakan manusia yang berpunca daripada kerosakan hati ini akan membawa kepada kerosakan masyarakat dan seterusnya kerosakan dan kemusnahan umat manusia yang mendiami muka bumi ini di samping kemusnahan tamadun kebendaan yang mereka telah bina dalam tempoh yang lama. Allah s.w.t telah befirman mengisyaratkan hakikat ini sebagaimana firman-Nya:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: Telah zahir kerosakan di daratan dan lautan dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan-tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka (sebagai balasan terhadap) sebahagiaan (kesalahan) yang mereka lakukan mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan Allah s.w.t). (Surah al-Rum 30:41)

Tazkiyat al-Nafs

Apabila hati manusia telah terhijab maka ia terhalang daripada mencapai kesempurnaan dan kemuliaan dirinya, lantaran itu ia perlu melakukan tazkiyat al-nafs. Tazkiyat al-nafs merupakan satu proses pembersihan rohani manusia daripada perkara-perkara yang menghalang seseorang itu mencapai kesempurnaan `ubudiyyah yang merupakan tujuan asal kejadian manusia. Kejayaan manusia dalam melakukan tazkiyat al-nafs ini akan membawa kepada kejayaannnya dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Allah s.w.t telah menjelaskan tentang hakikat ini sebagaimana firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا. وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

Maksudnya: Sesungguhnya (pasti akan) berjaya orang yang membersihkan dirinya (rohaninya) dan (pasti akan) rugi orang yang mengotorkannya

(Surah al-Shams 91: 9-10)

Allah s.w.t telah menjelaskan bahawa antara tujuan perutusan Rasul s.a.w adalah untuk melakukan tazkiyat al-nafs ini. Kenyataan ini dapat dilihat pada firman Allah s.w.t:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Maksudnya: Dialah (Allah) yang telah mengutuskan di kalangan orang-orang yang ummi itu seorang rasul dari kalangan mereka sendiri yang membacakan ke atas mereka ayat-ayatNya, membersihkan (tazkiyah) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-kitab (al-Quran) dan hikmah (hadith) dan mereka sebelum itu adalah benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.

(Surah al-Jum`ah 62:2)

Proses Tazkiyat al-Nafs

Tazkiyat al-nafs itu pada hakikatnya terdiri daripada dua perkara iaitu takhliah dan tahliah. Takhliah bermaksud membuang sifat-sifat tercela yang ada pada diri manusia manakala tahliah pula bermaksud menghiaskan diri dengan sifat-sifat terpuji. Kedua-dua perkara penting ini tidak akan tercapai dengan sempurna tanpa ilmu dan amal.

Tazkiyat al-nafs pada hakikatnya merupakan perlaksanaan terhadap ilmu atau dengan kata lain ia merupakan gabungan antara ilmu dan amal. Kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Ilmu tanpa amal adalah kerugian manakala amal tanpa ilmu adalah kekosongan. Walau bagaimanapun, ilmu itulah yang perlu didahulukan daripada amal. Ini kerana ilmu itu adalah seumpama imam yang diikuti manakala amal itu seumpama makmum yang mengikuti imam. Perkara ini jelas kelihatan dalam apa yang diriwayatkan iaitu:

العِلْمُ اِمَاْمُ الْعَمَلِ وَالْعَمَلُ تَاْبِعُهُ

Maksudnya: Ilmu itu adalah (seumpama) imam (ikutan) bagi amal dan amal itu pula adalah (seumpama) yang mengikutinya(makmum).

(Al-Ghazali, Minhaj al-`Abidin, hlm.18)

Imam al-Ghazali telah meletakkan ilmu sebagai halangan pertama yang perlu ditempuh oleh orang yang ingin kembali ke jalan Allah dan berusaha untu memperbaiki taqwa serta mendekatkan diri kepadaNya. Perkara ini dapat dilihat dalam karya beliau yang terkenal Minhaj al-Abidin.

Oleh itu langkah pertama yang perlu diambil dalam usaha melakukan tazkiyat al-nafs ini ialah mendapatkan ilmu. Mendapatkan ilmu, sebagaimana yang diketahui ramai, merupakan satu kewajiban setiap muslim. Ilmu yang perlu dipelajari ialah ilmu yang menjelaskan tentang persoalan mengenal tuhan (tauhid/usuluddin), ilmu yang menerangkan tentang peraturan-peraturan atau hukum-hukum mu`amalah (fiqh) dan ilmu yang membicarakan tentang masalah-masalah kerohaniaan (tasauwuf). Kesemua ilmu ini perlu dipelajari sekadar yang dituntut (fardu ain). Sekiranya seseorang itu berkemampuan untuk mendapatkan ilmu yang lebih daripada kadar yang dituntut maka itu lebih baik.

Setelah ilmu yang diperlukan itu diperolehi maka seseorang itu hendaklah berusaha untuk mengamalkan ilmunya sekadar kemampuannya. Apa yang penting ialah kesungguhan dalam melaksanakan amal. Kesungguhan inilah yang disebut mujahadah dalam ilmu tasauwuf. Amal yang berasaskan mujahadah inilah yang akan membawa kepada pembukaan pintu rohani dan meningkatkan maqam taqwa seseorang itu. Namun semua ini bergantung kepada kurniaan Allah s.w.t. kepada seseorang itu.  Apa  yang jelas ialah mujahadah itu adalah pembuka jalan ke arah taqwa yang disyaratkan dalam firman Allah s.w.t:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang bermuhajadah pada jalan Kami (Allah) pasti Kami akan tunjukkan (hidayahkan) kepada mereka jalan-jalan (yang membawa kepada mengenal dan mencapai keredaan) Kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

(Surah al-`Ankabut 29:69)

Dalam melakukan takziah al-nafs, amal yang dilaksanakan ialah amal mujahadah (amal darjat). Konsep amal mujahadah berbeza daripada amal taklif (amal hasanah). Amal taklif atau amal hasanah ialah segala amalan yang dilakukan semata-mata untuk melepaskan tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan mengharapkan ganjaran pahala daripadaNya di akhirat. Manakala amal mujahadah (darjat) pula ialah amalan yang dilaksanakan untuk menyucikan hati, membuka hijab, mencapai kedekatan (qurb) dan mendapat ma`rifat terhadap Allah s.w.t., di samping melaksanakan tanggungjawab dan mengharapkan ganjaran pahala daripadaNya.

Ringkasnya terdapat beberapa ciri amalan yang disifatkan sebagai amal tazkiyah atau amal mujahadah ini seperti yang dikemukakan oleh para ulama tasauwuf sekalipun terdapat beberapa persamaan dengan amal taklif. Ciri-ciri tersebut ialah :

  • Pertama: Mengikuti atau membetuli Sunnah (mutaba`ah)
  • Kedua: Kehadiran hati, iaitu keikhlasan dan penyaksian Ihsan (hudur dan ihsan)
  • Ketiga: Kesungguhan atau hemah yang tinggi
  • Keempat: Berperingkat-peringkat dalam melaksanakan amal
  • Kelima: Berterusan dalam amal (istiqamah)
  • Keenam: Mengambil kira keutamaan dalam amal (afdaliyyah)

Dalam usaha untuk melaksanakan amal mujahadah tersebut seseorang itu kerapkali menghadapi berbagai rintangan seperti kemalasan, keraguan, kekeliruan, kesilapan dan sebagainya lagi. Bagi menghadapi perkara ini seseorang itu disarankan agar mendampingi dan mendapatkan bimbingan atau irsyad daripada orang yang sudah ada pengalaman dalam perkara tersebut.

Dari sini timbulnya konsep mursyid dalam ilmu tasauwuf yang memberikan tunjuk ajar (irsyad) dan didikan rohani (tarbiyah) kepada murid. Ini kerana, dalam melakukan mujahadah seseorang itu berkemungkinan akan menghadapi berbagai rintangan yang akan memutuskan perjalananya sehingga dia terhenti daripada meneruskan usahanya itu. Dengan irsyad dan tarbiyah mursyid, sesuatu yang sukar dan bermasalah mungkin dapat diatasi dengan kurniaan Allah. Saranan seumpama ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang benar.

(Surah al-Tawbah 9:119)

Keperluan kepada bimbingan, didikan dan tunjuk ajar murshid dalam menempuh jalan mujahadah ini telah dinyatakan dan dijelaskan oleh tokoh-tokoh besar ulama tasauwuf seperti al-Junayd, al-Bustami, al-Qushayri, al-Ghazali, al-Jilani, al-Sha`rani dan lain-lain lagi dalam karya-karya mereka. Mereka bukan sahaja menyatakan keperluan, malahan pada peringkat mujahadah tertentu ia menjadi satu kemestian atau kewajiban bagi orang yang ingin menempuhnya. Bukan setakat itu sahaja malahan mereka sendiri menunjukkan contoh tauladan di mana mereka juga mempunyai guru rohani yang khusus dan tidak ditemui di kalangan mereka yang tidak mempunyai pembimbing rohani.

Wasilah Dalam Melakukan Tazkiyat al-Nafs

Bagi melakukan tazkiyat al-nafs, seseorang itu perlu mengambil wasilah yang disyariatkan dalam agama. Sebarang usaha tazkiyat al-nafs bertujuan mendekatkan diri kepada Allah menerusi wasilah yang tidak disyariatkan adalah sia-sia malah boleh menyesatkan. Keperluan kepada wasilah ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَوَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan carilah wasilah kepadaNya, dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

(Surah al-Ma’idah 5:35)

Semua amalan agama pada hakikatnya adalah merupakan wasilah yang mengandungi unsur tazkiyat al-nafs. Hakikat ini dapat dilihat pada firman Allah s.w.t.:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai manusia, sembahlah (beribadahlah kepada) Tuhan yang telah menjadikan kamu dan juga orang-orang sebelum kamu mudahan (nescaya) kamu bertaqwa (kepadaNya).

(Surah al-Baqarah 2:21)

Amalan-amalan seperti solat fardu dan sunat (nawafil), puasa wajib dan sunat, zakat dan sedekah, haji dan umrah, dan amalan-amalan lain yang dituntut agama adalah merupakan wasilah yang mengandungi unsur tazkiyat al-nafs yang boleh membawa kepada peningkatan maqam taqwa dan pencapaian maqam dekat (qurb) dengan Allah s.w.t. Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan juga hadith Nabi s.a.w. yang menjelaskan hakikat ini. Amalan-amalan ini berfungsi meningkatkan tahap kerohanian seseorang itu sekiranya ia dilaksanakan dengan tekun dan menurut kaedah-kaedah yang betul seperti yang dihuraikan oleh para ulama tasauwuf dalam karya-karya mereka.

Walau bagaimana pun sesuatu yang sangat ditekankan dalam usaha tazkiyat al-nafs ini ialah dzikrullah. Saranan supaya banyak melakukan dzikrullah yang ditemui dalam banyak ayat al-Qur’an dan juga hadith Nabi s.a.w. sudah cukup memperlihatkan kepentingan amalan ini. Sebenarnya unsur dzikrullah ini terdapat dalam semua amalan seperti solat, puasa dan sebagainya, malahan sesuatu amalan itu dikira kosong jika tidak disertai dengan hadir hati yang pada hakikatnya merupakan zikir.Para ulama tasauwuf seperti Imam al-Qushayri dan lainnya telah sepakat menyatakan bahawa dzikrullah ini merupakan asas penting dalam usaha membersihkan hati dalam perjalanan menuju kepada mengenal (ma`rifah) Allah s.w.t. dan mencapai keredaanNya. Kerana itu amalan dzikrullah ini sangat ditekankan perlaksanaannya dalam tarekat Sufiyyah.

Renungan terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadith-hadith Nabi s.a.w. mendapati bahawa dzikrullah memainkan peranan penting dalam usaha membuang hijab-hijab hati serta meningkatkan tahap ketaqwaan seseorang itu. Antaranya ialah firman Allah s.w.t. yang mensifatkan golongan ulu al-albab (orang-orang yang mempunyai mata hati) iaitu:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآَيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ. الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan pertukaran siang dan malam ada tanda (keagungan Allah) bagi golongan ulu al-albab. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan bertafakkur tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “wahai Tuhan kami, Engkau tidak menjadikan semua ini sia-sia, maha suci Engkau maka lindungilah kami daripada azab neraka”.

(Surah Ali `Imran 3:190-191)

Berdasarkan ayat ini, antara ciri-ciri golongan ulul al-albab itu ialah sentiasa dzikrullah dan tafakkur dalam apa jua keadaan sehingga terangkat hijab hati. Ini dapat dilihat pada ucapan mereka iaitu “maha suci Engkau” yang sebenarnya memperlihatkan apa yang telah dicapai oleh mata hati mereka iaitu penyaksian terhadap ketuhanan dan ketauhidan Allah. Begitu juga mereka dapat menyaksikan hakikat kehambaan (‘ubudiyyah) kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri yang terlihat pada permohonan dan doa mereka iaitu “lindungilah kami daripada azab neraka”. Penyaksian terhadap kedua-dua hakikat ini iaitu ketuhanan (uluhiyyah dan rububiyyah) Allah dan kehambaan (`ubudiyyah) manusia adalah merupakan tahap spiritual golongan ulu al-albab.

Tujuan Melakukan Tazkiyat al-nafs

Seseorang yang tekun melakukan tazkiyat al-nafs kebiasaannya akan mengalami intibah (kesedaran rohani). Keadaan ini berlaku disebabkan hijab-hijab yang menutup hati mula terangkat sedikit demi sedikit menyebabkan basirah (penglihatan mata hati) sedikit demi sedikit terbuka sehingga dia dapat melihat atau menyaksikan hakikat-hakikat ketuhanan dan perkara-perkara keakhiratan dengan yakin.

Kesedaran rohani ini akan menggerakkan seseorang itu untuk kembali ke jalan Allah yang selama ini diabaikan atau tidak dipedulikan. Ia akan menyedarkan seseorang itu tentang kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang lalu, keburukan perangainya dan kecuaiannya dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap Tuhan dan manusia seluruhnya. Ia mendorongnya untuk bertaubat dan seterusnya beramal soleh serta berkhidmat dengan jujur.

Kesedaran rohani ini juga akan menyedarkan seseorang itu tentang kejahilan, kejauhan dan kelalaian dirinya terhadap Tuhannya. Kesedaran ini akan menggerakkannya untuk mengenali Tuhan dengan lebih dekat sehingga pengenalan terhadap Tuhan menjadi semakin jelas dan keyakinannya terhadapNya semakin kuat. Dia mula merasai ketenteraman rohani dan ketenangan jiwa yang sebenar yang lahir daripada rohani yang bersih berpunca daripada pengenalan, pegangan dan keyakinan hati yang kuat terhadap Tuhan.

Kesedaran rohani ini juga menjadikan seseoranng itu mula mengenali hakikat dunia. Dunia yang penuh dengan tarikan, perebutan dan kebanggaan ini sudah tidak menjadi kegilaan dan rebutan bagi dirinya. Dunia yang fana ini hanyalah sebagai perantaraan, peralatan dan jambatan baginya menuju akhirat yang kekal.

Semua ini adalah proses pemurnian dan peningkatan martabat kerohanian manusia sehingga dia menjadi hamba Allah yang sebenar atau dengan kata lain mencapai kesempurnaan maqam ‘ubudiyyah. Sesungguhnya tazkiyat al-nafs ini pada hakikatnya bertujuan meningkatkan kesempurnaan maqam ‘ubudiyyah ini. Pada maqam inilah letaknya kemuliaan manusia di sisi Tuhannya. Pada maqam ini, ketuhanan (rububiyyah dan uluhiyyah)  Allah dan kehambaan (`ubudiyyah) manusia menjadi nyata. Pada maqam ini manusia dapat menyaksikan ketuhanan Tuhannya dan juga menyaksikan kehambaan, kefaqiran, kehinaan, kelemahan, kekurangan dan kebinasaan dirinya. Dia menjadi hamba Tuhannya yang sebenar, zahir dan batin. Zahirnya beribadah kepada Tuhan serta menjunjung titah perintahNya dan batinnya pula mengenali, meyakini, bergantung harap dan reda terhadap suruhan, larangan dan ketentuanNya.

Penutup                                                            

Sesungguhnya maqam `ubudiyyah (kehambaan) yang berpaksikan ketaqwaan merupakan nilaian harga diri dan kemuliaan manusia di sisi Tuhannya. Pembinaan, pemantapan dan peningkatan maqam ini tercapai menerusi satu proses penyucian rohani yang dinamakan tazkiyat al-nafs. Menerusi proses ini manusia boleh meningkat tahap kemuliaannya sehingga dapat mengatasi kemuliaan makhluk-makhluk lain. Tanpanya, kemuliaan manusia boleh jatuh merudum sehingga menjadi lebih hina daripada binatang.

Oleh: Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi, Jabatan Usuluddin
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA 
Disiarkan di Jabatan Mufti Negeri Sembilan

Tazkiyat Al-Nafs: Jalan Taqarrub Kepada Allah S.W.T – Bahagian I

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑