Hadis 40 Imam Nawawi – Hadis 36: Balasan Meringankan Beban Orang Lain 

Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW Baginda bersabda yang maksudnya: 

“Sesiapa yang melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang Mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan pada hari kiamat daripadanya. Sesiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa menutup aib seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah suatu rumah Allah dengan membaca kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali akan turun ketenteraman kepada mereka, dilimpahkan kepada mereka rahmat, malaikat menaungi mereka serta Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang yang berada di sisi-Nya. Dan sesiapa yang lambat (kurang) amalannya, hal itu tidak akan dapat dipercepat oleh keturunannya.”

(Riwayat Muslim no. 2699)

Huraian 

Antara pengajaran yang dapat dicungkil daripada hadis ini adalah:

1. Menolong Saudara Mukmin

Kita hendaklah selalu menolong saudara Mukmin di atas muka bumi ini dengan cara membantu dan melepaskan kesusahan urusan dunia daripada hidup mereka.

Ganjarannya Allah SWT akan melepaskan salah satu kesusahan kita nanti pada hari kiamat. Sesiapa yang memberi kemudahan dan bantuan kepada orang yang sedang dilanda kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.

2. Tutup Aib

Kita hendaklah menutup aib atau malu seorang Muslim. Sebagai ganjarannya, Allah SWT akan menutup aib kita di akhirat.

3. Tempuh Jalan Ilmu

Kita hendaklah sentiasa menempuh jalan dalam rangka mencari ilmu pengetahuan. Maka Allah SWT akan memudahkan bagi kita jalan menuju ke syurga. 

4. Pelajari Ilmu

Kita hendaklah selalu berkumpul di rumah Allah atau di mana sahaja  dengan mempelajari ilmu  pengetahuan daripada kitab Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW. Kita hendaklah menguar-uarkan kepada saudara Mukmin yang lain supaya sama-sama mempelajarinya.

Sebagai ganjarannya, Allah SWT akan menurunkan ketenteraman kepada diri kita.

Pada kalimah “apabila berkumpul suatu kaum,” perkataan “kaum” disebut dengan bentuk nakirah maksudnya kaum apa saja yang berkumpul untuk melakukan hal seperti itu, akan mendapatkan keutamaan.

Nabi SAW tidak mensyaratkan khusus kepada sesuatu kaum sahaja, misalnya, ulama, golongan zuhud atau orang yang berkedudukan istimewa.

Dilindungi Malaikat

Orang yang sentiasa mencari reda Allah SWT akan dilindungi oleh malaikat yang menaungi mereka di hadapan makhluk lain. Makna kalimah “malaikat menaungi mereka” bermaksud mengelilingi sekelilingnya, seolah-olah para malaikat dekat dengan mereka sehingga menaungi mereka. Tidak ada satu ruang pun yang dapat diterobosi oleh syaitan.

Mengangkat Darjat

Sesiapa yang malas beramal, beramal tetapi lambat atau kurang amalannya, maka Allah SWT tidak akan mempercepatkan untuk mengangkat darjatnya. Kalimah “mengangkat darjat bermaksud dipayungi rahmat daripada segala segi.

Syeikh Syihabudin bin Faraj berkata: “Menurut pendapatku, mengangkat darjat itu bermaksud seseorang yang diangkat maqamnya (kedudukannya di sisi Allah kerana dosa-dosa lalunya yang telah diampuni, insya-Allah.”

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑